Ewal komersialkan Iqwal


EWAL atau Iqwal, anak muda yang juga anak bongsu kepada bekas vokalis Wings, Mel ini membuktikan kecintaannya terhadap muzik sedang membuahkan hasil.

EWAL, beberapa tahun sebelum ini dikenali dengan nama komersial Iqwal. Namun, maaf cakap, memang tidak banyak yang menyedari kewujudan Iqwal. Siapakah dia? Penyanyi atau pelakon? Itu antara persoalan klise, namun menghiris hati.

Sejak beberapa bulan lalu, situasi itu berubah suhu. Nama Ewal begitu akrab dalam kalangan peminat seni tempatan. Ewal atau Iqwal kedua-duanya masih individu sama, cuma jiwanya sahaja yang berbeza. Empunya nama sebenar Iqwal Hafiz Ismail, 22, itu berevolusi. Kompas hidupnya berubah 360 darjah, dia menjadi penghibur yang sarat emosi dan sedar realiti.

Penyanyi yang menduduki tangga ketiga program realiti Akademi Fantasia 2014 itu bukannya baharu dalam dunia seni, malah anak bekas vokalis kumpulan Wings, Mel itu terlebih dahulu melakar nama di persada antarabangsa dengan memenangi pelbagai pengiktirafan di luar negara, misalnya di Hollywood.




Buktinya, pada usia 12 tahun, Ewal sudah mampu menggubah sendiri lagu-lagunya. Pada usia 16 tahun pula, dia dianugerahkan empat pingat emas pada acara World Championship of Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat dan pada usia 21 tahun, dia sudah memiliki empat buah album solo.

Bagaimanapun, populariti tidak selari dengan perjuangannya dalam berkarya. Harus diakui, Ewal tidak diperhatikan sehingga detik dia berdiri di pentas Akademi Fantasia.

“Secara teknikalnya, Akademi Fantasia telah mengubah kehidupan saya secara optimum dan perubahan itu saya rasakan paling drastik sepanjang hayat saya dalam dunia seni. Saya ibaratkan diri saya dilahirkan semula dengan nama baharu dan genre muzik yang berlainan. Saya bukan lagi Iqwal yang dahulu yang bersifat keanak-anakan, malah tiada lagi Iqwal yang berambut panjang,” lentur bicaranya.

Kesilapan dan kejayaan

Empat album Ewal, kebanyakan daripadanya dimonopoli oleh genre sama iaitu pop dance dan R&B. Ewal kini lebih terbuka dan mencuba kesesuaian genre berdasarkan usia dan keupayaan vokalnya. Kata anak jati Teluk Intan, Perak itu, sepanjang berada di Akademi Fantasia, dia dibenarkan meneroka dan bereksperimentasi dalam da segala sudut.

“Bukan sahaja bidang muzik, malah saya belajar banyak perkara ketika di Akademi Fantasia. Saya seorang yang suka meneroka perkara baharu dan saya dapat rasakan perubahan diri sendiri, terutama­nya Ewal yang sekarang. Orang pun lebih sukakan imej saya terkini dan sejujurnya saya mahu dikenali sebagai Ewal dan bukan lagi Iqwal.

“Selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya dan kehidupan, saya mahu mencari di manakah kesilapan saya sebelum ini dan setelah memasuki fasa baharu saya mahu memuaskan hati orang berbanding diri sendiri. Mungkin dahulu, pendengar di Malaysia sukar menerima cara dan muzik saya, tambah pula nasib saya kurang baik ketika itu.

“Apa pun, saya tidak pernah kecewa dengan kesilapan lalu kerana saya sentiasa dikelilingi individu yang tidak jemu memberikan sokongan seperti ibu dan bapa saya. Mereka banyak memberikan nasihat supaya saya ber­­tahan dari segi mental dan fizikal untuk menjadi seorang penyanyi,” katanya yang pernah menjual hanya 15 unit album ketika menerbitkan album sulungnya beberapa tahun lalu.

Menyifatkan dia kini diasah dan dilahirkan menjadi seorang penghibur yang bukan hanya mampu menyanyi bahkan juga menari, kata Ewal, dia tidak membiarkan dirinya hanyut dihentam komen negatif yang menyifatkan dia tiada faktor istimewa.

