Nash, Nas, Am kongsi momen raya



BERKESEMPATAN bertemu tiga selebriti ini di majlis amal anjuran Pertubuhan Pembela Nusa Malaysia(Bela) bersama Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) meraikan anak-anak yatim dan golongan asnaf dari Rumah Anak Kesayanganku sempena program Ihya Ramadan Bela Malaysia merupakan peluang terbaik untuk Zass menyelami kisah Syawal mereka.

Meskipun salah seorangnya sudah bergelar otai dan dua lagi masih baharu bertapak dalam industri ini, namun cerita Aidilfitri mereka tetap ada keistimewaan tersendiri.

Baik Nash, Nas Kilauan Emas mahupun Am Raja Lawak, masing-masing teruja meraikan Aidilfitri ini.

Sibuk penuhi undangan

Bagi legenda seni tanah air yang cukup dikenali ini, Syawal 2014 banyak dihabiskan dengan program Ihya Ramadan bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak.

Jelas pelantun lagu Pada Syurga Di Wajahmu ini, dia hanya pulang beraya pada hari raya yang kedua.

“Raya tahun ni saya di stesen televisyen TV3 untuk rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), kemudian saya mendapat jemputan menyanyi bersama pemimpin negara.

“Selepas itu barulah saya balik ke Muar selama dua hari,” jelas empunya nama Datuk Jamaludin Eliad atau lebih dikenali sebagai Nash yang terpaksa pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi sanak-saudara.

Berkongsi persiapan raya pula, dia bersyukur kerana segalanya cukup sempurna untuk anak dan cucu.

“Tahun ni semuanya berjalan dengan baik dan persiapan juga telah saya lakukan awal. Saya tidak mahu kelam kabut kerana sibuk dengan komitmen lain,” katanya memastikan anak-anak mengenakan baju Melayu dan Kurung sepanjang raya pertama.

Katanya, meskipun Syawal dirai penuh meriah bersama keluarga dan sanak saudara ketiadaan kedua orang tuanya tetap dirasai.

“Bila tiba Ramadan dan Syawal pasti saya teringatkan mereka, perasaan rindu itu sangat mendalam, lebih-lebih lagi mereka yang menyediakan dan menguruskan persiapan raya kita sebelum ini,” katanya.

Sedikit kenangannya bersama Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya, akui Nash, keperibadian Allahyarhamah yang pemurah sentiasa diingati bila tibanya Syawal.

“Beliau seorang yang suka menderma bukan sahaja kepada anak dan adik-beradik, tetapi masyarakat di kampung juga," katanya mengakhiri perbualan.

Berkampung di Shah Alam

Pertama kali beraya sebagai selebriti merupakan detik indah bagi finalis Kilauan Emas Musim keempat ini.

Menurut Nas, tahun ini dia tidak pulang ke kampung halaman dan hanya berkampung di Shah Alam, Selangor.

“Anak buah baru sahaja bersalin, jadi kakak akan datang beraya di sini sahaja,” katanya yang baru kehilangan ibu tercinta tahun lalu.

Jelas Nas, masih dalam ingatannya, dia beraya dengan arwah ibu di hospital pada Syawal yang lalu.

“Kehilangan arwah mak sangat dirasai, bila dengar lagu raya sahaja, pasti rasa sedih dan sebaik itu bertandang,” katanya arwah suka menyediakan nasi himpit, sambal udang dan kuih semperit sebagai juadah raya setiap tahun.

Tambahnya, meskipun juadah berkenaan boleh didapati di mana-mana, tetapi ia tidak sama dengan air tangan arwah ibunya.

Dalam pada itu, Nas juga bakal mengadakan rumah terbuka untuk peminatnya.

“Saya memang terfikir nak buat rumah terbuka, tetapi selepas menghantar anak belajar di politeknik nanti.

“Rumah terbuka ni khas untuk menghargai jasa peminat dan penyokong yang banyak berkorban sehingga saya berjaya menjadi salah seorang finalis top 5 Kilauan Emas Musim 4,” ujarnya memilih tema hijau pucuk pisang bagi baju raya sekeluarga tahun ini.

Balik kampung mertua

Menurut Am Raja Lawak 3 pula, tiga tahun kebelakangan ini dia lebih selesa menemani isteri pulang ke kampung di Ipoh, Perak setiap kali raya.

Katanya, ini memandangkan emak mertuanya tinggal sendirian berbanding emak dan ayahnya yang masih ada.

“Keluarga saya tidak kisah sangat sebab mereka di sini ramai, jadi mereka tidak kisah jika saya utamakan emak mertua dahulu.

“Lagipun saya hanya dua hari di sana dan selepas itu kami pulang ke Tanjong Karang, Selangor,” ujarnya memilih merah jambu sebagai tema tahun ini.

Bercerita kenangan raya di zaman kanak-kanak, dia tidak boleh melupakan saat di mana keningnya terbakar gara-gara bermain mercun.

“Walaupun bahaya tetapi itulah yang paling kelakar saya rasakan. Masa tu saya sedang bermain mercun bersama kawan-kawan.

“Kami ni suka baling-baling mercun kat kawan. Ada sekali tu, ketika saya hendak membaling mercun tiba-tiba kawan masukkan mercun di dalam poket baju saya, jadi apa lagi meletuplah.

“Bila meletup tu memang saya tergamam dan mercun yang ada di tangan saya juga turut meletup sehingga terkena kening,” akuinya teruja kerana cahaya mata kembarnya memberi makna besar kepada Syawal tahun ini.

Selain itu, beritahu Am, setiap tahun dia membuat ketupat untuk mengekalkan tradisi makanan tradisional itu.

“Arwah nenek pernah kata, tak sempurna raya tanpa ketupat, jadi untuk mengekalkan keaslian, saya belajar menganyam daun ketupat darinya. Sehingga hari ini, setiap kali raya saya anyam ketupat sendiri,” katanya tidak lengkap raya tanpa ketupat dan sambal kacang ayam.




Previous Post Next Post