Keprihatinan Beto Kusyairy



BETO berkongsi sekeping gambar bersama adik Amira selepas melawat kanak-kanak itu baru-baru ini.

LIMPAHAN populariti dan kesibukan rutin bergelar anak seni bukan suatu kekangan untuk seseorang artis berkongsi penderitaan yang ditanggung oleh insan lain.

Atas rasa keprihatinan terhadap nasib dua kanak-kanak malang, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, dan adiknya, Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 4, yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa serta adik bongsu mereka meninggal dunia akibat nahas jalan raya minggu lalu, pelakon Beto Kusyairy barangkali antara selebriti terawal meluangkan masa menziarahi mereka.

Terkesan dan turut berduka dengan musibah tersebut, Beto menyifatkan situasi dialami dua kanak-kanak itu sebagai tragedi yang sangat menyayat hati.

Tanpa menghebahkan kepada sesiapa, Beto bersama isterinya, Tisha Shahar mengambil inisiatif menemui dua beradik itu awal minggu ini di kediaman nenek mereka di Gombak, Selangor.

Bintang filem Istanbul Aku Datang itu menjelaskan, selain mahu meluangkan masa, mendekati dan menceriakan emosi adik Amira dan Aqila, kesedaran itu juga didorong oleh pengalaman pilu yang dilalui bersama keluarga apabila kakak kembar isterinya juga meninggalkan dunia akibat kemalangan jalan raya pada 2005.


Artis Meletop!: Apa khabar Beto? Bagaimana kehidupan sekarang?

BETO: Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik-baik. Kehidupan sekarang masih berjalan seperti biasa. Saya masih lagi berkarya dan syukur ke hadrat Ilahi untuk segala kurniaan yang diberikan.

Menerusi sekeping gambar yang dikongsikan di Instagram, anda memuat naik sekeping gambar bersama adik Amira yang baru kematian ibu bapa minggu lalu. Keprihatinan itu dipuji ramai. Terdetik juga adakah anda ada pertalian saudara dengan kanak-kanak terbabit?

Saya cuma berasa sangat terpanggil untuk memberitahu orang ramai bahawa kemalangan tersebut menyebabkan dua kanak-kanak yang tidak berdosa itu kehilangan orang tersayang dan menjadi yatim piatu dalam sekelip mata. Saya juga tiada pertalian keluarga dengan dua kanak-kanak tersebut tapi saya berbuat demikian atas dasar kemanusiaan. Saya menyeru orang ramai menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka dan memberi sokongan moral.

Boleh ceritakan sedikit pengalaman buruk tentang nahas jalan raya yang melibatkan kakak kembar isteri anda dahulu?

Kejadian berlaku kira-kira 10 tahun lalu, iaitu pada tahun 2005. Kereta dipandu kakak kembar Tisha bertembung dengan sebuah treler yang menyebabkan kematiannya.

Ketika itu dia berusia 25 tahun. Minta maaf tetapi saya tidak suka bercakap tentang perkara sedih. Jadi, apabila saya dapat tahu ada orang sedang berduka terutama kanak-kanak kecil, saya berasa sangat terkilan.

Anda telah berjumpa dengan dua adik-beradik tersebut, bagaimanakah keadaan mereka?

Mereka berada dalam keadaan yang baik. Mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Mereka kini berada di kediaman keluarga di Taman Batu Muda, Batu Caves. Tiada apa yang boleh saya lakukan selain memberi sokongan moral dan sedikit bantuan kewangan.

Mungkinkah anda ada perancangan untuk mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat?

Saya dan isteri akan cuba memberikan yang terbaik kepada dua kanak-kanak tersebut. Mereka berdua adalah kurniaan Allah kepada kita semua. Sama-samalah kita bantu apa yang termampu.

Apa saranan atau nasihat anda kepada semua pengguna jalan raya, terutamanya terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebabkan kemalangan tersebut?

Saya berharap individu yang menyebabkan nahas tersebut memberanikan diri tampil ke hadapan bagi mengaku kesalahan mereka. Saya juga harapkan keadilan untuk adik Amira dan Aqila.

Mereka yang bersalah wajib dibawa ke muka pengadilan. Untuk pemandu di luar sana, memandulah secara berhati-hati. Tidak perlu pandu laju untuk sampai cepat ke destinasi, sebaliknya pandu dengan cermat agar selamat ke tempat yang dituju.

Selain hidup dalam kemasyhuran, selebriti juga mempunyai tanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan. Apa pandangan anda?

Seperti yang saya katakan tadi, ia didorong oleh dasar kemanusiaan. Saya akan selalu menyokong perkara yang menjurus ke arah positif terutama membantu kanak-kanak yang bakal menjadi tonggak masa depan.

Bercakap mengenai kerjaya, apa perkembangan anda sekarang?

Saya baru selesai penggambaran untuk satu telefilem yang bakal ditayangkan pada musim perayaan nanti berjudul Ramadan Bertemu Syawal arahan Ellie Suriaty. Selain itu, filem lakonan saya bertajuk Bravo 5 juga bakal ditayangkan sekitar Ogos nanti.

Previous Post Next Post