Siti Saleha anggap dakwaan minta bayaran mengarut



SELAIN menafikan meminta bayaran untuk hadir ke sidang akhbar naskhah lakonannya sendiri, Siti Saleha turut menyifatkan dakwaan dia memilih stesen televisyen sebagai merepek.

Bagai menjadi satu trend apabila seseorang anak seni diiktiraf atau memenangi sesebuah anugerah, kisah menjadi sombong, bersikap lupa diri dan demanding selalu dikaitkan dengan mereka.

Terkini, tiada angin tiada ribut, nama pelakon Siti Saleha, 25, tiba-tiba disapa khabar angin yang mendakwa dirinya sudah mula tunjuk belang sejak memenangi Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2014, (ABPBH 2014) baru-baru ini.

Selain dikatakan memilih tawaran daripada produksi tertentu sahaja, Saleha juga didakwa meminta bayaran untuk hadir ke sidang akhbar drama lakonannya dengan sebuah saluran televisyen.

Tidak mahu tanda-tanya berkenaan kerenah pelakon yang juga adik kepada penyanyi Sam Bunkface itu berterusan, Kosmo! menghubungi pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd. Baharum itu untuk mendapat penjelasan lanjut.


Artis Meletop!: Masih belum terlambat rasanya untuk Kosmo! mengucapkan tahniah kerana Saleha dinobatkan sebagai artis paling popular dalam sebuah anugerah baru-baru ini. Bagaimanapun, selepas kemenangan tersebut, kini timbul pula dakwaan mengenai sikap anda yang sudah berubah. Boleh jelaskan mengenai spekulasi tersebut?

SITI SALEHA: Terima kasih, kejayaan itu saya dedikasikan kepada semua peminat yang tidak jemu menyokong karier seni saya. Berkenaan dakwaan sebegitu, setakat yang saya sedar, saya masih lagi Siti Saleha yang dahulu. Tidak berubah sebelum atau selepas saya menang ABPBH 2014.

Benarkah ada saluran televisyen yang mengatakan pihak anda menuntut bayaran untuk hadir ke sidang akhbar drama yang dibintangi oleh anda sendiri baru-baru ini?

Saya tidak pernah keluarkan kenyataan seperti itu. Selama bergelar seorang pelakon, saya bersikap profesional dan tidak pernah menyusahkan mana-mana pihak. Dakwaan saya tuntut bayaran untuk hadir ke sidang akhbar lakonan sendiri adalah mengarut.

Bagaimana pula dengan prinsip kerja anda yang dikatakan tidak menerima tawaran daripada produksi Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana promosi stesen televisyen tersebut tidak meluas?

Itu satu lagi kenyataan tidak benar. Saya bukanlah pelakon yang sudah begitu senior untuk menetapkan banyak perkara. Saya masih lagi pelakon yang cuba untuk membina tapak kukuh dalam industri seni tanah air. Prinsip kerja saya masih seperti dulu.

Sebelum bersetuju untuk membintangi mana-mana projek, saya tengok pada jalan cerita, watak dan olahan skrip. Jika ia bersesuaian, saya akan ambil. Ia bukan pada saluran atau produksi mana yang terbitkan drama dan filem itu.

Apakah perasaan anda apabila tuduhan seperti ini tiba-tiba timbul tanpa sebarang sebab?

Saya rasa perkara ini merepek kerana semua rakan-rakan wartawan kenal siapa Siti Saleha. Saya peramah dan baik dengan semua orang. Sebelum ini, saya tidak pernah timbulkan masalah dengan mana-mana produksi, malah sedia bekerja dengan sesiapa sahaja. Jadi pada saya, tuduhan seperti itu memang tidak patut.

Adakah gosip seumpama ini menjejaskan karier anda?

Tidak. Hal ini kerana saya percaya semua orang tahu bahawa ia satu cerita mengarut.

Sebenarnya, adakah menjadi satu masalah buat anda untuk tampil dalam mana-mana majlis tanpa bayaran?

Sejak menjadi anak seni. saya sudah tampil dalam banyak acara secara percuma. Jadi, saya rasa soal dibayar atau tidak untuk satu-satu penampilan bukan isu besar.

Bagaimana dengan perkembangan terkini anda?

Saya baru sahaja habis menjalani penggambaran drama Ayuni Safira yang sudah mula ditayangkan. Ia merupakan gandingan saya bersama Aqasha.

Sekarang saya mahu luangkan masa bersama keluarga yang datang dari England sempena majlis pernikahan abang saya, Shamsul Annuar Mohd. Baharum (Sam Bunkface) hujung minggu lalu.

Previous Post Next Post