Bella Dally: Saya sentiasa sokong Nazim Othman



GAMBAR dan kata-kata semangat buat Nazim yang dikongsikan Bella di laman Instagram miliknya baru-baru ini.

SELEPAS sekian lama mendiamkan diri, misteri penyakit sebenar yang dialami Nazim Othman akhirnya didedahkan aktor itu menerusi rakaman program H! Live Apa Kata Malaysia di saluran Astro baru-baru ini.

Ketika ditemu bual hos program berkenaan iaitu Datuk Aznil Nawawi pada Isnin lepas, Nazim menafikan dia menghidap kanser otak.

Sebaliknya, Nazim menjelaskan, dia kini dalam proses pemulihan selepasi menjalani pembedahan akibat ketumbuhan otak pada 6 Mac lalu selepas dikesan menderita penyakit itu sejak Januari lepas.

Menurutnya, pada mulanya dia disyaki menghidap demam denggi, namun pemeriksaan darah oleh pihak hospital mengesahkan dia bebas daripada penyakit itu sebelum kesakitan di kepalanya berlarutan selama sebulan.

Gara-gara ubat-ubatan yang diambilnya juga menyebabkan badan Nazim kini dilihat sedikit berisi berbanding dahulu.

Perkembangan positif itu pastinya mengundang kelegaan keluarga dan peminat Nazim termasuk wanita yang dikatakan paling rapat dalam hidupnya buat masa ini, Bella Dally.


Bella, 24, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally juga pernah berkongsi gambar mereka di laman Instagram bersama kata-kata semangat seperti You’re Not Alone (awak tidak berseorangan) baru-baru ini.

Biar ramai yang tertanya-tanya apakah status hubungan sebenar antara mereka selama ini, tanpa berselindung Bella mengakui cukup gembira dengan perkhabaran positif Nazim ketika ini.

“Alhamdulillah, saya sentiasa menyokong Nazim sejak dahulu. Saya juga berharap kesemua pihak dapat mendoakan kesejahteraan Nazim supaya kembali sihat walafiat seperti sedia kala,” katanya kepada Sensasi Bintang.

Sengaja ditebak persoalan sama ada dia akan sentiasa menemani Nazim tidak kira apa jua yang berlaku, ini jawapan Bella.

“Nazim tahu apa yang akan saya katakan kepadanya. Jadi, biar antara kami saja yang tahu,” jelas teraju drama Vanilla Coklat itu.

Sambil tidak putus-putus memanjat doa supaya Nazim kembali pulih 100 peratus, Bella sebaliknya bersikap ‘mengunci mulut’ berhubung penyakit yang menimpa Nazim.

“Maaf, saya tidak berhak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu,” jelasnya.

Bella juga enggan mengulas lanjut mengenai siapa sebenarnya Nazim di hatinya.

“Apabila masanya sudah tiba, saya akan umumkan,” ujarnya menutup perbualan.

Previous Post Next Post