Transisi Jake Gyllenhaal


SEBAGAI anak kepada pengarah Stephen Gyllenhaal dan penulis skrip, Naomi Foner, maka tidak mustahil Jacob Benjamin Gyllenhaal atau lebih mesra di sapa sebagai Jake Gyllenhaal kerap terdedah kepada pembikinan filem.

Biarpun aktor berusia 33 tahun ini mula berlakon sejak berusia 10 tahun, namun Gyllenhaal mengecap glamor sebaik muncul dalam filem Donnie Darko pada 2001.

Sebelum itu, aktor tampan ini membuat kemunculan menerusi filem City Slickers (1991), Josh and S.A.M. (1993), A Dangerous Woman (1993), October Sky (1999), Bubble Boy (2001) dan Lovely & Amazing (2001).

Aktor tampan kelahiran Los Angeles, California sebenarnya adalah seorang yang sangat optimis. Masakan tidak, tiga tahun lalu, ketika umurnya mula mencecah ke angka 30-an, Gyllenhaal mengakui tidak sesekali risau sebaliknya teruja untuk melihat apa yang tersedia untuk masa depannya.






"Saya optimis dan seronok menyambut kedatangan umur baru ini. Ia seperti menutup halaman dalam sebuah buku sebelum menyambung ke halaman seterusnya. Saya anggap seperti penghormatan terbesar apabila sampai usia 30 tahun," katanya.

Malah, Gyllenhaal juga gembira apabila lakonannya kini mengalami transisi positif dari semasa ke semasa.

"Saya takjub dengan kejayaan yang saya miliki hari kini," katanya.

Kelibat Gyllenhaal kemudiannya dapat dilihat menerusi filem Highway (2002), The Good Girl (2002). Moonlight Mile (2002), Jiminy Glick in Lalawood (2004), The Day After Tomorrow (2004), Donnie Darko: The Director’s Cut (2004), Brokeback Mountain (2005), The Man Who

Walked Between The Towers (2005), Proof (2005), Zodiac (2007), Rendition (2007), Brothers (2009), Prince of Persia: The Sands of Time (2010), Love and Other Drugs (2010), Source Code (2011), End of Watch (2012), Prisoners (2013) dan Enemy (2013).




Susut kerana Nightcrawler

Dalam perkembangan lain, bekas kekasih Taylor Swift ini dapat dilihat menerusi filem terbaharunya, Nightcrawler arahan Dan Gilroy mulai 30 Oktober ini di pawagam-pawagam berdekatan.

Demi merealisasikan wataknya sebagai Lou Bloom iaitu seorang wartawan jenayah bebas memerlukan Gyllenhaal menurunkan berat badannya sehingga 10 kilogram.

Lebih mengejutkan apabila Gyllenhaal mengambil tindakan ekstrem untuk menguruskan badannya itu.

"Saya memilih kepada cara fizikal. Saya berlari 15 batu setiap malam dan tidak berjumpa dengan rakan-rakannya selama beberapa minggu.

"Saya hanya memakan salad dan gula-gula getah," katanya kepada Entertainment Weekly.

Tambahnya, caranya itu juga membantu dirinya untuk lebih memahami akan peranannya dalam filem berkenaan.

Selain Gyllenhaal, filem berkenaan turut dibintangi pelakon berbakat seperti Rene Russo, Bill Paxton, Ann Cusack, Riz Ahmed dan Eric Lange.

Nightcrawler mengisahkan pemuda yang terjebak dengan kehidupan jenayah besar dan melihat situasinya dengan mata kepala sendiri atas tiket wartawan jenayah bebas di Los Angeles. Apakah yang berlaku? Jangan lupa saksikannya di pawagam.
Previous Post Next Post