Johan As'ari Silence Is Golden



Selepas beberapa siri kontroversi yang melibatkan pelakon Johan As’ari bersama penyanyi Shila Amzah dan juga aktres Lana Nordin, cerita mengenai Johan jarang dipaparkan menerusi media. Nama Johan seakan sunyi seketika daripada cerita-cerita panas.

ARTISMELETOP berpeluang bertemu dengan Johan ketika di Anugerah Seni Boh Cameronian ke-11 di Stadium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini dan bertanyakan Johan mengenai namanya yang kini tidak lagi dikaitkan dengan berita panas setelah kontroversi cintanya berakhir.

“Saya rasakan sekarang, 'silence is golden'. Lepas apa yang saya lakukan, saya sedar diri. Saya minta maaf sekiranya saya ada buat salah dan silap. Saya telah mencuba sebaik mungkin untuk memperbetulkan khilaf yang saya lakukan. Alhamdulillah, kini semuanya semakin baik.

“Baru-baru ini, saya dilantik menjadi Ikon Belia 4B Negeri Melaka. Terima kasih kepada pihak berwajib yang telah melantik saya. Perkara ini menjadi peluang terbaik untuk saya memperbaiki diri dan menjadi manusia yang lebih baik dan boleh untuk dijadikan contoh oleh anak-anak muda yang lain,” ujar pelakon filem ‘Balada Pencinta’ ini.




Adakah selepas ini, pelakon filem ‘Tokan’ ini akan berhenti untuk bercakap mengenai kisah cintanya untuk mengelak perkara yang pernah terjadi berulang kembali?

“Tidak. Saya pernah keluarkan kata-kata, ‘tanpa cinta, mungkin saya bukan seorang manusia yang baik’. Itu bermaksud, cinta itu sendiri mematangkan saya. Semua perkara terjadi, jika tiada cinta, tiada rasa kasih dan sayang, rasanya perkara itu akan jadi macam tidak memuaskan. Saya lebih matang dalam menghargai cinta,” ujar Johan.

Mengulas mengenai cinta hati terbarunya, pelakon yang mula dicungkil bakatnya menerusi drama bersiri ‘Juvana’ ini menjelaskan belum bertemu lagi wanita yang mengisi kekosongan hatinya.

“Saya masih lagi solo dan belum mempunyai kekasih. Soal jodoh dan ketentuan, saya serahkan urusan tersebut pada Allah. Apa yang menjadi keutamaan saya, restu dari kedua ibu bapa. Itu amat bermakna,” ujar Johan lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Johan baru sahaja menghabiskan penggambaran bagi filem ‘Kanang Anak Langkau’. Selepas ini, Johan bakal memasuki set penggambaran filem sekuel untuk Juvana The Movie pada 30 April ini.
Previous Post Next Post