Girlfriend Kontrak Tiada Babak Intim Seperti Fifty Shades Of Grey


Keith Foo dan Risteena Munim.

Pelakon Risteena Munim memberitahu filem Girlfriend Kontrak tidak mempunyai babak intim biarpun dikatakan mempunyai persamaan dengan filem yang diharamkan tayangannya di negara ini iaitu Fifty Shades of Grey.

Risteena, 25, berkata, beberapa babak romantik yang dilakukannya bersama pelakon Keith Foo tiada yang melampaui batas sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat.

"Walaupun pengarah filem ini ada mengambil inspirasi daripada filem Fifty Shades of Grey, namun tiada babak intim yang keterlaluan antara saya dan Keith Foo.

"Kebanyakan babak romantik hanya menggunakan bahasa mata sahaja dan saya juga tidak mahu melakonkan babak teralu romantik yang boleh menjejaskan nama keluarga," ujarnya kepada Artis Meletop.



Risteena jaga nama baik keluarga, tidak berlakon babak intim.

Risteena berkata demikian ketika diminta mengulas babaknya dalam filem tersebut yang dikatakan mempunyai sedikit persamaan dengan filem berunsur seks Fifty Shades of Grey.

Dalam pada itu, Risteena berkata, pengarah filem tersebut iaitu Viginia Kennedy yang berasal daripada Australia itu sudah diberi amaran tentang garis panduan filem negara ini.

"Saya diberi tahu filem ini ada mengambil inspirasi daripada filem Fifty Shades of Grey namun ia tidak mengetengahkan unsur intim.

"Pengarah juga sudah diberi amaran awal-awal lagi supaya tidak boleh ada babak intim keterlaluan dan dia juga faham hal itu," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang pengalaman sepanjang sebulan penggambaran, Risteena berkata, babak jatuh di atas tahi lembu antara yang paling sukar untuk dilakukan.

Katanya, disebabkan perkara itu juga badannya mengalami alahan pada kulit.

"Paling sukar ialah jatuh atas tahi lembu yang diperbuat dari tahi, tanah dan coklat, ketika itu seharian saya bergelumang dengan tahi hingga kulit saya keluar alahan seminggu," ujarnya.

Filem ini turut dibintangi barisan pelakon popular lain seperti Keith Foo, Ristina Muneem, Fara Fauzana, dan Azad Jazmin.

Girlfriend Kontrak arahan pengarah berasal dari Australia Viginia Kennedy, mengisahkan tentang seorang wanita bernama Alisa yang dilakonkan oleh Risteena Munim yang berhijrah ke bandar untuk menyelamatkan kelip-kelip yang terancam.

Dalam usaha tersebut, Alisa berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila sering diganggu dengan niat jahat daripada Farrah (Fara Fauzana) dan Zain.

Filem ini ditayangkan bermula 24 September di seluruh pawagam tanah air.

Previous Post Next Post