Kontroversi hiburan 2014



Menyorot kembali perjalanan seni sepanjang tahun 2014, kisah kontroversi para selebriti pastinya paling menjadi perhatian umum. Sayang sayang buah kepayang, ditelan pahit dibuang sayang, begitulah ironinya gelora sensasi dan kontroversi dunia hiburan tempatan. Yang baik jadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan untuk mengorak langkah yang lebih baik pada masa hadapan.

‘Khalwat’ Alyah, Ramli MS

Lebih setahun tempoh masa diambil pasangan Datuk Ramli MS dan Datin Alyah untuk menyembunyikan kisah rumah tangga mereka. Selama berdolak dalih, pasangan itu menggemparkan Malaysia apabila ditangkap bersama oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di kediaman mereka di Puchong pada awal pagi 28 Ogos lalu. Lebih mengejutkan apabila pasangan itu mendedahkan mereka telah berkahwin pada 18 Mac 2013 di Batam, Indonesia namun masih belum mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia. Kata Ramli, biarpun pernikahan tersebut tidak diketahui umum, namun keluarga Alyah merestui perkahwinan mereka.

Bahana kekasih Hanez Suraya

Pendedahan mengenai hubungan cinta pelakon Hanez Suraya dengan seorang jejaka bernama Romie Razin Adilha pada Februari lalu ternyata merupakan pintu malapetaka buat Hanez apabila status kekasihnya dibongkar. Kekasih pelakon itu sebenarnya merupakan suami orang dan pendedahan itu dibuat sendiri oleh isterinya, Nurliyana Manan. Rentetan daripada kisah itu, Hanez dan Romie tampil membuat penjelasan menerusi sebuah majlis sidang akhbar bagi membersihkan nama dan menerangkan status sebenar kes rumah tangga Romie dan Nurliyana yang sedang bergolak.

Usaha itu gagal apabila protes luar biasa daripada pengguna laman sosial dilakukan terhadap Hanez ekoran tindakan tersebut, malah sokongan diberikan kepada Nurliyana yang dilihat berada di pihak teraniaya. Reputasi tercalar Hanez telah memberikan kesan buruk kepada pementasan teater muzikal Projek Kahwin pada bulan Jun dan pelakon itu turut diboikot oleh stesen televisyen. Kronologi hubungan Hanez dan Romie berakhir pada bulan November apabila pasangan itu mengaku telah berpisah, begitu juga hubungan Romie dan Nurliyana yang sah bercerai talak satu pada awal Disember. Namun sehingga Disember, rezeki Hanez dalam bidang lakonan belum berpihak kepadanya apabila masih tiada tawaran berlakon diterima biarpun dia telah membuat permohonan maaf secara terbuka.




Prejudis Lelaki Harapan Dunia, biopik Saloma

Mula ditayangkan pada 27 November lalu, filem arahan pengarah berketurunan Cina, Liew Seng Tat mencetuskan kemarahan apabila naskhah itu didakwa menyindir golongan Melayu dan menyelitkan unsur rasis antara kaum. Filem bergenre komedi satira itu menceritakan kejadian malang yang menimpa sebuah perkampungan Melayu yang aman yang mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana riuh sekampung. Pemahaman yang pelbagai telah menjentik reaksi pelbagai penggiat filem dan karyawan seni tempatan.

Karya biopik arahan Melissa Saila berjudul Saloma turut berdepan kritikan apabila olahan itu menimbulkan prejudis serta rasa tidak puas hati pewaris bintang legenda itu. Bantahan dikemukakan oleh cucu kepada Allahyarham Puan Sri Saloma, Arzanee Armalie dan waris Allahyarham AR Tompel yang diwakili Adlin Aman Ramli.

Seteru Amy, Nabila Huda

Ketegangan hubungan Nabila Huda dan bapanya, Amy Search bukan cerita baharu. Bagaimanapun, kemuncaknya tiba apabila Amy melemparkan komen kesat pada sekeping foto yang dimuat naik Nabila Huda ketika bercuti di Sepanyol bersama teman lelakinya pada Jun lalu. Sejak itu, Abil memadam semua foto dalam Instagramnya dan hanya memuat naik foto berkaitan kerjaya sahaja. Pertelagahan itu reda apabila teman lelaki Abil berjumpa dengan Amy untuk menjernihkan keadaan. Anak beranak itu akhirnya berbaik semula pada bulan Syawal lalu.

