Azmil, Aina, Sarah kongsi cerita



PENTAS Mentor Lagend menjadi platform terbaik buat tiga bakat baharu Azmil Karim, Aina Abdul Ghani dan Maisara Fazny Mahadzir mengetengahkan bakat mereka.

Jika sebelum ini mereka tidak dikenali namun pentas Mentor Lagend telah mengubah segala-galanya.

Tidak sahaja mengetengahkan bakat yang terpendam, program realiti itu sekali gus memberi kesan terhadap populariti mereka.

Pertama kali bergelar selebriti, pastinya perasaan teruja terukir di hati masing-masing.

Biarpun tidak berpeluang beraya bersama keluarga tercinta di Tawau, Sabah, Azmil akui lebaran kali ini meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

“Seminggu pertama raya saya memang berada di Kuala Lumpur dan terpaksa beraya sendirian kerana perlu memenuhi undangan nyanyian di sini.

“Dalam sehari dua lagi, saya akan pulang ke kampung selama seminggu beraya bersama keluarga.

“Alhamdulillah, walaupun tidak dapat sambut raya pertama bersama keluarga, rezeki undangan nyanyian menyebelahi saya.

“Ini kali pertama saya beraya sebagai seorang artis dan memang terasa kelainannya bila ramai yang mengenali saya berbanding sebelum ini,” katanya.

Berbeza dengan Aina dan Sarah masing-masing meluahkan perasaan seronok apabila sambutan hari raya kali ini merapatkan lagi ikatan persaudaraan sesama keluarga.


Azmil terkencing dalam seluar

Setiap antara kita pasti punya seribu satu memori di Aidilfitri, begitu juga Azmil yang akui tidak kering gusi apabila teringatkan kisah zaman kanak-kanaknya.

Tidak segan berkongsi kisah yang memalukan, Azmil akui dia pernah terkencing dalam seluar gara-gara dikejar hantu.

“Ketika itu saya berusia 6 tahun. Pada malam raya, abang saya meminta saya untuk membeli mercun di kawasan berdekatan rumah saya.

“Walaupun kawasan itu cukup terkenal dengan kisah mistiknya saya masih berani untuk membeli mercun di sana.

“Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba saya terlihat satu lembaga tinggi serba putih. Oleh sebab terkejut saya lari dalam ketakutan dan tidak sedar saya terkencing dalam seluar.

“Paling menyakitkan hari, pada esok harinya saya dapat tahu, hantu itu adalah abang saya yang sengaja mahu menakut-nakutkan saya,” katanya sambil tertawa besar.


Aina tertinggal solat raya

Setiap kali mengenangkan situasi itu, Aina tidak dapat menyorokkan rasa malu dan lucu dengan apa yang berlaku.

Semuanya berlaku ketika dia berada di bangku sekolah rendah dan sambutan hari raya tiba di giliran kampung bapanya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Pada kebiasaannya, rutin pagi raya kami sekeluarga adalah menunaikan solat hari raya di masjid.

“Ketika itu saya, ibu dan kakak masing-masing sudah bersedia dan mengambil tempat untuk menunaikan solat dan tidak ada apa yang pelik kerana semuanya berjalan seperti biasa.

“Tapi sebenarnya solat jemaah itu sudah habis sedangkan kami sudah beria untuk solat bersama.

“Bayangkan betapa malunya kami apabila diperhatikan orang lain yang sudah selesai solat,” katanya yang tidak dapat menahan tertawanya.


Sarah sesat dalam pasar raya

Tidak ketinggalan berkongsi kisah lucu, Sarah turut merindui zaman kanak-kanaknya yang sehingga kini sukar dilupakan.

“Keadaan sekarang tidak sama seperti dahulu, memori raya ketika zaman kanak-kanak saya memang sesuatu yang menyeronokkan.

“Seperti biasa, setiap kali raya saya dengan abang dan kakak akan beraya dari rumah ke rumah.

“Oleh sebab teruja, kami juga sempat berjalan di pusat membeli belah dan saya sendiri tidak tahu sama ada situasi ini lucu atau pun tidak, kami sesat di situ.

“Akhirnya, ayah datang menjemput kami pulang. Kalau diingatkan semula, saya memang rindu lalui zaman itu,” katanya teruja.

Previous Post Next Post