Caliph Buskers: Cacat bukan penghalang



BIARPUN hidup dalam 'kegelapan', kumpulan pemuzik berbakat besar, Caliph Buskers tetap menikmati dan menghayati sambutan Syawal dengan cara tersendiri.

Bagi mereka, tiada istilah berputus asa, jauh sekali memencilkan diri daripada melakukan aktiviti seperti insan normal lain.

Vokalisnya, Azmi atau nama sebenarnya, Khairul Azmi Saat yang mewakili anggotanya berpendapat, kemeriahan Syawal itu sama saja seperti golongan normal yang lain.

"Kami mengalami cacat penglihatan sejak dari kecil. Jadi, tak tahu bagaimana nak terangkan situasinya. Bagi kami, ia sama saja. Meriah dengan cara kami.

"Kadang-kala kemeriahan itu dapat dirasai apabila sama-sama sibuk membantu di dapur menyediakan persiapan, kecoh bertemu sanak-saudara, menikmati pelbagai hidangan yang menyelerakan, mahupun sama-sama bermain mercun," katanya.


Tambahnya, cacat penglihatan yang dialami tidak sepatutnya dijadikan sebagai salah satu faktor kekurangan dalam diri masing-masing.

"Kita tak akan rasa diri ini dalam serba kekurangan kerana kita masih mempunyai keluarga. Lainlah, kalau kita tiada keluarga langsung,” katanya.

Malah, kata Azmi, banyak persatuan orang buta di Brickfields yang akan menganjurkan pelbagai aktiviti dan program seperti rumah terbuka buat golongan sepertinya.

"Dulu, saya kerap masuk pertandingan karaoke yang dianjurkan, tapi sejak menyertai Anugerah Juara Lagu, saya tidak lagi dibenarkan untuk menyertainya," katanya sambil tergelak.

Selain Azmi, Caliph Buskers turut dianggotai Mohd Zaki Ismail selaku gitaris, Nirwan Zainal Abidin (gitaris), Fendy Abdullah (pemain dram) dan Nor Nadira Rubina (shaker).

Bercerita mengenai kumpulannya itu, Azmi memberitahu, Caliph Buskers bakal bercuti selama seminggu dan pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Syawal ini.

"Bezanya, untuk kali ini kami beraya selepas bergelar artis rakaman.

"Tidak sabar menantikan kehadiran tetamu. Sejujurnya, kami tidak dapat membayangkan suasana sambutan Syawal pada tahun ini.

"Selepas itu, barulah kami akan berjumpa dan tahun ini kami teruskan dengan jadual persembahan serta jemputan untuk menyanyi," jelasnya.


Busking Aidilfitri

Selepas muncul dengan single pertama, Hanya Namamu, kini Caliph Buskers tampil dengan album pertamanya, Busking Aidilfitri yang berkonsepkan akustik dengan susunan muzik yang lebih santai dan mesra pendengar.

Menariknya, kumpulan itu hanya mengambil masa selama lima hari untuk merakamkan 10 lagu.

"Setiap hari, kami akan menghabiskan masa sehingga sehari suntuk di studio rakaman.

"Sasaran kami adalah untuk merakamkan dua lagu dalam sehari," katanya.

Menyifatkan pengalaman merakamkan album di studio sangat bermakna, Azmi menambah, mereka beruntung kerana memperoleh tunjuk ajar daripada Edry Abdul Halim sebagai penerbit.

Bahkan, katanya, pengalaman merakam lagu di studio membuatkan mereka lebih berdisiplin, selain dapat mempelajari proses rakaman sesebuah lagu.

"Paling saya tidak sangka adalah rupa-rupanya proses memasukkan vokal latar bukan semudah disangka dan ia merupakan pengalaman baharu buat saya.

"Tunjuk ajar daripada Edry menambahkan lagi keyakinan kami dan Alhamdulillah, terhasillah album Busking Aidilfitri ini," ujarnya.

Busking Aidilfitri memuatkan 10 lagu raya nostalgia seperti Dendang Perantau, Suasana Di Hari Raya, Balik Kampung, Erti Aidilfitri, Suatu Hari Di Hari Raya, Cahaya Aidilfitri, Senandung Hari Raya Untuk Mu, Indahnya Beraya Di Desa, Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan Aidilfitri
Yang Mulia yang dirakam semula hasil pilihan mereka sendiri dan syarikat rakaman.

Kata Azmi, setiap lagu yang dimuatkan mempunyai keistimewaannya, selain menyimpan kenangan tersendiri buat semua anggota kumpulan tersebut.

"KRU Music memberikan kami hampir 20 lagu raya untuk dipilih dan akhirnya hasil daripada perbincangan, kami sebulat suara memilih 10 lagu terbaik," katanya.

Album ini boleh didapati di pasaran dengan harga RM27.90.

Previous Post Next Post