Rompakan banglo mewah Yusof Haslam

Bukan adegan daripada drama Gerak Khas, sebaliknya situasi melepaskan tiga das tembakan ketika kediaman enam tingkat di Taman Melawati dekat Kuala Lumpur dipecah masuk oleh dua perompak pada pukul 2 pagi 7 Julai lalu benar-benar berlaku kepada sutradara terkenal Datuk Yusof Haslam. Kejadian itu menyebabkan beliau kerugian lebih RM10,000.

Drama Seniman

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak pernah lekang daripada kontroversi. Berjalan tanpa teraju selama lebih setengah tahun selepas Presidennya, Zed Zaidi dilucutkan jawatan hujung tahun lalu, situasi tegang selepas perlantikan semula ahli jawatan kuasa persatuan itu masih berlarutan hingga hujung tahun. Menutup tahun 2014, persatuan itu telah membuat laporan polis terhadap Bendahari Seniman, Vanidah Imran gara-gara melarikan buku cek. Seniman, sebuah persatuan yang sepatutnya menyatupadukan golongan anak seni, tetapi ada sahaja perbalahan yang akhirnya boleh memusnahkan integriti persatuan tersebut.



Kemelut Zizan

Populariti pasangan Emma Maembong dan Zizan Razak tidak terlepas daripada kontroversi. Bermula dengan isu bercumbu dalam pesawat ketika penerbangan ke Amerika Syarikat pada awal tahun, pasangan itu difitnah bersekedudukan di kediaman milik Zizan sebulan kemudian. Situasi panas antara pengurusan Wirefame Entertainment Sdn. Bhd. dan Emma memaksa pelakon itu keluar daripada syarikat tersebut pada bulan April. Syarikat yang diterajui oleh Zizan dan Marina Juki itu berpecah pada bulan Mei. Marina turut menyaman Zizan sebanyak RM500,000 pada November lalu gara-gara membekukan akaun syarikat. Sehingga kini kemelut Zizan dan Marina belum pulih.

Kelantangan Sharnaaz

Sharnaaz Ahmad mula mencucuh api dalam kariernya tahun ini menerusi pertelingkahan bersama pelakon yang digandingkan bersama dalam drama rantaian Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Lisdawati apabila didakwa menyerang dan menengking pelakon yang sedang berbadan dua itu. Fauzi Nawawi, suami kepada Lisdawati, tampil melindungi. Perbalahan itu melarat hingga sindiran di laman sosial. Bagaimanapun, selepas empat bulan ketiga-tiga pelakon terbabit berdamai. Baran Sharnaaz turut terkena tempiasnya pada diva Azwan Ali yang menyerang tindakan pengacara itu ‘berselfie’ ketika majlis berkabung mangsa nahas MH17 di Dataran Merdeka Ogos lalu. Sharnaaz turut mengkritik rancangan The Band.

Kisah tudung dan kahwin Neelofa

Termometer pelakon dan pengacara sensasi Neelofa tidak pernah surut. Kontroversi tahun 2014 bermula dengan pemakaian jumpsuit pink Power Rangers ketika mengacarakan Anugerah Meletop bulan Februari. Kemudiannya, pada bulan Jun lalu, Neelofa mengambil keputusan untuk bertudung dan ekoran penghijrahan itu gosipnya bakal berkahwin dengan kerabat diraja sebuah negeri di Pantai Timur mulai bertiup kencang. Mengukuhkan cerita tersebut, Neelofa membuat pengakuan telah memutuskan hubungan cintanya bersama pelakon dan pengarah popular, Hans Isaac pada Ogos lalu. Malah, dia kini tidak lagi aktif berlakon dan terus memberi tumpuan kepada beberapa bisnes yang diusahakannya.

Rumah tangga Awie yang porak peranda

Cerita rumah tangga penyanyi rock Awie dan isterinya, Rozana Misbun mulai diintai umum apabila sekeping foto yang didakwa merupakan wanita itu teruk dipukul tersebar pada awal Julai lalu. Awie mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaan ke atas isterinya pada 27 Jun 2014 dan telah dibebaskan dengan diikat jamin sebanyak RM9,000. Kes tersebut menjadi lebih parah apabila Awie dan Rozana yang telah bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 tidak pernah mendaftarkan perkahwinan itu hingga menjejaskan urusan hak penjagaan anak. Bagaimanapun, hak tersebut telah diberikan kepada Awie dan perintah injuksi dikenakan kepada Rozana. Awie yang baru kehilangan ibunya, Azizah Abdul Hamid pada 12 Disember lalu memberitahu kesudiannya untuk melepaskan Rozana.



Previous Post Next Post