Azmil layak diberi markah penuh



SELEPAS 11 minggu berhempas pulas memperbaiki diri dalam mencapai impian bergelar penyanyi cukup berbaloi buat protoge, Azmil yang berjaya merampas gelaran juara pada Konsert Akhir Mentor Legend malam kelmarin.

Kemenangan yang menewaskan dua finalis Aina dan Sarah telah membuktikan Azmil memiliki kekuatan dan bakat luar biasa.

Lebih membanggakan persembahan Azmil yang berjaya mengumpan markah penuh daripada dua juri tetap iaitu Azmeer dan Adlin Aman Ramli serta juri jemputan Cakra Khan yang melayakkan dirinya dinobatkan sebagai juara program tersebut.

Mengulas lebih lanjut mengenai keputusan itu, wakil juri tetap Azmeer memberitahu secara keseluruhan, persembahan anak didik Mentor Dayang Nurfaizah pada malam itu adalah yang terbaik dan layak menerima markah penuh.

“Secara jujurnya, kami sebagai juri tidak pernah membuat sebarang perbincangan untuk memberikan markah penuh.

“Saya juga tidak sangka Adlin dan Cakra turut memberi markah penuh dan sesungguhnya kami memberi markah mengikut naluri rasa dan apa yang mengagumkan kami.

“Azmil layak menerimanya kerana persembahannya pada malam ini (Ahad) tidak sumbang dan keikhlasan dan kesungguhannya menyanyi dan menari telah berjaya mengumpan kami untuk beri markah tinggi kepadanya,” jelas Ameer.



Sebagai juara, Azmil dan Dayang membawa pulang hadiah RM300,000, dua kereta Proton Iriz, RM10,000 baucar Zalora Malaysia, set TV dan trofi.

Manakala Aina protege Ella memenangi tempat kedua menerima RM200,000 dan trofi manakala Sarah protege Amy Search membawa wang tunai RM100,000 serta trofi.

Tak jangka kemenangan

Tidak pernah terbayang dinobatkan sebagai juara, penyanyi berusia 22 tahun ini akui bersedia untuk menempuh cabaran mendatang dalam merealisasikan impiannya bergelar penyanyi.

Menurutnya, pengalaman selama tiga bulan menimba ilmu bersama Dayang sebagai mentor banyak memberi perubahan buat dirinya.

“Sebelum ini banyak kali saya cuba persoalkan diri sama ada saya mampu dan bersedia untuk berada dalam industri kelak.

“Namun atas berkat doa keluarga, Dayang, dan penyokong, saya sudah bersedia dan mahu buktikan kepada mereka saya mampu teruskan perjuangan ini.

“Banyak pengalaman dan ilmu yang saya peroleh dan melihatkan penat lelah Dayang telah membakar semangat saya untuk beri yang terbaik,” ujarnya gembira.

Pada masa yang sama, Azmil memberitahu kemenangannya pada malam itu adalah di luar jangkaannya memandangkan Aina dan Sarah turut memberi saingan hebat buatnya.

“Memang terkejut dengan keputusan malam ini dan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik.

“Hadiah wang tunai ini saya akan manfaatkannya untuk membantu keperluan keluarga terutamanya kepada ke dua ibu bapa saya,” katanya sambil tersenyum lebar.

Kerja keras berbaloi - Dayang

Pernah berasa kecewa dengan prestasi Azmil pada konsert minggu pertama tidak menghalang Dayang menyuntik semangat anak didiknya itu untuk beri yang terbaik.

“Saya bersyukur sangat dan memang tidak sangka dengan kemenangan ini.

“Bagi saya ini adalah satu permulaan yang baik buat Azmil dan apa yang kami usahakan selama ini memang berbaloi,” katanya.

Pada masa yang sama, Dayang tidak menafikan perjalanannya membimbing Azmil bukanlah sesuatu yang mudah.

“Memang ada turun naiknya tambahan pula Azmil masih mentah dalam bidang ini. Ada kalanya dia buat yang terbaik dan ada kalanya dia hilang fokus.

“Tapi untuk malam ini (Ahad) saya amat berterima kasih kepadanya kerana berjaya buktikan kepada semua bahawa dia mampu lakukan yang terbaik.

“Apa pun perjalanannya selepas ini, saya tidak akan lepas tangan kerana bakatnya terlalu besar untuk dipersiakan dan saya harap orang di luar sana juga mampu melihat dirinya dengan baik,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Previous Post Next Post