Neelofa berhenti mengacara program Nona



PETANG Selasa lalu, saya menghantar kiriman WhatsApp kepada Neelofa untuk menemu bualnya sempena kolum Santai Selebriti minggu ini. Beberapa minit kemudian, pengacara, pelakon dan juga ahli perniagaan popular itu terus menghubungi saya.

Dengan nada lembut, Neelofa memberitahu, dia tidak suka membalas kiriman WhatsApp, sebaliknya lebih suka bercakap terus melalui telefon.

Lalu, perkara itu menjadi salah satu daripada lima perkara menarik tentang dirinya yang dikongsikan pelakon berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu.




Menyingkap mengenai Neelofa, selepas menjuarai pertandingan Dewi Remaja pada 2010, perjalanan hidupnya berubah serta-merta.

Kehadirannya sebagai pelakon menerusi barisan drama dan filem seperti Kasih Najihah, Tahajud Cinta, Kitab Cinta, Jiwa, Lara, Kau Yang Terindah, Azura, Hantu Kapcai, Lemak Kampung Santan serta Saya Amat Mencintaimu (SAM), mewarnai persada seni lakonan.

Tangga demi tangga kejayaan dicapai Neelofa dan akhirnya nama pengacara program Nona serta MeleTop itu mula memuncak saat dirinya muncul sebagai Pengacara TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular pada tahun lalu.

Sensasinya nama Neelofa juga tidak sedikit, lebih-lebih lagi selepas dirinya putus cinta dengan pelakon kacak, Hans Isaac dan juga apabila dia digosipkan bercinta dengan kerabat diraja.

Seiring dengan itu juga, rangkaian bisnes Neelofa semakin berkembang apabila dia bakal muncul dengan bisnes baharunya, pakaian kasual.

Berkongsi mengenai perkembangan terkini mengenai dirinya, Neelofa mendedahkan, dia bakal menamatkan kontrak sebagai pengacara Nona pada tahun ini.

“Alhamdulillah, sudah tiga tahun saya mengacarakan program Nona. Kontrak saya bersama Nona akan tamat pada tahun ini. Saya tidak akan sambung mengacarakan program itu. Bagi saya, cukuplah selama tiga tahun saya menempa nama dalam program tersebut.

“Saya bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada pengacara program popular itu. Kalau boleh, saya mahu mengacarakan program lain pula selepas ini,” katanya yang mula mengikat kontrak sebagai pengacara program TV3 itu pada Januari 2012.

Tidak berseorangan, menerusi Nona, Neelofa turut bergandingan bersama Fara Fauzana. Program popular itu juga pernah diacarakan oleh Datin Normala Samsudin, Datin Norjuma, Ezzah Aziz Fawzy dan Maya Karin.

MASIH BELAJAR

Berita tentang populariti, kontroversi, kekayaan, kejelitaan dan percintaan seringkali melingkari perjalanan kehidupan seorang selebriti. Neelofa juga tidak terkecuali, namun satu hal yang membezakannya daripada selebriti-selebriti lain apabila dia juga tidak pernah lelah menambah ilmu di dada.

Usai mengikuti kursus jangka pendek di Sekolah Filem dan Lakonan Akademi Filem New York, Los Angeles, Amerika Syarikat, Neelofa kini sedang menghabiskan pengajiannya di peringkat ijazah dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dan Pemasaran di Kolej Universiti Sunway.

“InsyaAllah, selepas itu saya akan mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang perniagaan di London pula,” ujarnya.

Kata Neelofa, tidak hanya di London, dia juga akan mengintai peluang mengikuti kursus jangka pendek di beberapa buah negara lain selepas ini.

“Saya sebenarnya suka menggembara ke negara orang. Ia dapat membuka minda dan mengurangkan tekanan kerja. Daripada saya menggembara sahaja, adalah lebih baik saya turut mengikuti kursus jangka pendek di negara-negara tersebut,” jelasnya lagi.

BISNES BAHARU

Sejak berusia 20 tahun lagi, sebelum Neelofa terbabit dalam dunia lakonan, pelakon berdarah Pakistan dan Arab itu sudah menceburkan diri dalam dunia bisnes.

Selama lima tahun dalam dunia bisnes, Neelofa sudah memiliki sebanyak empat rangkaian bisnes, Bellavita (prosuk kecantikan), Naelofar Abaya (jubah), Bokkita Hijab (tudung) dan Lofalens (kanta lekap).

Begitupun, setelah melihat perniagaan produk kecantikan dan abayanya itu stabil, dia kemudiannya telah melepaskan dua bisnes tersebut untuk dikendalikan oleh ibu dan kakaknya.

“Buat masa ini, semua bisnes yang saya lakukan adalah secara dalam talian. Insya-Allah, saya merancang untuk membuka dua kedai di sekitar Shah Alam dan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) pada tahun depan.

“Saya juga merancang ingin menambah satu lagi bisnes iaitu baju kasual,” kongsinya.




APLIKASI WHATSAPP

Jika ramai orang lebih gemar menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium perantara, namun berbeza bagi pengacara jelita ini. Neelofa tidak suka membalas mesej menggunakan aplikasi WhatsApp, sebaliknya dia lebih senang jika terus bercakap melalui telefon bimbit.

“Saya memang tak suka membalas kiriman WhatsApp. Saya rasa tidak puas. Lagipun, saya bukan jenis yang suka mengadap telefon bimbit terlalu lama. Ada sesetengah orang suka membelek telefon bimbit tetapi saya bukan orang sebegitu.

“Saya lebih suka bercakap terus melalui telefon,” katanya jujur.

Tidak hanya untuk urusan tertentu, Neelofa juga lebih suka menghubungi rakan-rakannya melalui telefon bimbit.

Sikapnya itu memang diketahui oleh rakan-rakannya dan mereka jarang sekali menghubungi pengacara dan pelakon itu menerusi aplikasi WhatsApp.

MAKAN

Satu hal yang turut tidak disukai Neelofa apabila dia diganggu ketika makan. Bukan sombong, namun kata pelakon berusia 25 tahun itu, dia berasakan tindakan tersebut (mengacau ketika makan) adalah tidak sopan.

“Saya sebenarnya tidak suka diganggu ketika makan. Lebih-lebih lagi jika saya sedang terkejar-kejar ke tempat kerja.

“Mungkin, jika ada sesiapa ingin berbincang atau ingin mengambil gambar ketika saya makan, reaksi saya seperti tidak sudi. Sememangnya, tindakan itu tidak sopan kerana saya juga tidak akan melakukan perkara yang serupa jika seseorang sedang makan,” katanya.

Ceritanya lagi, tindakan tersebut akan menyebabkan dia berasa hilang selera untuk kembali menjamah makanan tersebut.

KERETA IDAMAN

Melihat pada kejelitaannya, pasti ada yang menganggap dia gemar pada pakaian, beg tangan atau kasut berjenama.

Bagaimanapun, pelakon filem Dollah Superstar itu memiliki minat yang berbeza. Neelofa lebih gemar pada kenderaan lasak.

“Kalau saya ada duit lebih, saya mahu membeli kereta idaman jenama Aston Martin DB9. Kereta itu memang menepati cita rasa lelaki tetapi saya suka kenderaan lasak seperti itu,” ujarnya yang buat masa sekarang masih memakai kereta jenama Range Rover.

Biasa membawa keretanya sendiri, Neelofa juga mengakui, dia seorang yang suka mengubah suai keretanya seperti lelaki, malah gemar memandu kereta dengan laju.


Previous Post Next Post