Kilafairy enggan dilabel artis kontroversi


SELEPAS timbulnya kontroversi yang mengaitkan dirinya bersama selebriti Wak Doyok, pelakon Kilafairy seakan menyepikan diri.

“Sebenarnya saya masih aktif dalam lakonan. Berikutan kontroversi itu, saya memilih untuk berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan sebab bagi saya itu lebih mudah.

“Saya selesa dengan keadaan saya, lebih tenang dan saya tidak mahu terlalu dikenali dengan kontroversi, lagi pun saya mahu lebih lama dalam industri ini,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Kilafairy atau lebih mesra dengan penggilan Kila, mengakui kurang senang apabila terdapat beberapa pihak turut mengaitkan ibunya apabila cerita kurang enak mengenainya timbul.

“Saya memang tidak selesa bila ada yang mengaitkan mama dalam hal ini.

“Tapi sebagai selebriti, saya terpaksa terima kerana kami berdua memang ada di dalam industri ini dan tidak boleh lari daripada terkena tempias kontroversi.

“Mama pun sudah lama dalam industri dan kami memang sudah biasa,” luahnya.

Selain lakonan dan nyanyian, Kila memberitahu dia juga sibuk menguruskan perniagaan labelnya, Rack.

“Kami lebih aktif secara atas talian dan Alhamdulillah, koleksi untuk hari raya iaitu Monoraya mendapat sambutan menggalakkan.

“Kami ada sembilan rekaan dan tiga warna iaitu putih, hitam dan kelabu. Buat masa ini memang saya fokuskan pada nyanyian serta perniagaan ini dan berlakon memang saya kurangkan sebab memakan masa yang panjang,” katanya.


Tak pulang ke kampung

Menjadi kebiasaan apabila ramai yang memilih meraikan sambutan hari raya di kampung bagi berkumpul bersama sanak-saudara.

Berbeza pula dengan Kila, apabila tahun ini dia dan keluarganya membuat keputusan untuk beraya di kediaman mereka di Kuala Lumpur.

“Seperti tahun-tahun lalu, saya dan keluarga akan pulang ke Terengganu atau Johor tapi untuk tahun ini sebagai kelainan, kami bersetuju beraya di Kuala Lumpur sahaja.

“Walaupun tidak pulang ke kampung, tapi hari raya kami masih lagi meriah, tambahan pula teman-teman saya ramai di sini.

“Lagi pun saudara-mara dari kampung juga ada yang datang menziarahi kami di sini, jadi bagi saya sama sahaja, masih lagi dapat merasai suasana dan kemeriahan Syawal,” katanya teruja.

Bercerita lebih lanjut mengenai aktivitinya sepanjang Syawal ini, anak kepada penyanyi Rohana Jalil ini memberitahu, selain sibuk dengan undangan program hari raya, dia juga akan merekodkan single terbaharunya dalam masa terdekat.

“Buat masa ini saya memiliki dua buah lagu yang berlainan genre iaitu balada dan R&B.

“Sekarang kami sedang dalam perbincangan untuk memilih mana satu untuk dikeluarkan terlebih dahulu.

“Kalau diikutkan memang minat saya lebih kepada R&B tapi bila mendengar lagu balada itu, saya tertarik, jadi masih dalam perbincangan lagi,” ujarnya.

Previous Post Next Post