Zahida Rafik Kalah Saman, Bekas Pemandu Terima Ganti Rugi RM150,000



The Malaysian Insider hari ini melaporkan bekas pemandu dianugerahkan RM150,000 sebagai ganti rugi selepas Mahkamah Tinggi mendapati pelakon Zahida Rafik bertanggungjawab memfitnah bekas pekerjanya itu.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng berkata, Noor Azman Azemi berjaya membuktikan terdapatnya unsur fitnah dilakukan terhadapnya.

Hue turut menolak tuntutan balas Zahida, yang menuntut bekas pemandunya memulangkan RM200,000 – dikatakan diambil daripadanya.

Zahida juga diperintahkan untuk membayar kos kepada Noor Azman sebanyak RM40,000.



Dalam saman malu yang difailkan oleh Noor Azman pada 27 November 2013, dia mendakwa Zahida menuduhnya melarikan wang sebanyak RM200,000.

Dia mendakwa Zahida memfitnahnya dalam akhbar tabloid Harian Metro berkenaan kehilangan wang berjumlah RM200,000 itu dan pada Mac 2012, pelakon dikatakan dengan niat buruk menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang dapat menjumpai Noor Azman.

Zahida sebelum ini juga didakwa mempunyai hubungan romantik dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang juga merupakan seorang menteri Kabinet.

Previous Post Next Post