Awin tentukan skrip lakonan Izzue Islam


IZZUE menafikan isterinya, Awin melenting dan memberhentikan sesi penggambaran apabila dia didakwa disentuh oleh seorang pelakon wanita.

SEKITAR penghujung tahun lalu, pelakon dan penyanyi, Izzue Islam pernah meletakkan syarat untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita dalam sebarang produksi bagi menjaga statusnya sebagai seorang suami.

Sejak itu, Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 25, tidak lagi menjayakan sebarang adegan bersentuhan dengan pelakon wanita sama ada menerusi drama mahupun filem.

Begitupun, baru-baru ini timbul isu yang mengatakan isterinya yang juga pengurus pelakon itu, Nurinafilah Waharudin, 33, atau lebih mesra disapa Awin bertindak memberhentikan sesi penggambaran gara-gara tangan Izzue dipegang oleh seorang pelakon wanita.

Lebih mengejutkan, Awin juga didakwa tidak profesional dengan meninggikan suara selepas mengetahui suaminya disentuh oleh pelakon terbabit.

Sewaktu bertemu dengan pasangan tersebut pada majlis pelancaran telefon pintar Vivo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur minggu lalu, Awin menafikan dakwaan tersebut.

Wanita itu dengan tegas berkata, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan dia tidak pernah memberhentikan mana-mana sesi penggambaran mahupun meninggikan suara kepada pihak produksi.


Artis Meletop!: Benarkah dakwaan yang mengatakan Awin melenting selepas melihat tangan Izzue dipegang oleh seorang pelakon wanita sewaktu menjayakan sesi penggambaran sebuah drama?

AWIN: Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya gosip tersebut.

Apakah pendapat anda apabila dikaitkan dengan gosip seumpama ini?

Sepatutnya perkara ini tidak menjadi isu. Sepanjang pengetahuan saya, setiap produksi yang ingin mengambil Izzue berlakon telah diberitahu tentang perkara ini (syarat tidak bersentuhan dengan pelakon wanita).

Lagipun, saya akan membaca skrip terlebih dahulu sebelum menerima apa-apa tawaran yang diberikan. Jadi, syarat tersebut jelas dan mustahil gosip seperti ini boleh timbul.

Selepas isu ini timbul, Izzue dilihat seperti mengikut telunjuk anda dalam setiap perkara. Apa komen anda?

Saya merupakan isteri Izzue dan pada masa yang sama menguruskan kerjayanya sebagai artis. Barangkali ada sesetengah orang tidak faham yang saya bercakap sebagai pengurus, bukan isterinya. Perkara seperti ini mungkin tidak timbul jika saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Izzue.

Adakah anda akan berhenti menguruskan kerjayanya bagi mengelakkan perkara sebegini berulang kembali?

Tidak sama sekali. Saya bekerja mengikut cara sendiri. Saya tidak akan berubah mengikut cakap orang.

SEMENTARA itu, Izzue berpendapat, isu tersebut tidak perlu timbul memandangkan hampir semua orang tahu tentang prinsipnya untuk tidak bersentuhan dengan wanita dalam mana-mana produksi.

KOSMO!: Apakah reaksi Izzue apabila mendapat tahu tentang gosip ini?

IZZUE: Saya sendiri terkejut dan tertanya-tanya dari mana datangnya cerita tersebut. Awin atau saya sendiri tidak pernah memberhentikan sesi penggambaran disebabkan tangan saya disentuh oleh pelakon wanita seperti yang didakwa.

Adakah anda merasakan bahawa syarat tersebut (tidak bersentuhan) menyusahkan banyak pihak?

Tidak sama sekali. Pihak produksi sudah tahu dan bersetuju dengan syarat-syarat yang diletakkan sebelum saya menandatangani kontrak. Jadi, mana mungkin mereka akan menyuruh saya bersentuhan dengan pelakon wanita.

Adakah artis juga perlu tahu tentang syarat anda?

Bagi saya, ini bukan salah artis. Sebab itu Awin akan memberitahu pihak produksi lebih awal supaya tidak berlaku salah faham di kemudian hari.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?

Saya kini sedang giat berniaga biskut raya Izzuelicious Delicious Cookies di Tesco Mutiara Damansara, Kuala Lumpur. Selain itu, saya juga sibuk mengacara untuk saluran HyppTV dan akan memulakan penggambaran sebuah telemovie raya dalam masa terdekat ini.

Previous Post Next Post