Idzham Ismail cari orang rumah


“KEDATANGAN raya kali ini tidak banyak beza dengan tahun-tahun sebelumnya. Sama sahaja kerana saya masih lagi membujang (ketawa). Tahun ini merupakan Syawal ketiga saya masih lagi berstatus solo tanpa ada insan istimewa di sisi,” luah pelakon Idzham Ismail ketika membuka bicara mengenai sambutan Aidilfitri.

Katanya, selepas putus cinta tiga tahun lalu, dia masih lagi bersendirian sehingga kini. Tiada lagi pengganti yang berjaya menawan hatinya. Bukan sudah serik mahu bercinta, cuma kata jejaka berusia 27 tahun itu, dia belum berpeluang menemui pengganti baharu.

“Saya bukanlah memilih atau cerewet sangat apabila menyentuh hal mencari teman hidup, cuma kalau boleh kita pun mahukan individu yang betul-betul memahami diri ini. Kena cari orang yang boleh terima kita seadanya.




“Maklumlah, nanti kita sendiri mahu hidup bersama. Tak mahulah timbul masalah di kemudian hari,” kongsi pelakon yang popular menerusi drama Juvana itu.

Melihat kawan-kawan sekeliling rata-ratanya sudah berumah tangga, kata Idzham, keadaan itu membuatkan dia tidak sabar untuk memiliki kehidupan berkeluarga sendiri.

Apatah lagi rakan sebayanya sudah ramai yang menimang cahaya mata sendiri, sedikit sebanyak kata aktor drama Bila Hati Berbicara itu, dia mengimpikan kehidupan sama.

Katanya, bohong jika tidak terpalit rasa cemburu melihat kehidupan bahagia rakan-rakannya.

“Kawan-kawan saya sudah ada yang dukung anak sendiri pun, saya masih lagi solo. Cemburu juga tengok kawan-kawan rapat lain sudah berkeluarga.

“Keluarga pun sudah selalu bertanya bila saya mahu mengakhiri zaman bujang. Soal kahwin memang selalu jadi bahan bualan sahaja. Lebih-lebih lagi apabila tiba waktu hari raya begini berjumpa sanak saudara, itulah soalan yang sering diajukan.

“Bukan apa, keluarga jadi tertanya-tanya sebab abang saya pun belum berkahwin lagi. Kadang-kadang sampai terfikir terkena badi ke apa kami ini. Mungkin belum ada rezeki lagi. Raya ini saya kesepian lagi,” selorohnya.


PELAKON yang mula dikenali menerusi drama Juvana ini berharap dapat menamatkan zaman bujang sebelum berusia 30 tahun.

Sungguh pun begitu, kata Idzham dia tetap meletakkan sasaran untuk mengakhiri zaman bujang sebelum usianya mencecah angka 30.

“Saya jenis yang tidak kisah sangat kalau sebut pasal ciri-ciri wanita idaman.Kalau sebut mengenai paras rupa, muka orang Melayu, kulit warna putih atau kuning ke tak kisah. Orang dalam industri sama atau lain bidang pun saya tidak pernah letak syarat,” katanya yang bakal mementaskan teater berjudul Hexa Xunus pada Ogos depan.

Bercakap mengenai sambutan raya, katanya, tahun ini dia menyambut hari raya di kediaman keluarga ibu bapanya di Bangi, Selangor.

“Biasanya menjadi budaya kalau kita lihat keluarga lain, pakai baju sedondon, bersalam di pagi raya, tapi perkara itu tidak dipraktikkan dalam keluarga saya.

“Tahun ini pun kami tidak membuat persiapan sangat disebabkan keadaan kesihatan ibu saya tidak mengizinkan kerana kakinya mengalami kecederaan,” katanya.

Previous Post Next Post