Momen 2014, lakaran 2015 Cristina


Berjanji untuk bertemu di depan Ampwalk, Jalan Ampang pada pukul 10 pagi, tanpa menunggu lama kelibat bintang jelita ini muncul. Ramah melambai dari dalam kereta milik pembantu peribadinya, Radiyah, mereka mengekori kereta saya menuju ke banglo terbengkalai di Ampang untuk sesi fotografi portfolio Sensasi Bintang.

Jujurnya, bintang bernama penuh Cristina Suzanne Stockstill ini tidak sombong. Tanpa reaksi kurang senang, bintang filem KIL ini menaburkan aura positif. Biarpun habis kulit putih gebunya bertukar kemerah-merahan dan berbintat-bintat digigit nyamuk, namun dia masih bertahan.

Dia memberikan setiap pose istimewanya buat bidikan jurukamera, Mohd. Farizwan Hasbullah.

Tanpa perlu diminta, Cristina juga berani memanjat akar pokok dengan kasut tumit tingginya untuk memberikan pose terbaik.

“Cristina Suzanne, anda boleh lakukan ini,” getusnya ketika memanjat pokok yang terdapat di belakang banglo terbengkalai itu.

Iltizam yang dihamparkan pelakon kacukan Jerman-Melayu ini membuatkan hati saya berasa rawan.

Masakan tidak, pelakon ini bukan lagi hijau dalam dunia lakonan, bahkan bakatnya juga diiktiraf apabila memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2013 dan anugerah Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia ke-26 (2014).

Kedua-dua anugerah tersebut diperoleh berkat lakonan mantapnya menerusi filem KIL. Cristina mempunyai pakej sempurna, cantik dan berbakat.

Barangkali ia tidak dimiliki oleh sesetengah artis, namun tatkala perkataan sempurna itu disuakan padanya, Cristina menolak lembut gelaran tersebut.




“Mana ada manusia sempurna. Mungkin ramai yang menganggap hidup artis kaya dan nampak sempurna. Tetapi, kami juga manusia biasa. Cuma, sebagai artis kita kena tunjukkan teladan yang elok-elok. Sejujurnya, saya juga ada kelemahan tetapi biarlah saya sendiri yang tahu mengenainya,” kata Cristina jujur jauh sekali untuk bermuka-muka.

Jika dihitung dan dicongak sepanjang 2014, tahun tersebut bukan sekadar perjalanan biasa yang dilalui Cristina tetapi momen yang dilakar indah ke dalam portfolio hidupnya.

Menerusi filem sarat seni KIL, nama Cristina berada dalam kelas tersendiri. Namun, mula timbul kata-kata telahan bahawa pelakon berasal dari Sungai Lembing, Pahang ini tidak lagi memandang pada karya-karya komersial.

“Kalau tidak mampu membawakan sesuatu karakter, saya tidak akan buat. Saya cuma tengok pada sudut itu. Bukan kerana ia filem komersial,” katanya yang menolak bahawa dirinya hanya memandang pada karya yang sarat dengan nilai seni semata-mata.


Cristina Suzanne masih lagi belum menemui pengganti selepas putus tunang dengan seorang ahli perniagaan dua tahun lalu.

Ekspektasi

Selain karya, Cristina juga tidak meletakkan ekspektasi pada karakter yang ditawarkan kepadanya. Suka atau tidak, dia akan cuba membawakan karakter yang dirasakan mampu dipikulnya. Lebih daripada itu, dia juga suka bereksperimen dengan karakter yang diberikan.

Apa yang penting, katanya, dia akan meratah sebuah karakter baharu dan kemudiannya dilontarkan kepada peminat agar terlihat perbezaan.

“Saya tidak pernah mengidamkan apa-apa watak. Saya juga tidak ada apa-apa ekspektasi pada watak. Cuma, saya akan cuba lakukan yang terbaik dan bereksperimen dengan watak diberikan,” luahnya yang bakal berlakon dalam beberapa filem termasuk filem pendek tahun depan.

Bakal meninggalkan tahun 2014 beberapa hari sahaja lagi, pastinya ia meninggalkan momen indah ataupun terlakar sedikit cela pada diri seseorang.

Namun, untuk wanita yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 22 Januari depan, dia bersyukur dengan kanvas kehidupannya sepanjang 2014.

“Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja pada tahun 2014. Mungkin, jika ada pun perkara-perkara negatif apabila saya tidak dapat memenuhi tuntutan fotografi. Sebabnya, kekangan masa. Jika saya terlibat dalam penggambaran, saya akan fokus pada satu-satu perkara sahaja. Tahun 2014 juga boleh dikatakan tahun penat saya kerana sibuk dengan penggambaran tetapi ia tidak sampai menganggu fokus saya. Selebihnya, saya bersyukur dengan apa yang diperoleh sepanjang tahun ini,” katanya.

Melukis

Tidak hanya pada lakonan, rasa syukur Cristina juga berganda apabila pada tahun 2014, dia akhirnya mampu membeli sebuah komputer iMac.

Kata bidalan, berkat kesabaran yang akhirnya membuahkan hasil.

“Sebenarnya, sudah lima tahun saya berhasrat mahu beli iMac. Akhirnya, tahun ini dapat membelinya. Dapatlah saya melukis,” katanya yang teruja untuk bereksperimen dengan hobi baharunya itu.

Biarpun pada mulanya dia enggan berkongsi lanjut mengenai hobinya itu, namun setelah diasak Cristina akur.

“Sejak lima tahun lalu, saya suka melakar karakter wanita kecil berbaju hijau. Ia salah satu hobi saya,” katanya.

Menolak dirinya seorang yang pandai melukis, Cristina optimis andai satu hari kelak, hobinya itu akan menjadi periuk nasinya.


CANTIK dan berbakat. Kedua-duanya dimiliki Cristina.

Selesa sendiri

Memasuki tahun 2015, pastinya azam baharu bermain di minda setiap orang.

Bagi Cristina, memasuki usia 30 tahun, dia mengimpikan sebuah rumah hasil titik peluhnya berlakon.

“Tahun 2015, saya rancang mahu beli rumah dan saya mahu melakukan dekorasi keseluruhan dalam rumah itu nanti,” harapnya bersungguh.

Sengaja menebaknya dengan soal kahwin pula sementelah usianya yang bakal menginjak 30 tahun, tanpa berselindung, dia mengakui sudah terbiasa hidup sendiri sejak putus tunang dengan seorang ahli perniagaan pada Disember 2013.

Bukan kecewa jauh sekali menolak lelaki dalam hidupnya, namun bagi Cristina, kahwin bukan matlamat pada 2015.

“Perasaan kecewa adalah benda yang tidak sihat dalam hati. Saya gantikan ia dengan kemaafan. Jadi, hidup akan lebih bahagia.

“Buat masa sekarang, saya rasa selesa pula hidup sendiri. Saya rasa satu kepuasan apabila dapat melakukan perkara dengan sendiri. Saya tiada sasaran untuk berkahwin. Tiada dalam fikiran dan belum juga bersedia. Alhamdulillah ibu juga tidak bertanya mengenai hal itu (kahwin),” katanya lagi.



Previous Post Next Post