“Itu hak orang untuk bercakap dan sudah menjadi lumrah untuk orang suka atau tidak. Saya mengambil kritikan yang positif untuk memperbaiki segala kekurangan saya. Kehidupan ini berkisar risiko, sama seperti keputusan untuk menyertai Akademi Fantasia, seandainya rezeki saya tidak berpihak untuk rancangan ini, saya akan tetap terus mencuba perkara baharu,” ujar Ewal.

Sekat rezeki orang

Anak bongsu daripada dua beradik itu pernah didakwa menyekat rezeki orang yang belum pernah merasai dunia artis apabila mengambil keputusan untuk menyertai Akademi Fantasia 2014. Berbalik pada soal rezeki dan peluang, Ewal menegaskan, dia percaya pada bakat dan keupayaannya.

“Saya sekadar mencuba nasib, tersenarai untuk 12 terbaik pun sudah memadai bagi saya kerana dalam rancangan realiti, apa sahaja boleh berlaku. Saya berserah pada rezeki dan saya tahu saya berbakat.

“Di Malaysia pun jarang-jarang ada penyanyi yang boleh bertahan lama, jadi saya melihat anugerah yang Tuhan pinjamkan kepada saya harus diguna dengan cara yang betul seperti menyertai Akademi Fantasia.

“Akademi Fantasia mengete­ngah­kan bakat, dapat atau tidak saya ber­serah pada takdir,” tegasnya yang pernah dinobatkan sebagai Artis Harapan dalam Festival Suara Emas ASEAN di Vietnam pada tahun 2011.

Membesar dalam keluarga seni, Ewal mengakui kehidupannya banyak dipengaruhi oleh bidang muzik apabila sering mengikuti bapanya, Ismail Zainudin (Mel Wings), 48, membuat persembahan dan menggubah lagu di studio milik keluarganya.

“Keluarga saya tidak pernah memaksa saya menjadi penyanyi, sebaliknya memang saya meminati bidang muzik sejak kecil. Apabila keluarga melihat saya cenderung dalam bidang ini, jadi mereka memberikan soko­ngan kepada saya.

“Pada usia 14 tahun saya berhenti sekolah dan mengikuti pembelajaran dari rumah sahaja (home school). Kemudian saya melanjutkan pelajaran di The Singing Shop, Subang Music School hingga memperoleh Diploma Muzik dari institusi berkenaan.

“Saya tidak menolak bahawa kecenderu­ngan ini disebabkan oleh persekitaran saya membesar. Saya tidak se­perti kanak-kanak lain ketika kecil. Keba­nyakan masa dihabiskan di studio di rumah saya untuk menyanyi dan mencipta lagi, malah kawan-kawan saya juga terdiri daripada golo­ngan dewasa. Saya mahu mencetuskan fenomena dalam bidang muzik, bertahan lama dan menghasilkan karya yang berkualiti,” singkap Ewal yang dahulunya lebih cenderung dalam genre muzik rock.




Kembalikan Semula

Sementara itu, tuah Ewal sekadar menduduki tempat ketiga pada final Akademi Fantasia beberapa minggu lalu tidak menghalangnya untuk terus berkarya. Menerusi lagu ciptaan Adeeb Nahar berjudul Kembalikan Semula, Ewal melihat ke­sesuaian vokalnya kini lebih kepada genre muzik balada dan pop sebelum dia benar-benar yakin mene­roka muzik berbeza selepas ini.

“Lagu itu kena dengan jiwa dan kekuatan vokal saya. Mungkin buat masa sekarang saya akan lebih memberikan tumpuan dalam genre muzik pop dan balada supaya peminat boleh menerima perubahan ini perlahan-lahan. Pada masa akan datang mungkin saya akan beralih pada genre saya sebelum ini atau mencuba sesuatu yang baharu pula.

“Apabila diumumkan mendapat tempat ketiga, saya akur dengan keputusan tersebut. Hal pertama yang saya sematkan dalam fikiran, saya sudah melakukan sehabis baik dan berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir adalah kemenangan besar kepada saya. Juara itu bonus sebenarnya.

“Buat masa sekarang, saya akan terus menghasilkan lagu dan sudah ada 10 buah lagu dalam simpanan saya yang sudah siap dibikin bersama lirik. Antaranya Dusta, Never Let You Go dan Baby Girl (sudah berada di Youtube),” tambah Ewal.
Previous Post Next Post