Sam Bunkface puji isteri bertudung



SELEPAS lebih dua bulan menjalani kehidupan rumah tangga, vokalis kumpulan Bunkface, Sam akui kehidupan kini lebih sempurna dengan kehadiran permaisuri hatinya, Aida Azira.

Lebih manis, keputusan si isteri untuk menukar imej bertudung memberi kesyukuran buat dirinya.

“Alhamdulillah, banyak perkara telah berubah sejak saya berkahwin terutamanya dalam bab makan pakai saya yang dijaga rapi oleh isteri.

“Selepas berkahwin saya belajar bersabar, sebelum berkahwin semua keputusan buat sendiri, tapi sekarang perlu berbincang dan bagi saya, benda itu sihat.

“Saya juga gembira bila Aida buat keputusan untuk bertudung dengan sendirinya tanpa ada kena mengena dengan diri saya.

“Sebelum ini dia ada memberitahu hasratnya dan sebagai seorang suami saya menggalakkan kerana ia perkara yang baik,” katanya teruja.


Tambahnya lagi, kehadiran Ramadan ini disambut bersama isterinya sekali gus memberi pengalaman baharu buat dirinya.

“Puasa tahun ini pun berlainan.

Sebelum ini saya hanya bersama keluarga dan sekarang Aida ada bersama dan lebih sempurna.

“Untuk juadah berbuka, saya lebih memilih untuk memasak di rumah berbanding ke bazar.

Lagi pun harga makanan sudah mahal, jadi, kalau masak boleh berjimat.

“Saya pun bukan seorang yang memilih,” katanya yang mengakui bersedia untuk bergelar sebagai seorang bapa.

Dalam perkembangan karier, Sam memberitahu, Bunkface bakal tampil dengan lagu terbaharu yang turut bakal dijadikan sebagai lagu tema filem Boboi Boy The Movie pada November ini selain single terbaharu, Darah Muda yang akan dilancarkan pada hari raya pertama nanti.

Previous Post Next Post