Lisa Surihani Anggap Aznil Lebih Layak Ke Anugerah Oskar



Lisa tolak tawaran ke Anugerah Oscar selepas disahkan hamil.

Pelakon Lisa Surihani menganggap tiada rezekinya apabila peluang dia untuk mengendalikan rancangan siaran langsung dari lokasi Anugerah Oskar di Los Angeles, Amerika Syarikat yang berlangsung pada Isnin digantikan dengan pengacara terkenal Datuk Aznil Haji Nawawi.

Malah, Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 29, berkata, Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil lebih layak untuk mengalas tanggungjawab tersebut berikutan pengalaman luas dalam bidang pengacaraan.

"Pada awalnya memang saya sepatutnya pergi ke Anugerah Oskar itu tetapi disebabkan keadaan saya sekarang (mengandung) saya terpaksa menolak tawaran itu. Ia mengambil masa yang terlalu panjang untuk berada dalam penerbangan ke sana.

"Bagi saya tempat itu digantikan kepada orang yang paling layak dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengacaraan," ujarnya kepada Artis Meletop.



Lisa berkata demikian ketika ditemui pada majlis Breakfast With The Star yang diadakan di Hotel Shang-rila, di sini, sambil menyaksikan siaran langsung Anugerah Oskar ke-87 menerusi saluran Astro HBO.


Aznil Haji Nawawi.

Tambah Lisa, suaminya Yusry Abdul Halim turut menyokong keputusannya untuk menolak tawaran tersebut selepas disahkan mengandung anak sulung mereka.

Rancangan istimewa dikendalikan Aznil berjudul HBO Sentral di Oscar Red Carpet itu akan disiarkan secara eksklusif di HBO saluran 411 pada 8 Mac depan, pukul 1.25 tengah hari.

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangannya, Lisa berkata, dia merancang untuk berehat daripada aktiviti seni sehingga melahirkan cahaya mata.

"Saya memang merancang untuk berehat sehingga lepas bersalin, namun saya tidak buat keputusan lagi dan tengok keadaan kesihatan.

"Saya lihat ada perempuan mengandung yang kuat untuk melakukan aktiviti selepas beberapa bulan kandungan, jadi saya lihat bagaimana keadaan saya nanti kalau tidak mengizinkan barulah saya berehat," ujarnya.

Mengulas apabila ditanya tentang perkembangan kandungannya, Lisa berkata semuanya berjalan dengan baik.

Tambahnya, setakat ini dia belum mempunyai nafsu makan yang luar biasa seperti kebiasaan wanita mengandung lain.

"Kalau pasal makan belum ada yang pelik-pelik lagi, biasanya saya random sahaja mahu makan apa.

"Namun tak berani nak cakap kerana mungkin selepas ini ada pula rasa nak makan atau mengidam tu," ujarnya.

Sementara itu, Lisa berkata, disebabkan terlalu rindu terhadap bidang lakonan, suaminya membenarkan sebuah penggambaran drama dilakukan di rumah mereka.

Jelas Lisa, perkara itu membolahkan dia sentiasa berada dalam bidang ini biarpun sudah lama tidak terlibat dengan mana-mana penggambaran.

"Saya rindu ingin berlakon tetapi keadaan tidak mengizinkan, jadi suami saya benarkan satu penggambaran di rumah supaya saya boleh lepas rindu.

"Bila tengok penggambaran itu saya rasa sangat gembira dan puas, setidak-tidaknya saya tidak rasa terlalu ketinggalan daripada bidang ini," ujarnya.

Previous Post Next Post