Dikutuk Tanpa Sebab, Hisyam Hamid Sekat Pengikut Instagram


Pelakon Hisyam Hamid mengambil pendekatan untuk menyekat mana-mana pihak yang memberi komen buruk di akaun laman sosial Instagram miliknya.

Hisyam, 30, berkata, komen-komen negatif itu dianggap tidak memberi manfaat kepadanya apatah lagi apabila ia bersifat kritikan tanpa sebab.

"Biasalah, sebagai seorang selebriti, kritikan itu pasti ada. Tetapi ia ada dua jenis iaitu kritikan yang boleh perbaiki diri dan maki hamun tanpa sebab.

"Itu saya akan tapis dan sekat mereka yang bersikap berlebih-lebihan apabila memberi komen. Saya tak faham apa sebab mereka memberi komen sebegitu sedangkan mereka hanya kenal saya mahupun artis lain berdasarkan di televisyen dan laman sosial," katanya kepada mStar Online.

Tambah Hisyam, dia juga kesal dengan segelintir pengikut yang mengutuk isterinya yang tiada kaitan dalam industri seni tempatan dan perkara itu akan membuatkan dia lebih bengang.



Hisyam menganggap komen negatif di laman sosial tidak memberi manfaat.

Sementara itu, mengenai karier lakonan pula, kata Hisyam, walaupun sibuk dengan penggambaran untuk produksi tempatan, dia juga masih lagi menerima tawaran lakonan di Singapura.

"Saya masih lagi berlakon di Singapura, tidak meninggalkan industri seni di sana terus. Lagipun masih ada lagi tawaran di sana dan rasanya saya tidak boleh sia-siakannya.

"Andai kata jadual saya kosong, apa salahnya. Yang penting tempoh masa penggambaran tidak boleh terlalu lama kerana ia menyukarkan kerjaya saya di Malaysia pula," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, lakonan Hisyam dapat disaksikan menerusi drama telenovela Memori Cinta Suraya setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6.30 petang bermula 17 Ogos 2015 di Astro Bella dan Astro Mustika HD.

Previous Post Next Post