Ant Man, misi menyelamatkan dunia!



Ant Man, misi menyelamatkan dunia!

FILEM penuh aksi dan humor ini semestinya menggamit penonton untuk ke panggung. Mengisahkan tentang seorang bekas banduan, Scott Lang yang berusaha keras menjadi seorang wira di mata anak perempuannya Cassie, Scott tiada pilihan lain selain menerima tawaran saintis, Dr Hank Pym untuk menyelamatkan rahsia formula sebuah suit menakjubkan bernama “Ant Man” dari ditakluki kuasa jahat.

Pengisian filem Marvel Cinematic Universe (MCU) kali ini penuh rencah apabila pengarah Peyton Reed turut menyelitkan unsur komedi dan suspens dalam filem sains fiksyen ini, sekali gus menjadikan elemen fantasi yang ditunjukkan dalam aksi mengemudi segerombolan askar semut menggunakan kuasa minda, begitu berkesan!

Sebelum ke panggung, penulis secara automatik membandingkan filem ini dengan dua lagi filem hebat dari Marvel seperti The Avengers dan Iron Man. Ternyata, naskhah baru ini juga mempunyai kekuatannya yang tersendiri dengan sebab tersendiri. Malah watak adiwira bernama Ant Man berjaya digarap dengan baik meski pun suit dipakainya tak ubah seperti suit penunggang motosikal sahaja.

Scott seorang pencuri yang mempunyai kepintaran luar biasa dalam memecah masuk unit berpengawasan tinggi. Sejarah jenayahnya tersebar melalui internet dan itu menyusahkan beliau untuk mencari pekerjaan tetap meskipun memiliki ijazah universiti.


Pada masa sama, Scott ingin menebus kesilapan terhadap kekasihnya Maggie dan berjanji mahu menjadi bapa yang baik kepada anak mereka, Cassie.

Dr Pym yang mengikuti sejarah perkembangan jenayah Scott sememangnya merancang agar Scott memecah masuk ke rumahnya sendiri untuk melihat sejauh mana kesesuaian Scott menjadi “Ant Man” ciptaannya. Suit Ant Man sememangnya luar biasa kerana boleh mengecilkan si pemakainya sekecil subatom dengan formula unik Dr Pym.

Bermulalah perjuangan Scott mencari kehidupan untuk menebus kesilapannya terhadap Maggie dan Cassie dan pada masa sama menjadi adiwira menyelamatkan dunia supaya suit dan formula Dr Pym mengenai Ant Man tidak jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab.



Aksi lucu adiwira

Dibantu beberapa rakan yang pernah dipenjarakan bersama-sama dalam melakukan kecurian, personaliti Scott dan sikap rakan-rakannya begitu mencuit hati penonton. Mereka, meski pun pencuri tetapi sangat baik dan ingin membantu satu sama lain.

Dan dalam misi menyelamatkan dunia serta formula Dr Pym, ketiga-tiga watak ini menyuntik elemen komedi yang menghiburkan serta menjadikannya sebagai 'check and balance' agar tetap santai dan humor. Scott memecah masuk ke dalam legasi Dr Pym yang telah dikuasai Dr Darren Cross protege Dr Pym yang telah berpaling tadah.

Tujuan mereka cuma satu, iaitu meletupkan lokasi tersebut serta merampas satu lagi suit yang dicipta berdasarkan formula Dr Pym The Yellowjacket.

Dalam babak ini para penonton dapat menyaksikan sejauh mana kuasa minda mampu membentuk apa yang kita hajatkan sebagaimana Scott mampu membentuk jentera semutnya.

Sinematografi dan teknik janaan CGI yang cantik serta teratur mengemaskan lagi filem ini, malah ada ketikanya penonton seakan turut berada bersama-sama Scott di atas rimbunan semut merah yang bijak.

Dua pengajaran sama ditonjolkan dalam filem ini adalah kasih sayang seorang bapa; di mana Scott sanggup dikorbankan sekiranya misi tersebut gagal demi membuktikan bahawa dia seorang wira di mata anaknya; serta keengganan Dr Pym dalam membenarkan anaknya Hope daripada menjalankan misi itu.

Hope seorang wanita tegas yang mahu membantu bapanya dalam misi itu tetapi dihalang kerana Dr Pym tidak mahu sesuatu berlaku terhadap Hope sepertimana yang berlaku terhadap mendiang isterinya.

Hakikat itu telah meruntuhkan ego Hope yang selama ini menyangka bapanya penyebab kematian ibunya sehingga sukar menyebut perkataan “ayah” meskipun sekali.

Previous Post Next Post