Transisi kerjaya Izzue Islam


MEMULAKAN kerjaya seni sebagai penyanyi berkumpulan, Izzue Islam terus mengorak langkah bersama Forteen tanpa menoleh ke belakang. Bersama kumpulan yang mendapat bimbingan daripada kumpulan KRU itu, Izzue berbangga kerana Forteen kini mampu berdiri gah di dalam arena muzik tempatan.

Biarpun sudah berumah tangga dan aktif membintangi filem dan drama di kaca televisyen, tempoh lima tahun bersama tiga lagi anggota Forteen, iaitu One, Ariz dan Ameerais, Izzue masih di landasan yang sama.

Kematangan daripada pengalaman yang diperoleh menjadikan kefahamannya tentang nyanyian dan lakonan menjadi sebuah acuan karier yang saling melengkapi. Bagi Izue, Forteen bukan sahaja jenama karier, gabungan bersama One, Ariz dan Ameerais pula sudah seperti saudara yang sukar terputus walaupun ada sahaja cabaran mendatang.

Atas alasan itu, Izzue berani menegakkan pendirian apabila wujudnya khabar angin mendakwa Forteen kini di ambang perpecahan. Persefahaman antara anggota kumpulan itu dikatakan bagai retak menanti belah apabila setiap anggota semacam memilih untuk mencari haluan sendiri.

Menyifatkan perkara itu satu isu yang mustahil, pemilik nama Muhammad Izzul Islam Mazlan tangkas menepis tohmahan berkenaan. Katanya, dakwaan itu muncul mungkin disebabkan percaturan syarikat rakaman mereka, KRU Studios yang ‘merehatkan’ Forteen buat sementara waktu.

Kata Izzue, keputusan itu dibuat kerana KRU merasakan situasi itu bertujuan memberi ruang kepada setiap ahli kumpulan bergerak secara solo. Menjadi satu teknik pemasaran juga, KRU menggunakan pendekatan komprehensif itu agar setiap ahli Forteen berpeluang menyerlahkan bakat nyanyian dalam genre pilihan masing-masing.


“Kumpulan Forteen tidak akan berpecah sebaliknya kami kini memberi fokus kepada projek solo. Dakwaan itu mungkin muncul kerana kami kurang dilihat membuat penampilan bersama.

“Peminat tidak perlu berasa bimbang kerana walaupun masing-masing akan mempunyai single sendiri, Forteen tetap utuh dan tidak akan berpecah,” jelas Izzue dengan bersungguh-sungguh.

Mengulas lanjut, penghasilan single solo buat setiap ahli Forteen masih berada dalam peringkat perbincangan. Malah, pihak KRU Studios masih tidak menentukan siapa yang pertama dalam kalangan anggota Forteen akan memiliki single sendiri terlebih dulu.

“Memang kumpulan Forteen kini direhatkan, namun giliran siapa yang menjadi individu pertama memiliki single sendiri masih rahsia.

“Perkara itu akan menjadi kejutan buat peminat malah saya sendiri tidak tahu genre dan lagu bagaimana yang bakal dijadikan single solo nanti,” katanya.


MENGAKUI bidang pengacaraan agak sukar, Izzue tidak cepat putus asa sebaliknya berusaha untuk terus sukses.

Lakonan dan pengacaraan

Lelaki kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut berkongsi cerita bahawa dia kini sedang berusaha untuk menghasilkan lagu ciptaan sendiri. Namun, penyanyi berusia 25 tahun itu mengakui berasa gentar dan ragu-ragu untuk memberikan demo lagu ciptaannya kepada komposer terkenal, Edry Abdul Halim.

“Memang saya memiliki beberapa buah koleksi lagu ciptaan sendiri namun keyakinan untuk memperdengarkan karya sendiri kepada Edry ialah sesuatu yang sangat mencabar.

“Dia komposer profesional yang telah menghasilkan banyak karya hebat, sedangkan saya masih bertatih untuk mencipta lagu,” ujar penyanyi Izzue.

Seiring dengan bakat nyanyian, Izzue mula mendapat perhatian dalam bidang lakonan sewaktu membintangi drama bersiri Sebenarnya Saya Isteri Dia bergandingan dengan aktres jelita, Tiz Zaqyah.

Bermula daripada detik itu, wajahnya Izzue sering menghiasi kaca televisyen dan menjadi rebutan pihak produksi untuk dijadikan pelaris drama dan filem mereka.

Bagaimanapun, aktor itu telah mengejutkan ribuan peminatnya apabila dia melangsungkan perkahwinan dengan pengurusnya, Nurinafilah Waharudin pada 2 Jun 2013.

