Langkah kanan Syamin Jasmi


KERJAYA nyanyian bukanlah pekerjaan sepenuh masa Syamin, sebaliknya dia juga bertugas sebagai seorang jururawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching.

MENGEJAR impian bergelar penyanyi atas usaha sendiri bukan satu perkara yang boleh dikecapi dalam sekelip mata. Apatah lagi, jika sanggup mempertaruhkan kerjaya tetap yang menjamin masa depan semata-mata bersandarkan benih dunia seni yang baru berputik.

Tidak memandang faktor itu sebagai tembok untuk dirinya, Syamin Jasmi, 24, seorang pendatang baharu dari Bumi Kenyalang tekad meneruskan hasratnya menjadi seorang penyanyi.

Mengakui dia kini bergelar jururawat dan penyanyi dalam masa yang sama, anak muda itu berpendirian teguh. Baginya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.




“Saya tahu, meletakkan posisi kerjaya tetap sebagai gadaian untuk saya bergelar penyanyi ialah risiko yang sangat besar. Kerjaya jururawat itu merupakan pekerjaan tetap dan berstatus penjawat awam pula. Kerja itu lebih menjamin masa depan jika dibandingkan dengan bidang nyanyian yang kadang kala tidak menentu turun naik ini.

“Namun, antara kedua-dua bidang ini, minat dan impian saya lebih menjurus kepada bidang nyanyian. Tambahan pula, saya sendiri mula berjinak-jinak dengan bidang nyanyian seawal usia tujuh tahun lagi. Jadi, tidak menjadi satu halangan kepada saya untuk mencapai impian asalkan impian itu disertakan dengan kesungguhan,” anak muda kelahiran Kuching, Sarawak itu mesra menyusun kata.

Syamin atau nama sebenarnya Mohd. Sahmin Jasmi yang kini sudah hampir tiga tahun bertugas di Hospital Umum Sarawak harus bijak membahagikan masa antara tugas hakiki dengan bidang nyanyian yang baru diceburinya.

Apabila disoal mengenai pilihan antara dua cabang yang berbeza itu, bicara Syamin, buat masa kini dia memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan tentang hala tuju masa depannya.

“Sejujurnya, kemasukan saya ke dalam bidang kejururawatan banyak didorong faktor survival hidup demi mempunyai satu pekerjaan. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya lanjutkan pelajaran di Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (ICATS), Tabuan Jaya, Kuching.

“Sejak melakukan dua kerja dalam satu masa, saya akui jadual sangat padat. Faktor logistik membuatkan saya terpaksa berulang-alik dari Kuching ke Kuala Lumpur dengan kerap. Namun, buat masa sekarang saya masih tidak boleh membuat apa-apa keputusan.

“Jika diikutkan. memang saya mahu berhenti kerja di hospital itu tetapi ibu dan bapa saya masih belum mengizinkan. Saya anak pertama dan merupakan harapan kepada keluarga. Saya juga tidak mahu terburu-buru dalam perkara ini. Jika ada rezeki, mungkin saya boleh fokus kepada bidang nyanyian sahaja,” ujarnya mesra.


SYAMIN (tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan orang kuat kerjaya seninya. Dari kiri, komposer Ajai, pengarah Urusan QC Music, Amin Aznizan dan wakil Sony Music, Othman Mahmood.

Mengimbas detik awal penglibatan dalam dunia muzik, bakat nyanyian yang ada dalam dirinya dikesan oleh komposer hebat tanah air, Ajai dalam satu sesi uji bakat nyanyian Spotlight di Kuching, tidak berapa lama dahulu.

Sejak itu, sebuah syarikat, QC Music Sdn. Bhd. yang berpangkalan di negeri tersebut berminat mengambil Syamin sebagai bintang baharu mereka.

“Namun saya sendiri tidak menyangka bahawa syarikat QC Music mempunyai jaringan kerjasama dengan syarikat Wake Up The Baby Records milik Abang Ajai.

“Pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada saya untuk menyertai bidang nyanyian. Apa yang saya impikan telah menjadi nyata,” jelas Syamin.

Mungkin sudah tuah dan rezeki berpihak kepadanya, cita-cita Syamin untuk bergelar penyanyi terbentang luas. Peluang bekerja dengan nama besar seperti Ajai menguatkan tekad Syamin untuk optimis meneruskan langkah serius ke persada seni suara,

“Alhamdulillah, sejak bakat saya dikenalpasti oleh Ajai, saya kini sudah pun memiliki sebuah album mini. Kesemua lagu dalam album tersebut ialah hasil sentuhan Ajai sendiri. Single pertama saya, Lagi Dan Lagi juga sudah pun diedarkan di stesen radio dan laman perkongsian video seperti YouTube.

“Dalam album ini ada lima buah lagu kesemuanya. Antaranya Untuk Apa, Lagi dan Lagi, Cinta Yang Tak Mampu, Pelukis Cinta dan It’s All About Tonight. Sekarang saya sedang sibuk dengan promosi album ini di semua stesen radio tempatan,” ujarnya ceria menutup bicara.




Previous Post Next Post