Kamal Adli memburu bahagia sendiri



KETIKA hubungan cinta yang dibina selama enam tahun bersama kekasih hatinya, Intan Ladyana terlerai di pertengahan jalan, sebahagian besar jiwa jejaka ini terlilit dengan rasa kecewa.

Perasaan yang merundung Kamal Adli sejak dua bulan lalu itu bukan sahaja berat untuk dihadam oleh tuan empunya diri, malah, khalayak umum juga turut merasai tempias kejutan perpisahan mereka.

Ada antara peminatnya yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat menerusi laman sosial dan ada juga segelintir yang turut menyalahkan juara pertandingan Pencarian Hero Remaja 2007/2008 itu atas kemusnahan hubungan cintanya bersama Intan.

Ketika berpeluang bertemu dengannya pada sesi fotografi diatur di Ibu Pejabat Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 28, berkata, walaupun sukar untuk menjelaskan punca utama perpisahan tersebut, namun dia meletakkan kisah sedih yang dialaminya sebagai sebahagian daripada ketentuan yang telah tertulis oleh takdir.




“Saya faham, ramai yang menuding jari menyalahkan saya kerana menjalinkan hubungan terlalu lama bersama Intan tanpa sebarang ikatan yang sah. Tetapi, mereka tidak berada di tempat saya dan tidak faham tentang perkara yang sebenar.

“Saya mengenalinya ketika mula-mula bergelar pelakon. Ketika itu, saya masih hijau dan kehidupan saya masih belum stabil. Rasanya, tidak elok jika saya mendirikan rumah tangga ketika ekonomi dan karier masih kurang kukuh.

“Namun, semuanya telah tertulis dan saya reda dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah,” tuturnya mempertahankan prinsip diri yang mahu berada dalam keadaan stabil ekonomi sebelum menyunting seseorang wanita menjadi isteri.

Walaupun terpaksa menelan rasa pahit perpisahan, namun kata Kamal dia kini belajar untuk meneruskan kehidupan dan tidak terpuruk dalam kesedihan.

Mengaku hatinya sedang dalam proses pulih daripada kekecewaan, kata Kamal: “Dalam sejarah hidup saya, tidak pernah saya menyayangi dan mencintai seseorang wanita untuk jangka waktu yang begitu panjang.

“Tipu jika saya langsung tidak berasa sedih. Ya, saya sangat sayangkan hubungan kami kerana tempoh percintaan yang terjalin selama enam tahun bersama Intan bukan satu senggang masa yang singkat.

“Seperti yang saya katakan, jika takdir telah tertulis sebegini, saya terima dengan seadaanya. Kehidupan harus diteruskan.”


SEPANJANG bergelar pelakon, Kamal masih belum berpeluang menggenggam sebarang trofi kemenangan daripada mana-mana penganjuran majlis anugerah.

Kini, selepas dua bulan jejaka kelahiran Pekan, Pahang itu menjalani kehidupan solo, dia lebih fokus terhadap kariernya. Bukan sebelum ini Kamal tidak fokus, namun, kegagalan dalam bercinta langsung tidak mematahkan semangat atau membuat dirinya mengabaikan pekerjaan.

“Saya menjadikan apa yang telah berlaku sebagai pemangkin semangat untuk terus berkarya dalam bidang seni.

“Sekurang-kurangnya, apabila saya sibuk dengan kerja, saya tidak banyak berfikir tentang masa lalu,” ujarnya yang kini baru sahaja memulakan penggambaran drama bersiri berjudul Pergilah Air Mata yang bakal ditayangkan di saluran RTM.

Pentingkan kualiti

Melanjutkan bicara mengenai kerjayanya, prestasi Kamal dalam bidang lakonan dilihat semakin memberangsangkan.

Terbaharu, lakonan jejaka itu dalam drama bersiri Syurga Tanpa Cinta bersama pelakon Emma Maembong yang disiarkan di TV1 pada setiap hari Sabtu dan Ahad pada pukul 7 malam mendapat pujian yang menggalakkan daripada penonton.

Ditanya apakah kriteria yang sering dicari dalam setiap watak lakonannya, Kamal memberitahu, dia tidak pernah bersikap memilih apabila menerima sebarang tawaran.

Cuma, apa yang ditekankan adalah kelainan yang dapat ditonjolkan setiap kali dia muncul menerusi kaca televisyen mahupun di layar perak.

“Saya gemar mencuba pelbagai jenis watak. Tidak kira watak berat atau komedi, saya akan cuba untuk melakonkannya sehabis baik.

“Apa yang penting adalah lakonan saya dapat meninggalkan impak yang mendalam kepada penonton,” katanya penuh yakin.

Percaya atau tidak, percubaan anak muda ini untuk melakar kejayaan dalam bidang lakonan belum lagi ternoktah dengan sebarang pengiktirafan dan penerimaan anugerah.

Walaupun namanya pernah tercalon dalam Festival Filem Malaysia ke-23 untuk kategori Pelakon Harapan Lelaki menerusi filem Niyang Rapik, namun, rezeki untuk menggenggam trofi kemenangan masih belum memihak kepadanya.


KAMAL dan Intan saat masih menjadi pasangan kekasih.

Begitupun, Kamal yang sentiasa percaya kepada rezeki tidak pernah berhenti daripada terus berusaha bagi meletakkan namanya sebaris dengan nama-nama pelakon hebat lain.

“Sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, saya belum menerima sebarang pengiktirafan daripada mana-mana majlis anugerah.

“Buat masa ini, mungkin bakat dan persembahan saya masih tidak memuaskan hati para juri. Tetapi, itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba pada masa akan datang,” katanya yang mahu kekal relevan dan konsisten dalam bidang lakonan.

Relevan

Ketika membutirkan bicara mengenai konsistensi sebagai seorang anak seni, Kamal mengakui kurang menonjol jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain.Bagaimanapun, dia lebih selesa meletakkan dirinya di bawah radar populariti asalkan namanya masih kekal relevan dalam bidang lakonan.

“Saya akui, sesetengah pelakon cukup bertuah kerana berjaya mengecap populariti berdasarkan fenomena yang tercetus menerusi drama atau filem lakonan mereka.

“Mungkin masa saya untuk berada pada tahap itu masih belum sampai lagi. Justeru, buat masa sekarang, apa yang boleh saya lakukan adalah menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaiknya,” katanya mengakhiri bicara.


Previous Post Next Post