Sonaone benci mayonis



“Kalau tidak kerana single No More dan duet bersama Jow Flizzow menerusi lagu Apa Khabar, sudah tentu saya tidak berada seperti sekarang,” akui Sonaone yang semakin mahir berbahasa Melayu seraya merendah diri.

Bukan kecil tetapi pemuda kacukan Perancis-Melayu ini menempa kejayaan yang cukup besar menerusi single No More.

Lagu ciptaannya itu mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, bahkan diangkat sebagai Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-21.


Adat apabila nama sudah di puncak, maka kontroversi mula datang menyapa. Pemilik nama sebenar Mikael Adam Lazoch ini kemudiannya digosipkan menjalin hubungan cinta dengan Juliana Evans.

Bagaimanapun, baik Sonaone mahupun Juliana masing-masing sudah menafikannya.



“Ketika ini, saya terlalu sibuk dengan kerja untuk bercinta. Kali terakhir bercinta ketika berusia 16 tahun. Sekarang, saya cuma bercinta dengan studio,” ujar penyanyi rap berusia 27 tahun ini sambil ketawa.

Di kala ini, Sonaone begitu sibuk berada di studio demi memberi sentuhan akhir kepada album sulungnya yang dijangka keluar tidak lama lagi.

Ceritanya, dia mempunyai sebab tertentu dalam pemilihan judul Growing Up Sucks sebagai tajuk album itu.

“Saya keluar dengan konsep album ini empat tahun lalu. Ketika itu, saya masih mahu menyesuaikan diri dengan kehidupan dewasa. Sudah ada tanggungjawab membayar bil dan ia membuatkan saya mula merindui zaman remaja ketika di bangku sekolah.

“Ketika itu, kita masih tidak risau tentang apa-apa. Maka, menerusi konflik rasa yang ada dalam diri ketika itu saya salurkan ke dalam album ini. Pendengar boleh melihat peralihan yang berlaku pada diri saya daripada trek pertama sehingga ke trek 13,” ujarnya yang bakal muncul sebagai pengacara dalam program travelog, Hip Hopping Asia musim kedua di saluran 8TV pada 28 Mei ini.

Selain album, Sonaone turut berkongsi mengenai lima perkara menarik tentang dirinya termasuk kebencian terhadap mayonis.

Previous Post Next Post