Blackheart serlahkan bakat Amanda Imani



KALI terakhir tampil dengan album pada 2010, kini penyanyi berimej seksi, Amanda Imani sekali lagi mempertaruhkan buah tangan terbaharunya berjudul Blackheart.

Berbeza daripada album terdahulu, kali ini Amanda bukan sahaja membuktikan bakat dalam bidang nyanyian, namun kali ini penyanyi berusia 23 tahun ini dilihat lebih berani menonjolkan bakat dalam mencipta lagunya sendiri.

Malah, album ini juga diterbitkan dan diedarkan sendiri oleh syarikat produksi miliknya, Amanda Imani Productions.

Bercakap pada majlis pelancaran album yang diadakan di Borders, The Curve baru-baru ini, Amanda akui kemunculan Blackheart melambangkan kematangan karier nyanyiannya.




“Apabila saya mula menceburkan diri dalam industri muzik, saya memang tidak memiliki identiti muzik yang tersendiri.

“Namun sejak beberapa tahun lalu, saya mula menyedari muzik tersendiri adalah penting untuk seseorang artis.

“Jadi saya mula mengumpul pengalaman sepanjang berada dalam industri untuk menjadi lebih kreatif dalam penulisan, mencipta serta menerbitkan muzik saya sendiri,” katanya.

Kata Amanda, selain setiap lagu yang diselitkan dalam album ini sebenarnya memiliki jalan cerita yang tersendiri.

“Tajuk album ini juga sudah menunjukkan ia bukan sesuatu yang mainstream, sebaliknya dipenuhi dengan pelbagai elemen yang saya fikir mudah diterima oleh pendengar masa kini.

“Saya ingin tonjolkan sisi berbeza saya, jadi hasilnya perlu kelihatan lebih matang,” jelasnya.

Blackheart memuatkan tujuh buah lagu hasil ciptaan penuh Amanda sendiri antaranya City Of Angeles, Black Widow, Blackheart, Heart For Fire, Next Generation, Newlyweds dan I’ve Got It All.

Kerja amal

Prihatin dengan nasib pihak yang memerlukan, Amanda telah mengambil satu inisiatif murni menyerahkan sebahagian daripada hasil penjualan album untuk tujuan amal dengan kerjasama kedai buku Borders Malaysia dan kafe Starbucks Malaysia.

“Sebahagian daripada penjualan album di kedua-dua lokasi ini akan disumbangkan kepada Malaysian Independent Animal Rescue (MIAR) dan ‘Make A Wish Malaysia’ bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan.

“Bagi mereka yang kurang bernasib baik, pasti sumbangan seperti ini amat bernilai.

“Jika kita mampu membuat kanak-kanak tersenyum dan memberi seekor kucing tempat berlindung, saya yakin hasilnya tidak akan merugikan malah memberi kepada pada diri saya sendiri,” ujarnya.



Previous Post Next Post