Zahid Tinggalkan Era FM Bimbang Stesen Radio Lain Tidak Mainkan Lagu



Penyanyi Zahid memberitahu dia menamatkan kontraknya selepas empat tahun sebagai penyampai radio Era FM kerana mahu menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian selepas melancarkan single baharunya berjudul Biasa.

Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 35, berkata, dia mengambil keputusan sendiri untuk berhenti kerana status pekerjaannya di stesen radio akan memberi kesan apabila stesen radio lain enggan memutarkan lagunya atas faktor persaingan.

"Saya sendiri yang membuat keputusan untuk berhenti selepas empat tahun berkhidmat sebagai deejay Era FM kerana saya risau lagu saya tidak akan dimainkan di radio-radio lain.

”Apabila saya menjadi seorang penyanyi dan bekerja di sebuah stesen radio ia akan dilihat sebagai ada suatu persaingan kepada stesen lain, jadi saya ambil keputusan untuk berhenti," katanya kepada mStar Online.

Zahid ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya bertajuk Biasa, di Souled Out Ampang, Menara Hsc, Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.


Zahid (tengah) bersama wakil pihak Kopi Wonda pada pelancaran albumnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Dj Fuzz dan kumpulan Viral.

Zahid meninggalkan Era FM pada hujung April lalu.

Sementara itu Zahid berkata, dia mengambil keputusan untuk menyanyi semula kerana ingin memiliki produk sendiri selain ia juga minatnya sejak dulu lagi.


"Sejak tahun lepas ketika masih bersama Era FM saya mula terfikir untuk menjadi seorang penyanyi semula kerana ia merupakan minat sejak dulu lagi dan saya ingin mempunyai lagu sendiri.

"Berat sebenarnya membuat keputusan untuk meninggalkan Era kerana pelbagai pengalaman diperoleh ketika menjadi sebagai penyampai radio namun saya percaya ini semua rezeki yang sudah tertulis," katanya.

Tambahnya, tahun ini merupakan waktu yang ditunggu-tunggu untuk membina semula kariernya sebagai seorang penyanyi.

Sementara itu bercerita mengenai Biasa, Zahid berkata, single tersebut menceritakan seseorang yang ingin membuat sesuatu perkara terbaik kepada orang lain.

Dalam pada itu, Zahid bersyukur apabila pemilik jenama Kopi Wonda telah bersetuju mengangkat semula kerjaya muzik Zahid dengan menerbitkan serta menjalankan promosi lagu Biasa.

Ia adalah satu kempen yang dikenali sebagai aktiviti kempen 'Mulakan Semula'.

"Saya berbesah hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Kopi Wanda untuk menghidupkan semula kerjaya nyanyian saya," katanya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »