Remy Ishak Mencari Cinta Hingga Ke Sarajevo


Drama Satu Hari yang mula bersiaran di slot Ratu pada 2 Disember lalu kini sudah sampai ke penghujungnya.

Kemuncak drama ini akan berakhir pada 28 Januari ini (Rabu) jam 8.30 malam di TV9.

Drama ini dibintangi oleh Remy Ishak dan Sara Ali sebagai pelakon utama. Ia mengisahkan mengenai Isfahan (Remy Ishak) yang membawa diri ke Sarajevo selepas isterinya Lia (Rita Rudaini), yang sangat dicintai mengkhianati cinta mereka dan bertemu Sabrina (Sara Ali) sehingga mereka jatuh cinta.

Percintaan mereka diuji dengan berita mengenai penyakit Puteri, satu-satunya cahaya mata hasil perkahwinan Isfahan dan Lia.


Babak antara Remy Ishak dan Sara Ali dalam Satu Hari.

Kepulangan semula Isfahan dan Sabrina ke Malaysia membuatkan perhubungannya mereka semakin jauh dek kerana kesihatan Puteri yang berada di tahap kritikal dan membuatkan Isfahan memberi sepenuh perhatian kepada Puteri.

Lia pula, setelah diceraikan oleh Moez, semakin terdesak dan cuba untuk berbaik semula dengan Isfahan.

Lia turut menjadikan Puteri sebagai alasan supaya Sabrina melepaskan Isfahan. Lia yang juga dihimpit rasa cemburu cuba memisahkan Isfahan dan Sabrina.

Lia masih berharap perhubungannya dengan Isfahan akan kembali seperti dulu. Namun luka di hati Isfahan terlalu dalam dan tidak mungkin Lia akan mendapat tempat di hatinya lagi.




Pemergian Puteri telah membuatkan Isfahan lupa pada janjinya terhadap Sabrina. Pertunangan yang dirancang musnah apabila Isfahan tidak hadir pada hari yang ditetapkan.

Sabrina yang terluka tekad untuk pergi jauh daripada hidup Isfahan dan pulang ke Sarajevo.

Setelah keadaan reda, Isfahan baru tersedar akan janjinya dan mula mencari Sabrina.

Isfahan buntu dan kecewa kerana dia masih lagi tidak dapat menjejak Sabrina sehingga ke Sarajevo. Rykarl, kawan baik Isfahan memberikan satu idea yang dirasakan akan berkesan.

Isfahan memuat naik satu video dengan tajuk "Mencari Sabrina" di Facebook. Video itu mula tersebar dan Sabrina turut menonton permintaan Isfahan yang memintanya untuk datang menemuinya di Plava Voda, tempat yang menjadi saksi cinta mereka bertaut.

Adakah Sabrina akan melupakan luka yang dicipta Isfahan dan pergi menemui jejaka yang mencuri hatinya di Sarajevo? Segalanya bakal terjawab dalam episod akhir Satu Hari pada 28 Januari ini, Rabu, jam 8.30 malam di TV9.

Drama 14 episod ini turut dibantu oleh Rita Rudaini, Miller Khan, Hafizul Kamal dan juga pelakon pembantu yang berasal daripada Sarajevo iaitu Mirza Salehozic, Kanita Boskovic dan Elmir Krivelic.

Untuk maklumat lanjut sila layari www.tv9.com.my dan ikuti juga laman sosial TV9 iaitu facebook/TV9DiHatiku, twitter dan instagram tv9Malaysia.



Previous Post Next Post