Arjun berang dikaitkan dengan Sussanne



Sudah cukup lama Arjun Rampal dikaitkan dengan Hrithik Roshan dan Sussanne Khan. Dulu aktor filem Ra.One (2011) itu dikhabarkan menjadi punca Sussanne meminta cerai daripada Hrithik.

Kini, khabar lain pula yang beredar. Menerusi Bombay Times, hubungan Arjun bersama isterinya, Mehr Jesia dikatakan berantakan disebabkan aktor berusia 42 tahun itu menjalin hubungan dengan bekas isteri Hrithik itu.

Selepas membaca berita tersebut, Arjun terus naik darah dan mengamuk di laman sosialnya. Dia menyebut berita yang ditulis akhbar ternama India itu adalah sampah.

“Bombay Times, siapa yang membayar anda? Siapa penuduh tak berwajah itu? Kalau anda memiliki keberanian, sila beritahu siapakah penuduh tersebut. Sila jauhkan diri daripada saya dan keluarga saya,” tulis Arjun di Twitter.

Setelah mengamuk di media sosial, Arjun memberitahu, dia tidak mahu lagi berkongsi mengenai kehidupan peribadinya dengan wartawan.

“Saya tidak mahu lagi bercerita mengenai kehidupan peribadi. Selepas ini, saya hanya akan bertindak secara profesional sahaja dengan wartawan. Saya hanya akan berkongsi mengenai filem apakah yang akan dibintangi saya,” ujarnya bersungguh-sungguh.


Previous Post Next Post