Edry puji prestasi pelajar #AF2015



BERTEMAKAN hits 90 an, konsert minggu ke tiga Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) nyata begitu membanggakan.

Biarpun masih berada dalam peringkat awal, baik pihak produksi mahupun tenaga pengajar akui berpuas hati dengan prestasi persembahan yang ditampilkan setiap pelajar.

Menurut Edry Abdul Halim selaku pengetua AF 2015, persembahan pelajar yang tersendiri tanpa dibayangi penyanyi asal berjaya memikat hati pengkritik dan penonton.

“Bagi pelajar yang ditugaskan membawa lagu-lagu popular, saya selalu mengingatkan mereka kalau menyanyi seakan penyanyi asal, pengkritik dan penonton tidak akan suka.

“Seperti Bila dengan lagu Cindai, mungkin ramai yang akan menyangka ia akan menjadi persembahan yang dipenuhi dengan penari, tapi untuk kali ini kita cuba buat sesuatu luar biasa.

“Begitu juga dengan Faroq di mana kami terpaksa menukar persembahannya pada saat akhir membenarkannya tampil menyanyi bersama gitar untuk beri kelainan.

“Alhamdulillah, hasilnya pengkritik dan penonton suka dan pada masa sama karakter pelajar berjaya ditonjolkan dalam konsert ini. Persembahan pelajar malam ini membanggakan saya,” ujarnya.


Bagi memastikan kualiti setiap pelajar, Edry memberi jaminan konsert seterusnya akan menonjolkan identiti pelajar yang tersendiri.

“Itulah yang kami mahu hasilkan dan kami mahu galakkan pelajar ada konsep dan identiti sendiri tanpa mengikut penyanyi asal setiap lagu yang diberikan.

“Setiap minggu, kami tenaga pengajar akan cuba bantu pelajar interpretasikan lagu yang akan dipersembahkan dengan cara yang tersendiri tanpa perlu merosakkan sesebuah lagu,” katanya.

Ziqa belum puas

Biarpun persembahannya menyampaikan lagu G.I.G nyanyian asal kumpulan Elite mendapat pujian, namun ia bukan jaminan buat Ziqa kekal meneruskan pengajiannya di AF 2015.

Ziqa atau nama sebenarnya Nurhusnina Haziqah Haharuddin akui tidak dapat menerima penyingkirannya.

“Sebenarnya saya dah dapat rasa saya yang akan tersingkir berdasarkan peratusan undian sejak minggu lalu.

“Saya memang tak puas hati dan kecewa apabila tersingkir kerana saya belum bersedia tinggalkan akademi.

“Saya sedih kerana tidak dapat capai target di mana saya letakkan matlamat sekurang-kurangnya akan berjaya hingga ke final.

“Bagaimanapun, saya anggap rezeki saya hanya setakat sini saja.” katanya.

Previous Post Next Post