Kematangan jiwa Noh, Sam



SAM (kiri) dan Noh mahu tampil lebih matang ketika berkarya selepas ini.

HALA tuju kedua-dua figura ini berpaksi pada destinasi yang sama sejak sekian lama.Kepompong alunan muzik mereka yang sebelum ini sekadar sayup-sayup bergema secara underground juga telah lama ditinggalkan Hujan dan Bunkface.

Biarpun masing-masing membentuk kelompok sokongan berlainan menerusi Raingers dan Bunkers selama ini, liuk lentok tubuh sang fanatik yang sabar menanti energi persembahan Hujan dan Bunkface sejak dulu sememangnya bersatu di sebalik ideologi berbeza.

Kata orang, muzik itu universal. Maka, tidak hairanlah jika pahit manis yang ditempohi Noh dan Sam bersama rakan-rakan seperjuangan bagaikan tidak terhitung sebaik usaha melebarkan sayap empayar dalam industri hiburan kian menghampiri tempoh sedekad.






Kini, mereka bukan lagi budak-budak mentah yang mudah dibuli. Kematangan jiwa kedua-dua band ini membesar sejajar dengan usia merek.

Biar getar muzik mereka mungkin tidak seagresif dulu, bahasa pujangga Hujan dan Bunkface dalam karya masing-masing masih berbaur puitis mengikut definisi mereka yang tersendiri.

Imbau saja pelosok jajahan Hujan sehingga sekarang.

Himpunan karya seperti Kuala Lumpur, Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada, Mencari Konklusi, Inspektor Remos, Rumah Kita cuma sekadar sebahagian daripada contoh yang meresap jiwa peminat yang setia bersama Hujan sejak melahirkan beberapa album seperti 1, 2, 3, Go! (2007); Check Check Rock Rock (2008); Mencari Konklusi (2209); Lonely Soldier Boy (2010) dan Rumah Kita (2012).

Pembabitan seni Hujan yang turut ditunjangi AG Coco, Ambobzeela, Dimas Santoso dan Izzat Uzaini juga diiktiraf apabila memenangi Anugerah Album Rock Terbaik dan Lagu Rock terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2009.

Rencana yang dilakari Bunkface juga tidak kurang hebat menerusi lagu-lagu seperti Revolusi, Bunk Anthem, Prom Queen, Ekstravaganza, Through My Window dan Panik.

Mula memecah tembok mainstream menerusi lagu Situasi, jajahan Bunface yang turut dianggotai Youk dan Paan kini bukan sekadar mekar mewangi di bumi Malaysia, malahan turut meliputi aura positif dari peminat Indonesia dan Singapura.


SAM bersama Bunkface bakal melancarkan album Malam Ini Kita Punya pada bulan depan.

Sudah tentu, Bunkers kini ternanti-nanti naskhah terbaharu Bunkface selepas mengeluarkan Lesson of the Season (2007); Phobia Phoney (2010) dan Bunk Not Dead (2012).

Antara pengiktirafan yang diterima Bunkface termasuklah Lagu Rock Terbaik dan Anugerah Kembara pada AIM 2009, Kumpulan Paling Popular (Anugerah Bintang Popular 2009) serta Muzik Video Terbaik pada Anugerah Shout! Awards 2010.

Bersama Sensasi Bintang, Noh dan Sam menzahirkan apa yang terpendam di lubuk hati mereka selama hampir sedekad menyelusuri lorong-lorong industri seni.

Sensasi Bintang: Hampir sedekad 'menakluk' industri, adakah kalian sudah boleh dianggap otai?

NOH (N): Tidak pernah ada rasa seperti itu. Kami tidak rasa Hujan sebuah band yang power, biarpun usia kami menghampiri angka 10 tahun. Cuma apabila sudah melangkah sejauh ini, saya mahu peminat membesar sejajar dengan kematangan kami. Jika dulu mereka sekadar bersama kami di gig, kami mahu terus bersama kami biarpun kini beraksi di pentas yang lebih besar, contohnya melibatkan orkestra.

SAM (S): Kami masih dianggap 'adik-adik' dalam industri. Lapan tahun memang bukan waktu yang singkat, cuma untuk digelar otai, rasanya masih jauh. Kami harus sentiasa merendah diri dan menghormati artis-artis lain yang jauh lebih senior.

