Kegagalan besar Jennifer Lawrence



SEPANJANG penglibatan bintang ini dalam dunia lakonan sejak 2008 menerusi filem, Garden Party, tahun lalu merupakan tahun paling gemilang buat Jennifer Lawrence.

Mana tidaknya, kepercayaan yang diberi dalam membintangi watak, Katniss Everdeen, menerusi The Hunger Games: Mockingjay, berjaya meletakkan nama bintang ini setaraf dengan bintang Hollywood lain.

Namun, ketika menghadiri pentas, Producers Guild of America Awards, baru-baru ini, pemilik nama, Jennifer Shrader Lawrence, 25, ini membuat pendedahan yang mengejutkan.

Malah, Lawrence menyifatkan bahawa filem yang dibintanginya itu adalah satu kegagalan yang terpaksa dia tempuhi sepanjang berada dalam bidang lakonan. Pun begitu, ianya dikeluarkan ketika pertama kali diberitahu bahawa dia perlu menggalas watak berkenaan.




"Betul, saya menganggapnya sebagai satu kegagalan ketika diberi tawaran dan menandatangani kontrak ini. Saya sendiri takut untuk meyakinkan diri sendiri, adakah ianya akan berjaya mahupun tidak.

"Malah, saya memberitahu kepada diri saya sendiri, filem ini adalah penentu akan perjalanan seni karier saya sama ada ianya bakal menghancurkan ataupun tidak.

"Ketika itu saya memang takut kerana ia bukanlah satu kerja mudah dan watak itu sangat berat," katanya yang pernah membintangi filem The Poker House, The Burning Plain, Winter's Bone, Like Crazy, The Beaver, X-Men dan American Hustle ini.

Selain berlakon dalam filem The Hunger Games, Lawrence juga turut mencuba nasib dalam bidang nyanyian apabila dicabar untuk mempertaruhkan suaranya menerusi lagu, The Hanging Tree.

Menariknya, Lawrence berjaya mencuri tumpuan dan meraih kejayaan besar dalam industri nyanyian apabila lagunya itu turut tersenarai dalam carta 40 lagu terpopular Inggeris.

"Bidang nyanyian adalah cabang seni baharu untuk saya. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan masih dalam proses pembelajaran.

"Banyak perkara yang perlu saya tahu mengenai muzik dan saya tidak sangka percubaan ini berjaya," katanya lagi.

Tukar kerjaya

Satu ketika dahulu, Lawrence pernah memberitahu bahawa dia hanya memberikan masa selama lima tahun untuk dirinya dalam bidang lakonan.

Sekiranya dalam tempoh itu dia tidak berjaya menempa nama sebagai pelakon ternama yang berjaya, dia lebih berminat untuk menceburi bidang perubatan sebagai jururawat.

"Memang perancangan saya untuk memberikan tempoh selama lima tahun untuk diri sendiri. Sekiranya gagal, industri ini bukanlah tempat saya lagi," katanya.

Namun semua itu bakal dilupakan bintang ini setelah mendapat sokongan hebat daripada peminat yang selama ini menyokong karier seninya.

Malah, untuk tahun ini Lawrence sekali lagi diberi peluang untuk menggalas sekuel, Mockingjay Part 2, sebagai Katniss Everdeen.

"Saya akan memastikan setiap tawaran yang diberi itu akan memberi kepuasan kepada penonton dan peminat," katanya lagi.

Menyelak kisah peribadi bintang cantik ini, setelah hubungan asmaranya bersama Nicholas Hoult, berakhir di tengah jalan, Lawrence dikaitkan pula dengan bekas suami, Gwyneth Paltrow.

Namun, ada pula sumber memberitahu bahawa hubungan yang kurang daripada lima bulan itu telah berakhir dan mereka memilih untuk berpisah.

Pun begitu, Paltrow tidak terjejas dengan khabar angin berkenaan dan menganggap bahawa, hubungan yang terjalin antara Lawrence dan Chris Martin tidak perlu mendapat persetujuan daripadanya.

"Saya merestui hubungan mereka berdua dan setuju sekiranya mereka mahu bersama. Saya sangat menghormati Martin sebagai bapa kepada anak-anak saya.

"Malah, saya tidak menyalahkannya di atas hubungan yang terpaksa dileraikan ini. Lagipun, kami masih berkawan dan berhubung demi anak-anak," kata Paltrow lagi.

Bagaimanapun, sehingga kini, baik Lawrence mahupun Martin, masing-masing bertindak berdiam diri daripada terus menafikan mengenai hubungan yang dikaitkan itu.


PROFIL

Nama Penuh : Jennifer Shrader Lawrence
Tarikh Lahir : 15 Ogos 1990
Tempat Lahir : Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat
Tahun Aktif : 2006 hingga kini



Previous Post Next Post