Dikenali sebagai Awin Nurin, 31, isteri kepada Izzue itu terkena tempias apabila dituduh menjadi punca suaminya enggan melibatkan diri dalam adegan intim bersama pelakon wanita.

Selain itu, keengganan Izzue melakonkan babak berpegangan tangan dengan pelakon wanita lain, turut menjadi persoalan dalam kalangan peminat apabila ada yang mengatakan pelakon itu dikongkong isteri.

Izzue bagaimanapun tidak mengambil pusing mengenai isu tersebut. Dia sebaliknya berdiri teguh mempertahankan prinsip lakonannya itu sehingga kini.

Walaupun dikatakan mempunyai batasan dalam lakonan, Izzue masih menerima banyak tawaran berlakon sebagai watak utama namun masih mengekalkan syarat agar tiada ada adegan bersentuhan.

Terbaharu, aktor itu muncul menerusi drama bersiri Suami Sebelah Rumah bersama pelakon, Ayda Jebat. Selain itu, Izzue juga bakal tampil dengan filem baharu berjudul Tujuh Dimensi Alif yang bakal ditayangkan pada penghujung tahun nanti.

“Dalam tempoh terdekat ini, saya turut akan muncul dengan sebuah filem adaptasi novel bertajuk Suami Aku Ustaz. Filem itu akan ditayangkan pada 14 Mei hadapan,” katanya.

Menyorot semula episod kerjaya lakonannya, kekerapan kemunculan Izzue di kaca televisyen kini dirasakan tidak serancak dahulu. Menurut Izzue, situasi itu berlaku mungkin disebabkan perhatiannya kini teralih ke bidang pengacaraan.

“Kurang muncul dalam telefilem atau drama bersiri tidak bermakna kerjaya lakonan saya sudah terhenti, sebaliknya tawaran pengacaraan yang diterima menyebabkan komitmen terhadap drama menjadi terhad,” tutur Izzue mesra.


FORTEEN yang dianggotai (dari kiri) Izzue, Areez, One dan Ameerais masih utuh sebagai sebuah kumpulan biarpun kini fokus kepada projek single solo.

Bercerita mengenai transisi kerjayanya itu, sayap Izzue ke bidang pengacaraan semakin lebar sejak tugasannya menjayakan acara Karpet Merah Anugerah Skrin 2014 bersama Dynas Mokhtar dipuji ramai.

Tidak mudah berada di zon selesa, akui Izzue, masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya dalam bidang pengacaraan. Lebih menggunakan pendekatan mengambil sebarang peluang yang datang, Izzue berusaha agar tidak menghampakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Buat masa ini, jujurnya saya tidak cerewet dalam menerima keputusan tawaran pengacaraan. Sebaliknya perkara itu dianggap sebagai cabaran untuk melatih agar menjadi lebih sempurna,” kata Izzue yang kini menjadi hos beberapa rancangan di RTM dan HyppTV antaranya, HyppTV Studio bersama Nadia Heng.

Ikon pelancongan Safir Gotravel

Selain lakonan, nyanyian dan pengacaraan, pelakon teater Maduku Kalut dan Projek Kahwin itu turut dilimpahi rezeki menerusi pelantikan sebagai duta produk. Diangkat sebagai ikon fesyen bagi jenama pakaian tempatan, 27 Legacy Tie Dye termasuk menjadi duta produk kesihatan Auramen dan Super Coffe, pelakon filem Sunti@Facebook itu sekali lagi menjadi ikon pelancongan Safir Gotravel.com buat kali ketiga.

Untuk edisi 2015, Izzue akan membawa peminatnya ke Itali selama lapan hari enam malam bermula 27 November hadapan dengan pakej pelancongan bernilai RM6,490 seorang.

“Selepas Hong Kong dan Korea Selatan, Alhamdulillah ini buat kali ketiga saya dapat bercuti dengan isteri dan juga peminat atas pelawaan Safir Gotravel.com. Rasanya, keseronokan percutian itu akan berganda.

“Saya bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh oleh Safir Gotravel kerana masih meyakini saya sebagai ikon percutian mereka,” kata Izzue.

Selain Izzue, Safir Gotravel.com turut menyediakan pakej percutian bertemakan kulinari bersama cef selebriti, Datuk Cef Ismail ke Jordan dan Palestin pada 6 Jun depan.

Pakej berharga RM7,480 untuk dua orang dewasa sebilik, RM8,150 seorang dewasa sebilik manakala RM6,360 bagi kanak-kanak kini terbuka untuk ditempah. Layari laman web www.safirgotravel.com untuk maklumat lanjut.

Previous Post Next Post