24 April keputusan kes saman Ellie Suriati



MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 24 April ini untuk keputusan kes saman yang difailkan syarikat penerbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd terhadap pelakon Ellie Suriati berhubung pelanggaran kontrak dalam filem KL Cinta Mandi Toq.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Suhaimi Saad yang mewakili pelakon itu atau nama sebenarnya Ellie Suriati Omar, ketika kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Suhaimi memberitahu syarikat itu telah menarik balik rayuan terhadap tuntutan saman balas yang dikemukakan Ellie Suriati kerana mahkamah mendapati ia bersifat akademik.

"Rayuan tersebut bersifat akademik selepas perbicaraan kes saman pelanggaran kontrak yang difailkan syarikat itu terhadap Ellie Suriati telah selesai di Mahkamah Majistret Sivil sebelum ini.

"Sehubungan itu, mahkamah akan membuat keputusan pada tarikh tersebut," katanya.



Pada 8 April tahun lalu, syarikat itu selaku plaintif mengemukakan saman terhadap Ellie Suriati, 45, yang juga pengarah filem seram, Penanggal, selepas mendakwa tindakan pelakon itu melanggar kontrak menyebabkan syarikat menanggung kerugian RM20,000.

Syarikat itu juga menuntut ganti rugi khas RM33,500, ganti rugi am RM20,000, faedah bagi ganti rugi khas dan am sebanyak empat peratus dari hari pertama ketidakhadiran penggambaran atau tarikh sedemikian seperti mana yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Pada 23 Jun tahun lepas, Ellie Suriati mengemukakan tuntutan balas dengan menuntut RM50,000 sebagai ganti rugi am daripada syarikat itu kerana berniat jahat dan membuat fitnah dengan menyiarkan kenyataan bahawa beliau (Ellie Suriati) telah membuat pelbagai masalah selepas mengambil wang pendahuluan sebanyak 25 peratus sejurus menandatangani kontrak.

Dalam tuntutan itu juga, pelakon itu mendakwa syarikat itu menyatakan dirinya membuat pelbagai permintaan termasuk menyediakan kenderaan untuk pergi ke penggambaran filem KL Cinta Mandi Toq.

Akibat daripada kenyataan itu, beliau mendakwa mengalami kemurungan, keaiban dan reputasinya turut terjejas. Ellie Suriati turut menuntut ganti rugi khas RM20,000 dan menuntut syarikat itu mengemukakan tuntutan maaf secara terbuka melalui media massa dan elektronik.

Previous Post Next Post