Encik Mimpi: Ada senang, ada susah apabila bertopeng



KALENDAR 2015 merupakan tahun kedua buat penyanyi yang tampil dengan imej bertopeng, Encik Mimpi berada dalam arus perdana industri muzik tanah air. Bagaimanapun, jika diukur penglibatannya dalam seni suara, dia sudah mula memperkenalkan diri sekitar tahun 2009.

Ketika itu, dia hanya berkongsi video-video nyanyiannya menerusi laman blog yang dihasilkannya sebelum beralih kepada medium YouTube. Menariknya, sejak dahulu, tiada peminatnya yang mengetahui bagaimana paras rupa jejaka berusia 27 tahun itu.

Sehingga kini, wajah dan identitinya masih lagi menjadi tanda tanya. Hakikatnya, tiada siapa yang tahu rupa sebenar pelantun yang popular dengan lagu Rindukanlah itu, melainkan ahli keluarga dan kenalan terdekatnya sahaja.


“Sebenarnya, dengan imej sebegini (bertopeng), ada senang dan ada susahnya juga. Senang kerana saya ada privasi. Saya boleh keluar rumah secara bebas, sebab orang tidak kenal. Ini bukan bermaksud saya mahu menyombong dengan peminat.

“Bagaimanapun, agak susah untuk saya mahu rapat dengan seseorang. Ini kerana, kebiasaannya jika kita ingin berkawan rapat dengan orang, kita akan berkongsi cerita peribadi, tapi saya tak boleh berbuat demikian,” katanya yang tidak pernah mendedahkan maklumat diri kepada umum.

Bukan itu sahaja, dari segi nyanyian juga, kata Encik Mimpi, pemakaian topeng adakalanya mengganggu lontaran suara.

“Ia juga ada sedikit mengganggu teknik pernafasan dan lontaran vokal ketika saya membuat persembahan. Itu yang adakalanya, kedengaran sedikit sengau,” katanya.

Previous Post Next Post