Maruah Mia Ahmad dicemar



Harga untuk menjadi seseorang yang popular dan dikenali kadang kala terlalu perit untuk dibayar. Namun, sebagai anak seni, itulah dilema yang harus ditempuhi.

Baru hendak mencipta nama setelah drama lakonannya, Hati Perempuan mendapat perhatian hangat, Mia Ahmad, 27, mengakui masih boleh bertoleransi sekiranya dihambat kontroversi akibat gosip-gosip yang biasa dilalui pelakon baharu sepertinya. Namun, hatinya terguris teruk apabila berita palsu menuduhnya ditangkap khalwat telah disebarkan dan menjadi viral di internet baru-baru ini.

Malu merasakan seolah-olah maruahnya dipijak-pijak, Mia anggap kisah karut itu sebagai fitnah yang langsung tidak berasas.

Artis Meletop! sempat menghubungi pemilik nama sebenar Shamiha Ahmad Baderi itu bagi mendapat penjelasan tentang situasi yang dihadapinya sekarang.


Artis Meletop!: Apa khabar Mia sekarang? Pastinya ramai tertanya-tanya bagaimanakah perasaan Mia setelah isu khalwat yang berleluasa di laman sosial baru-baru ini. Boleh Mia ceritakan sedikit berkenaan hal itu?

MIA AHMAD: Alhamdulillah, keadaan saya baik-baik. Tetapi tipulah jika saya kata, isu tangkap khalwat itu langsung tidak mengguris hati. Saya tidak marah tetapi lebih kepada sedih dan kecewa. Saya tidak tahu mengapa ada pihak yang cemburu terhadap saya sehingga perlu menyebarkan cerita palsu dan sengaja menghina maruah saya sebagai seorang wanita Islam. Hal khalwat bukan gosip, sebaliknya satu fitnah.

Semasa berita itu hangat menjadi viral, anda berada di mana?

Pada waktu itu, saya berada di Bangkok, Thailand kerana sedang bercuti. Apabila balik ke Malaysia, barulah saya mengetahui tentang perkara ini. Itu pun setelah diberitahu oleh rakan-rakan.

Sebelum ini, anda juga pernah dikaitkan sebagai punca perceraian sepasang suami isteri disebabkan impak watak Yuhanis dalam Hati Perempuan. Adakah anda menjangka populariti akan memberi impak sebegitu terhadap hidup anda?

Saya bersedia jika ia berkaitan dengan gosip-gosip remeh, tetapi seperti yang saya katakan tadi, dakwaan khalwat ialah satu fitnah. Terlalu teruk rasanya tuduhan sebegitu semata-mata untuk menjatuhkan nama saya. Jika impaknya terhadap saya seorang sahaja, tidak mengapa, tetapi saya kasihankan ibu bapa saya. Bayangkan perasaan mereka jika cerita anak perempuan mereka ditangkap khalwat dijaja dengan sewenang-wenangnya pada hal ianya fitnah.

Adakah keluarga anda mengetahui tentang tuduhan berkenaan?

Sebelum orang lain memberitahu mereka, saya terlebih dahulu menjelaskan keadaan sebenar kepada ibu dan ayah. Saya bertuah kerana mereka memahami dan percayai bahawa saya tidak akan melakukan perkara tidak senonoh seperti itu.

Bagaimana pula dengan pihak yang menyebarkan perkara tersebut, adakah anda berhasrat mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadapnya?

Biarlah, itu urusan dia dengan Allah. Lagi pun ini bulan puasa, saya tidak mahu menghabiskan masa dengan melayan pihak yang berniat buruk seperti itu. Harapan saya, semoga pihak berkenaan insaf dan sedar apa hukumnya memfitnah orang yang tidak bersalah.

Boleh ceritakan perkembangan terkini anda, terutama setelah memasuki bulan puasa?

Sempena bulan Ramadan, saya memang berehat daripada berlakon kerana mahu meluangkan masa dengan keluarga. Baru-baru ini, saya telah selesai menjalani penggambaran drama Dilema Wanita untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM). Untuk projek Syawal pula, saya bakal muncul bersama Syarul Ridzwan, Amar Baharin dan Izreen Azminda dalam sebuah telefilem istimewa siaran TV3.

Apakah perbezaan menyambut puasa pada tahun ini berbanding tahun lepas?

Tahun ini lebih meriah dan seronok kerana banyak undangan fotografi dan berbuka puasa dengan anak-anak yatim serta peminat. Rasanya, amalan puasa saya lebih terisi dan bermakna pada tahun ini.

Previous Post Next Post