Anuar Zain terbit buku istimewa untuk peminat


ANUAR Zain menunjukkan contoh buku istimewa yang bakal diterbitkan.

Peminat penyanyi lagu Lelaki Ini boleh mendapatkan buku Anuar Zain sebagai koleksi peribadi apabila dilancarkan kelak.

Buku berjudul Konsert Anuar Zain - Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari yang bakal dilancarkan tidak lama lagi akan memuatkan koleksi foto sepanjang konsert termasuk foto di sebalik tabir konsert yang berlangsung dua tahun lalu.

Anuar yang ditemui pada majlis pelancaran CD, VCD dan DVD konsert berkenaan berkata, buku itu masih lagi dalam proses untuk disiapkan. Maklumat terkini mengenai buku berkenaan akan dikemaskini melalui laman Facebook, Anuar Zain Network.




"Buku ini adalah hadiah istimewa saya buat peminat kerana ia memuatkan gambar sepanjang konsert saya dua tahun lalu di Shah Alam. Selain itu foto yang diambil khusus untuk konsert itu yang turut dipaparkan sepanjang konsert saya juga akan dimuatkan dalam buku 'coffee table' itu.

"Setakat ini kita masih dalam proses untuk menyiapkan buku berkenaan justeru apa saja maklumat terkini mengenai buku itu akan kami maklumkan melalui Anuar Zain Network," katanya.

Sementara itu, peminat yang terlepas peluang menyaksikan konsert Anuar Zain boleh mendapatkan CD hari ini manakala VCD dan DVD yang akan berada di pasaran pada 15 Februari depan, manakala yang ingin menyaksikan konsert itu bersama Anuar Zain, majlis tayangan akan diadakan pada tarikh sama jam 3 petang di TGV Cinema One Utama.



Previous Post Next Post