Isey Fazlisham mahu angkat martabat dikir barat



PERTAMA kali mengadakan persembahan solo, Isey Turun KL pada 23 dan 24 April ini, Isey menjanjikan suatu kelainan apabila menggarap elemen dikir barat, wayang kulit, jenaka dan sketsa dalam satu persembahan.

BERBANGGA dengan budaya tradisi negeri kelahiran sendiri mendorong anak seni dari Kelantan, Isey Fazlisham untuk mengadakan sebuah persembahan solo dalam dialek negeri itu berjudul Isey Turun KL.

Bakal dipentaskan pada 23 dan 24 April ini di Petaling Jaya Live Art, Isey Turun KL merupakan sebuah persembahan yang bersadur dikir kontemporari dan diselitkan dengan unsur jenaka, wayang kulit serta sketsa.

Idea dan pengarahan persembahan yang bermula pada pukul 8.30 malam itu dilakukan sendiri oleh Isey, 28, manakala penulisan skrip pula dihasilkan oleh rakannya, Reyza Mukmin.

Teruja untuk menantikan persembahan solo yang bakal berlangsung dalam masa terdekat, Isey berkata, ia merupakan susun atur sebuah cerita pendek yang mengisahkan tentang dirinya berasal dari pelosok kampung dan mahu memulakan kehidupan baharu di ibu kota besar penuh mencabar seperti Kuala Lumpur.

“Idea asal untuk persembahan ini datangnya daripada saya sendiri. Ia diinspirasikan daripada kisah hidup saya sewaktu mula-mula datang ke Kuala Lumpur. Bagaikan rakyat marhaen yang masuk ke sebuah tempat elit, perasaan saya pada ketika itu umpama rusa masuk kampung. Terkejut dengan budaya, persekitaran dan orang sekeliling merupakan perkara normal bagi seseorang yang berhijrah ke bandar besar.

“Saya tidak pernah melupakan tentang segala susah payah mahu menjadi anak seni. Jadi, apabila peluang telah terbuka di depan mata, saya ambil kesempatan besar seperti ini untuk menceritakan segala kisah saya kepada umum dalam bentuk persembahan,” ceritanya yang ditemui dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin baru-baru ini.


Menurut jejaka itu lagi, profil diri yang pernah berkecimpung aktif dalam dikir barat berperanan sebagai tukang karut merupakan bonus buat dirinya untuk berdiri sendiri di atas pentas.

“Sebelum masuk ke dalam dunia seni, saya sudah ada pengalaman dengan kumpulan dikir barat iaitu memegang peranan sebagai tukang karut. Peranan tukang karut itu sendiri sangat berat kerana pekerjaan tersebut sebenarnya merupakan tonggak utama bagi mana-mana persembahan dikir barat.

“Disebabkan mempunyai pengalaman sebagai tukang karut menyebabkan saya terdetik idea untuk menghasilkan sebuah persembahan seumpama ini. Saya mahu kongsikan kepada semua orang di luar sana tentang peranan tukang karut yang kebanyakannya tidak diketahui dengan mendalam,” jelasnya mesra.

Tambah Isey, selain mengangkat kisah sendiri dan susah payah sebagai anak seni, dia juga sebenarnya ada tujuan yang lebih penting ketika mula-mula memikirkan untuk membuat persembahan seumpama itu.


AKUI Isey, selain mahu mencabar diri melakukan persembahan solo, dia juga mempunyai objektif untuk mengangkat martabat dikir barat ke persada yang lebih tinggi.

Mahu menjadikan seni budaya dikir barat setaraf dengan jenis hiburan sedia ada di negara ini mendorong jejaka yang lahir daripada program Bintang Mencari Bintang musim pertama pada tahun 2013 itu membawa masuk elemen dikir barat ke dalam persembahannya nanti.

“Tujuan utama saya adalah mahu mengangkat seni muzik dikir barat ke persada yang lebih tinggi. Kalau dahulu masyarakat sekeliling sering melabelkan dikir barat merupakan sejenis hiburan untuk orang-orang kampung, terutamanya di negeri Kelantan, kini tidak lagi.

“Saya memandang serius usaha beberapa pihak yang mengetengahkan dikir barat ini ke serata pelosok negara termasuklah dalam pelbagai program televisyen. Antaranya, mentor saya sendiri iaitu Sabri Yunus yang membawa elemen dikir barat dalam persembahan rancangan Karoot Komedia di Astro Warna.

“Ternyata usaha itu berkesan kerana kini sudah banyak kumpulan yang terdiri daripada anak muda mula mengangkat dikir barat ke peringkat lebih tinggi. Sebab itu, saya memanggil kumpulan Dikir Exclusive (DX) sebagai pengiring dalam persembahan saya nanti,” ulasnya panjang lebar.

Meskipun membawa persembahan yang sarat dengan loghat bahasa negeri kelahiran sendiri tetapi Isey yakin kekangan bahasa tidak menghalang penonton untuk datang memeriahkan persembahan tersebut.

“Walaupun umum sedia maklum persembahan dikir barat memang dilantunkan dalam bahasa Kelantan tetapi bagi saya ia tidak akan menimbulkan masalah kerana pada hari persembahan itu nanti, bahasa yang digunakan merupakan dialek yang mudah difahami.

“Tambahan pula, sewaktu mengadakan persembahan di sana sebelum ini, saya sudah mengumpul sebilangan peminat tersendiri. Jadi saya percaya, mereka akan kembali lagi untuk menyaksikan Isey Turun KL,” tuturnya optimis.

Jelas Isey, sususan plot bagi persembahan itu disusun rapi dengan mempersembahkan wayang kulit sebagai pembukaan cerita persembahan yang berlangsung selama satu jam setengah itu.

Tiket persembahan dijual pada harga serendah RM20 dan RM30 seorang dan boleh didapati menerusi laman web www.tix.my atau boleh terus didapati pada hari persembahan.

Previous Post Next Post