Uqasha Tiada diskriminasi



MANIS bertudung litup, Uqasha Senrose tampak tenang tanpa diselubung resah. Perubahan penampilan pucuk muda yang selama ini dipanaskan dengan kisah cintanya bersama aktor Pekin Ibrahim itu petah membawa diri.

Tidak mahu membicarakan soal cinta dan jodoh yang tidak kesampaian, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 22, mahu menjalarkan fokus kepada karier lakonan.

Kemunculan pertama ke layar perak menerusi filem Paku Pontianak banyak memberi kelebihan kepada Uqasha dalam meyakinkan pembikin filem supaya melamar bakatnya.

Kata Uqasha, dia baru selesai penggambaran filem Pahlawan Mat Kilau, Uqasha bakal muncul menerusi drama Dan Hati Pun Berkata.

“Cinta bukan lagi perkara penting. Keutamaan saya sekarang ialah kerja, keluarga dan teman-teman. Buat masa ini, saya mahu berehat daripada memikirkan komitmen dengan mana-mana lelaki.

“Saya tak mahu mencari tetapi saya juga tidak mampu menolak jika ada cinta yang ikhlas,” katanya yang terpalit lagi kontroversi cinta lokasi bersama pelakon Syafiq Kyle.

Sudah menjadi fitrah manusia berubah menjadi lebih baik, kakak kepada pelakon Nelydia Senrose itu melalui fasa yang sama. Putus tunang dengan Pekin juga bukan satu titik untuknya menyimpan dendam terhadap pelakon filem Bunohan itu.

“Kami sudah membawa haluan masing-masing. Saya juga tidak menyimpan dendam kepada sesiapa kerana saya sedang memperbaiki diri.

“Saya juga masih dalam proses untuk mendalami ilmu agama,” katanya yang merasai banyak perubahan yang berlaku kepada dirinya sejak berhijab.

Corak pergaulan dan tawaran lakonan yang datang juga ketara berbeza. Berhijab bukan halangan untuk wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu kehilangan peluang untuk melebarkan bakat dalam lakonan.

“Setakat ini tiada diskriminasi terhadap saya. Walaupun bertudung, saya masih menerima tawaran seperti biasa. Cuma, saya berharap agar imej saya ini dihormati tanpa perlu saya memberitahu atau menegaskan apa-apa,” katanya yang bertekad mahu menjadi Muslimah yang lebih baik.




Previous Post Next Post