Yatt Hamzah: Doakan kebahagiaan kami



PADA 24 Oktober tahun lalu, pelakon cantik, Yatt Hamzah tampil ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur untuk memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 35.

Pun begitu, setelah pulang daripada mengikuti misi kemanusiaan di Syria pada Februari lalu, hati Yatt, 35, terbuka untuk memberi peluang kepada suaminya untuk meneruskan kelangsungan hidup sebagai pasangan suami isteri.

Sehinggalah pada 12 Mac lalu, pelakon dan juga pemilik butik Suci by Yatt Hamzah dan suami, memohon tempoh sebulan untuk berbincang mengenai masalah rumah tangga mereka.

Setelah mencapai kata sepakat dan semalam, Yatt dan suaminya tampil di mahkamah untuk menarik balik permohonan cerai tersebut dan sepakat kembali bersama.


"Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Saya bersyukur dengan keputusan itu dan ianya mempunyai hikmah.

"Saya harap semua pihak dapat mendoakan kebahagiaan kami berdua,” katanya yang baharu sahaja mengadakan majlis sambutan ulang tahun perkahwinan keenam dan hari lahir anak perempuannya, Sabtu lalu.

Yatt dan suami telah berkahwin pada 29 Mac 2009 dan hasil perkahwinan itu, mereka mendapat seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika, lima tahun.

Terdahulu, Yatt memberitahu, bumi Syria membuka hatinya untuk kembali memberi peluang kepada suami tercinta setelah menyertai misi kemanusiaan di Syria selama 10 hari bermula 25 Februari hingga 6 Mac lalu.

Jelas Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, pengalaman berada di bumi itu banyak menyedarkannya mengenai erti kehidupan.

“Saya ke Syria bersama suami dan ketika di sana, banyak yang saya belajar mengenai nilai kasih sayang. Suami pula menggunakan ruang yang ada untuk menambat kembali hati saya. Saya dapat rasakan kesungguhannya untuk meneruskan perkahwinan kami.

“Semasa berada di sana, saya banyak bertanya kepada wanita yang telah kehilangan suami ekoran terbunuh dalam peperangan dan mangsa pengeboman. Masing-masing memberitahu bahawa mereka akan terus setia dengan suami mereka dan ingin bertemu di syurga kelak.

“Ya ALLAH, betapa besarnya pengorbanan mereka dan nilai kasih sayang mereka terhadap pasangan sekali gus memberi tamparan hebat kepada saya. Mereka begitu tabah dan kuat sedangkan saya hanya diduga sedikit sahaja, sudah mahu mengalah,” katanya.

Previous Post Next Post