Pelakon Ellie Suriaty langgar kontrak



MAHKAMAH Majistret Sivil memerintahkan Ellie Suriaty membayar ganti rugi RM7,200 kepada sebuah syarikat penerbitan filem selepas mendapati pelakon itu melanggar kontrak perjanjian dalam filem KL Cinta Mandi Toq di Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Sara Zuriati Zaharifudin membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas membenarkan saman White Merpati Entertainment Sdn Bhd selaku plaintif terhadap Ellie Suriaty atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar selaku defendan.

Peguam Suhaimi Saad yang mewakili Ellie Suriaty memberitahu pemberita, mahkamah membenarkan tuntutan saman syarikat itu dan memerintahkan Ellie Suriaty membayar ganti rugi khas sebanyak RM7,200 selepas mendapati pelakon itu melanggar kontrak perjanjian.


"Mahkamah juga mendapati pembelaan Ellie Suriaty yang menyatakan berlakunya 'misrepresentation' (salah nyata) semasa menandatangani kontrak tidak berlaku dan syarikat penerbitan itu berjaya membuktikan liabiliti dalam tuntutan saman tersebut," katanya.

Suhaimi berkata mahkamah turut menolak tuntutan balas Ellie Suriaty yang menuntut ganti rugi am sebanyak RM50,000 dan ganti rugi khas RM20,000 daripada syarikat berkenaan yang didakwa menyiarkan kenyataan bahawa beliau (Ellie Suriaty) telah membuat pelbagai masalah selepas mengambil wang pendahuluan sebanyak 25 peratus sejurus menandatangani kontrak.

Pada 8 April 2014, syarikat White Merpati memfailkan saman terhadap Ellie Suriaty, 45, yang juga pengarah filem seram, Penanggal, selepas mendakwa tindakan pelakon itu yang melanggar kontrak perjanjian apabila tidak hadir semasa penggambaran telah menyebabkan syarikat tersebut menanggung kerugian RM20,000.

Syarikat itu, yang diwakili peguam Edward Kuruvilla turut menuntut ganti rugi khas RM33,500; ganti rugi am RM20,000; faedah bagi ganti rugi khas dan am sebanyak empat peratus dari hari pertama ketidakhadiran penggambaran atau tarikh sedemikian seperti mana yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Seramai tiga saksi plaintif dan tiga saksi defendan termasuk Ellie Suriaty memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada Disember tahun lepas.

Sementara itu, Suhaimi berkata beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya yang tidak hadir pada prosiding hari ini sama ada untuk merayu atau tidak terhadap keputusan itu.

Previous Post Next Post