Shukri Yahya: Jangan abai ibu bapa



PELAKON, Shukri Yahya berjanji untuk terus menghargai dan sebolehnya mahu menjaga sendiri kedua ibu bapanya selagi hayat kedua orang tuanya ada.

“Saya rasa mahu tinggal bersama ibu bapa saya, nak jaga mereka sendiri, tetapi lumrah ada kehidupan sendiri yang tidak dapat dilunaskan hasrat itu apabila ada kehidupan dan kerjaya sendiri untuk diuruskan.

“Namun sebagai anak perlu untuk beringat ibu bapa kita dan jangan sampai mereka diabaikan seperti sesetengah warga emas,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Permata Prihatin di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Pulau Meranti baru-baru ini.

Mengulas perasaannya apabila dapat berkunjung sendiri ke rumah warga emas itu, pelakon yang popular dengan drama Asam Pedas Untuk Dia ini memberitahu, dirinya sebak mendengar rintihan warga emas yang ditemui.


“Saya sempat berbual dengan seorang pak cik berkerusi roda yang dibuang keluarga setelah segala hartanya dirampas oleh anak tirinya.

“Rumah dan kereta semua anak tirinya ambil, kemudian dia dihalau keluar. Setiap kali dia cerita, dia sedih, jadi saya benar-benar sebak.

“Saya juga marah apabila ada juga manusia atau anak melakukan sedemikian pada ibu bapa mereka. Saya tidak sangka perkara itu berlaku dalam dunia realiti, ingat dalam drama sahaja,” katanya yang juga terasa dihargai apabila secara kebetulan, Datin Seri Rosmah turut menyambut Hari Lahirnya ke-27 di rumah itu bersama warga emas yang di rai.

Berkongsi azamnya setelah menginjak umur 27 tahun, Syukri berkata, dia mahu memajukan lagi dirinya baiki dalam kehidupan seharian dan juga kerjaya lakonan.

“Saya mahu menggembirakan dahulu ibu bapa saya, selepas itu baru saya fikir perkara lain termasuk soal perkahwinan.

“Dalam lakonan pula masih lagi belajar dan mahu dapat tawaran watak yang belum pernah saya lakonkan,” katanya.

Previous Post Next Post