Boleh kongsikan sedikit antara masalah yang sering dihadapi kalian sepanjang bergelar artis?

N: Tanggapan negatif sesetengah pihak. Cuma, itu bukan masalah saya, itu masalah mereka. Jadi saya tak peduli. Ada yang menyangka kami seolah-olah 'anak emas' berbanding band-band lain sedangkan tidak. Bagi saya, sekarang mungkin rezeki Hujan, lain kali rezeki orang lain pula. Saya lebih suka jika Hujan dianggap membuka peluang kepada band-band lain. Jika kami boleh, kenapa band lain tidak?

S: Perbezaan dua darjat. Setiap kali membuat persembahan pembukaan untuk artis luar negara, hak kami terpinggir. Artis luar negara boleh mendapat layanan kelas pertama, tetapi kami, bilik menunggu pun tiada. Ini bukan isu baharu. Kalau tiada orang lain nak luahkan, biar saya yang bersuara. Hendak kecam saya pun tidak kisah. Bila kami bercakap, ada yang kata benda kecil pun nak bising. Kami dituduh berlagak sedangkan siapa sebenarnya yang terlebih dulu berlagak? Tidak mustahil, kami enggan lagi menerima tawaran penganjur seperti ini selepas ini. Cukup-cukuplah.


NOH tidak akan meninggalkan Hujan kerana menganggap band itu sebahagian daripada kehidupannya sejak dulu.

Noh bakal mengeluarkan album solo selain memiliki band projek Da Vagabonds, begitu juga dengan Sam bersama The Azenders. Sebab itu, ada suara sumbang mengatakan kalian bakal meninggalkan band asal. Komen kalian?

N: Inilah masalahnya. Bila ada projek solo, mula keluar cerita macam-macam. Itu hanya khabar angin dan saya tidak pernah terniat untuk meninggalkan Hujan. Hujan merupakan diri saya. Jika tidak, lebih baik saya jadi Noh Salleh, bukannya Noh Hujan.

S: The Azenders tidak pernah 'kacau' Bunkface. Bila bersama The Azenders, saya bersama mereka secara total dan begitu juga ketika bersama Bunkface. Buat masa ini, The Azenders berehat dulu kerana saya banyak terlibat dengan projek bersama Bunkface. Mungkin, tahun depan baru saya kembali aktif bersama The Azenders.




Boleh kongsikan serba sedikit projek terbaharu kalian?

N: Saya bakal melancarkan single terbaharu secara solo iaitu Angin Kencang yang dijangka dilaksanakan bulan ini. Untuk projek solo ini, saya akan bermula dari kosong. Saya sendiri akan jual CD (cakera padat) dan baju-T di tepi jalan. Benda ini semua saya sudah buat bersama Hujan kira-kira 10 tahun lepas, jadi saya tidak pernah terfikir akan membuat benda yang sama seorang diri.

S: Bunkface akan melancarkan album terbaharu kami iaitu Malam Ini Kita Punya pada Oktober ini. Dalam album ini, emosi saya lebih tenang dan bukan lagi berdarah muda. Jadi, lagu-lagu tidak lagi seagresif dulu. Muzik video juga sedang disiapkan dan kami mengambil masa lebih enam bulan untuk menyiapkan album ini. Sudah tentu kami teruja dengan album ketiga ini kerana kali terakhir album kami keluar pada 2012 (Bunk Not Dead).

Di mana Hujan dan Bunkface dalam tempoh 10 tahun lagi?

N: Masih terlalu awal. Tidak nampak lagi. Tahun depan, kami genap 10 tahun. Jadi, kami merancang untuk membuat jelajah Hujan ke seluruh dunia. Jika tanya saya, saya mahu bikin konsert jelajah di Jepun tetapi kena tanya pendapat geng lain juga.

S: Naik turun itu normal dalam industri. Jadi, kami berharap giliran kami untuk kembali bangkit selepas ini. Kalau boleh, saya nak Bunkface lebih besar berbanding sekarang. Kami tetap sama, tetapi emosi kami lebih tenang dan matang.
Previous Post Next Post