Amyra Rosli: Amar lelaki paling rapat dengan saya



DEK terlalu kerap digandingkan dengan Amar Baharin dalam sesebuah drama menyebabkan Amyra Rosli mengambil pendekatan untuk mengkaji setiap watak yang bakal dibawakannya.

Kata Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli ini, pendekatan itu diambil bagi mengelakkan rasa bosan peminat ketika menonton drama lakonan mereka.

"Sukar juga apabila terlalu kerap berlakon bersama-sama. Tanggungjawabnya sangat berat.

"Sebab itu, saya dan Amar sering kali berbincang dan melakukan sedikit kajian terutamanya mengenai karakter mahupun jalan cerita. Itu bermakna, kami akan pilih watak-watak tertentu untuk diketengahkan.

"Biar ada pelbagai watak sebab takut peminat bosan ekoran selalu bawa watak yang lebih kurang sama,” katanya kepada Zass ketika ditemui di Majlis Pelancaran Ramadan Astro Kosong-Kosong, baru-baru ini.

Pasangan sama cantik sama padan ini telah digandingkan dalam lima drama TV iaitu Dalam Dakapan Bidadari, Kristal Maya, Kalimah Jiwa, Suamiku Encik Sotong dan terbaharu, Cik Bunga Encik Sombong.

Difahamkan, selepas ini, pasangan ini bakal bekerjasama sekali lagi dalam penggambaran telefilem Pengantin Tiga Jam.

Akui selesa bersama, Amyra bagaimanapun menjelaskan gandingannya dengan Amar adalah sekadar memenuhi permintaan daripada stesen TV mahupun peminat.

"Saya mengaku, Amar adalah rakan artis dan lelaki yang rapat dengan saya, buat masa ini. Mungkin kebetulan, dia juga diuruskan oleh Mama.

"Pada masa sama kami juga tiada masalah untuk berlakon bersama-sama. Saya juga sebenarnya tiada masalah untuk berlakon dengan pelakon lain, cuma saya tak faham kenapa saya sering saja dikaitkan dengan Amar," katanya yang baharu tamat penggambaran telefilem raya, Annyeong Aidilfitri bersama Hafreez Adam untuk siaran RTM.


Lagi gosip kahwin

Bagaimanapun, keakraban pasangan ini menyebabkan munculnya salah faham sehingga timbul gosip mengatakan mereka bakal berkahwin pada November nanti.

"Saya dah tak terkejut apabila munculnya gosip sebegitu sebab dah selalu sangat orang bercakap. Mana mereka dapat cerita itu pun saya tak tahu.

"Lagipun, kami hanya keluar bersama apabila ada majlis yang memerlukan kami untuk hadiri mahupun menjalani penggambaran.

"Semuanya hanyalah atas dasar bekerja semata-mata," katanya.

Enggan gelojoh untuk bercinta kembali, Amyra memberitahu, sejarah lama dijadikan pengalaman manis sekali gus menyebabkannya kini lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup.

"Saya ini jenis yang rapat dengan keluarga terutama dengan Mama. Sehingga hari ini, jika saya ke mana-mana pasti akan ditemani Mama. Tentang jodoh biarlah ia datang sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, sempena Ramadan ini Amyra mengambil kesempatan untuk memperlahankan aktiviti seninya kerana mahu berfokus kepada keluarga dan mengusahakan jenama pakaian sendiri, Duchess by Amyra Rosli yang dijual secara dalam talian.

Previous Post Next Post