Konsert Aku, Dia & Lagu meriah Hafiz & Hazama



PERSEMBAHAN duet Hafiz (kiri) dan Hazama paling mencuit hati penonton.

Selepas 20 tahun tidak menyanyi, penyanyi terkenal era 60-an dan 70-an, Sanisah Huri masih mengekalkan kehebatannya di atas pentas. Buktinya, pada usia 63 tahun, Sanisah masih mempunyai aura bintang sewaktu mengadakan persembahan dalam konsert Aku, Dia & Lagu yang berlangsung pada hujung minggu lalu di Istana Budaya.

Kemunculannya pada akhir konsert memang dinantikan peminat. Malam itu, beliau mendendangkan enam buah lagu iaitu Gelisah, Ku Jangan Di Tinggal Tinggalkan, Kisah Tuah Dan Tijah, Bersabarlah Sayang, Lagu Peribahasa dan Sampaikan Hati Ini Kepadanya.

Meskipun tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar dan melakukan beberapa kesilapan kecil, Sanisah tetap berjaya memukau penonton dengan vokal hebatnya.

“Maaf, sudah lama tidak menyanyi agaknya. Saya agak gementar kerana ini kali pertama saya menyanyi di Istana Budaya. Terima kasih buat peminat yang sudi hadir untuk menyaksikan persembahan ini,” katanya kepada peminat sewaktu di atas pentas.

Selain Sanisah, penyanyi lain yang turut terlibat dalam konsert yang mengangkat karya nukilan penulis lirik terkenal Yusnor Ef itu ialah A. Razak, J. Mizan, A. Rozainie, Maria Bachok, Hazama, Hafiz Suip, Imran Ajmain, Aisyah Aziz, Rasyidah Rahim dan Shafie.

Boleh dikatakan persembahan pada konsert tersebut membawa penonton kembali ke era 60-an dan & 70-an. Persembahan paling meriah sudah tentu gandingan Hafiz dan Hazama. Tidak hanya melakukan persembahan solo, mereka juga menyanyi secara duet lagu Pop Yeh Yeh berjudul Zunika dan Mama Chombi.

Walaupun lagu tersebut tidak pernah didendangkan, namun mereka berjaya mencuit hati penonton dengan persembahan bersahaja.


“Sebenarnya kami berdua mempunyai waktu yang sukar ketika sesi latihan yang berlangsung selama tiga hari. Selain tidak pernah menyanyikan lagu yang diberikan, kami juga mempunyai beban yang berat kerana semua karya Yusnor Ef pernah popular pada waktu dahulu.

“Kami bimbang tidak dapat menyampaikan lagu yang diamanahkan dengan baik. Alhamdulillah, melihat sambutan penonton, saya yakin, kami berdua telah beri yang terbaik,” ujar Hazama yang ditemui selepas konsert berakhir.

Sementara itu, Hafiz turut berkongsi pengalamannya mempelajari tarian ketika mendendangkan lagu Pop Yeh Yeh bersama Hazama.

“Kami berdua harus menari ketika menyanyikan lagu Zunika dan Mami Chombi tetapi saya tidak tahu tarian apa yang sesuai. Saya bimbang jika terlebih menari akan merosakkan persembahan. Oleh itu, saya membuat sedikit kajian di YouTube dan menonton persembahan Allahyarham Datuk Ahmad Daud.

“Selepas itu, baru saya tahu apa yang harus dilakukan di atas pentas. Allahyarham Datuk Ahmad Daud memang terkenal dengan persembahan santai dan bersahaja. Itu yang diterapkan dalam persembahan kami,” terang Hafiz.

Persembahan penyanyi Maria Bachok dan A. Rozainie juga wajar dipuji. Mereka mendendangkan dua buah lagu duet iaitu Jasad Dan Nyawa Kalangan Budi serta Kasih Sayang Suami Isteri.

Kedua-dua lagu tersebut merupakan lagu duet Maria dan bekas suaminya, Allahyarham A. Ramlee.

Persembahan selama dua jam itu diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah bertanggungjawab sebagai pengarah muzik. Antara lagu lain yang turut didendangkan ialah Jinak Jinak Merpati, Setangkai Tak Sebau, Kawanku Bintang Capricon, Terpisah Akhir, Kau Harapan Ku, Lanang Tunang Tak Jadi, Senjakala, Lukisan Rasa, Hari Ini Dan Semalam, Normila dan Aku, Dia & Lagu.

Previous Post Next Post