Empayar 10 tahun Hujan


SEDEKAD dalam industri, Hujan bakal bertemu dengan peminat menerusi sebuah konsert yang akan diadakan pada 31 Oktober nanti di KL Live, Life Center, Kuala Lumpur.

ROLLER COASTER Hujan bersilih ganti dengan suka duka sejak awal kemunculan pada 2005. Berdiri sebagai sebuah kumpulan indie yang memperjuangkan muzik underground dan rock alternatif, perjuangan band yang terdiri daripada empat anggota itu tidak semudah yang diduga.

Kini, siapa sangka kumpulan yang dahulunya pernah dilabel dengan pelbagai kontroversi seperti sombong dan berlagak bagus itu telah mampu membina tapak sendiri dalam gelanggang dunia hiburan selama 10 tahun.

Bercerita mengenai jerih perih perjalanan mereka, Noh atau Mohamad Nor Salleh selaku vokalis menceritakan, terlalu banyak sisi duka yang terpaksa mereka tempuh sebelum sampai ke tahap seperti hari ini.

“Nampak seakan-akan tempoh 10 tahun itu membuatkan kami selesa berada dalam industri, tetapi sebenarnya orang di luar sana tidak tahu kepayahan dan ranjau yang perlu kami tempuh untuk sampai ke tahap ini.

“Orang tidak pernah tahu sejarah silam kami dalam industri, termasuklah dihentam media dan keluarga sendiri serta ditipu oleh penganjur. Adakah ia sesuatu yang manis untuk ditelan? Tidak, tetapi pengalaman pahit seumpama itu sebenarnya memberi makna tersendiri kepada kami,” ujar Noh sewaktu ditemui baru-baru ini dalam majlis sidang media 10 Tahun Hujan baru-baru ini.


Sedekad mencipta nama, Hujan yang turut dianggotai AG (Mohd. Hezry Mohd. Hafidz), Azham (Azham Ahmad) dan Izzat (Izzat Huzaini) itu telah menghasilkan enam buah album antaranya Check Check Rock Rock, Mencari Konklusi, Lonely Soldier Boy dan Sang Enemy.

Berkongsi cerita, antara adunan resipi utama keutuhan mereka dalam industri adalah kesabaran dan sikap kerjasama. Tanpanya dua faktor tersebut, mana mungkin kumpulan yang pernah menerima anugerah Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 2009 itu masih mampu bernafas sebagai sebuah indie band.

“Tidak ada jalan pintas untuk berjaya dalam dunia ini. Secara peribadi, kami memang tidak sangka Hujan akan bertahan selama tempoh ini dalam industri. Ada fasa turun naik, tetapi Alhamdulillah, saya percaya berkat kesabaran, toleransi dan kerjasama sebagai sebuah pasukan merupakan kunci utama untuk kami kekal sebagai sebuah kumpulan.

“Kebanyakan kumpulan muda sekarang tidak tahu nikmat derita dan susah payah seperti kelompok generasi kami lalui dahulu. Apa yang mereka tahu, semuanya tersedia di depan mata.

“Kalau ada yang tidak tahu, sewaktu mula-mula menjadi artis, saya pernah bekerja sebagai penghantar telur dan menaiki van. Untuk mempromosi lagu-lagu, kami sanggup meredah hujan dan panas pergi sendiri ke stesen radio. Walaupun pernah ditolak dan dikritik kerana lagu kami tidak bersesuaian, perkara sebegitu langsung tidak memadamkan semangat. Kumpulan muda sekarang, apa yang mereka tahu?” ujar Noh mendalam.

Biarpun sudah berjaya membina empayar sendiri, tidak dinafikan Hujan masih terlekat dengan kontroversi. Antaranya, mereka didakwa sudah berpecah belah lantaran dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dilihat agak menyepi daripada sebarang publisiti dan produk terbaharu.

“Bukan berpecah, sebaliknya kami cuma perlukan masa untuk berehat. Tanyalah di luar sana, band mana yang tidak akan berpecah selepas sekian lama berada dalam industri. Hakikatnya, meskipun kurang aktif dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Hujan masih hidup sehingga kini.

“Cuma, disebabkan terikat dengan komitmen kerja lain, membataskan pergerakan kami untuk bergerak aktif seperti dahulu. Kami tidak pernah berkubur. Kalau ada yang kata kami bergaduh, itu perkara biasa sebab masing-masing sudah ibarat keluarga,” tegas AG menepis gosip liar mengenai perpecahan kumpulannya.

Menyambut ulang tahun sedekad dalam industri, Hujan bakal menghadiahkan sebuah konsert yang diberi nama #hujan10tahun untuk peminat setia yang tidak pernah lelah memberi sokongan kepada mereka.

Berlangsung di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur pada 31 Oktober nanti, Hujan bakal membawakan sebanyak lebih 20 buah lagu popular mereka dari album pertama 1,2,3 Go! sehingga album keenam, Sang Enemy.

“Kali terakhir kami buat persembahan adalah pada 2013 di Ipoh, Perak. Konsert yang akan datang ini tercetus hasil dorongan kelompok peminat kami iaitu Raingers yang selalu menanyakan soal konsert atau bila lagi Hujan mahu buat persembahan.

“Dilihat dari segi jumlah lagu yang agak banyak untuk dinyanyikan, konsert itu ibarat kerja gila. Diharapkan sokongan daripada peminat yang hadir pada hari tersebut mampu memberikan kami tenaga yang klimaks,” tutup Noh.

Previous Post Next Post