Norman Hakim & Memey Suhaiza Komunikasi rahsia rumah tangga



Norman dan Memey masih keluar berpacaran tanpa anak-anak sebagai salah satu cara menyemarakkan cinta. Kebiasaannya, mereka akan keluar menonton wayang atau makan malam romantik bersama.

melangkah masuk ke butik Meylana milik pelakon popular, Memey Suhaiza, 27, perasaan damai menyelinap ke ruang dada sementelah disapa kesantunan para pekerja di siu.

Sekilas kemudian, kelibat Memey muncul dengan sebelah tangannya mendukung si anak kecil, Muhammad Dikhriz Hakim, 5 bulan, di sampingnya, kelihatan pula anak sulungnya, Muhammad Darwisz Hakim, 2, yang terkedek-kedek mengikut langkahnya. Sesekali pelanggan menyapa salam, biar dalam kekalutan melayan kerenah si anak, Memey masih tegar melemparkan senyuman semanis kurma, lantas menjemput wajah-wajah yang menjengah di muka butiknya masuk ke dalam.

“Maaf ya, Arisz (Dikhriz) tidak sihat. Sebab itu dia merengek sedikit, abangnya pula memang tidak boleh berenggang dengan saya,” lembut tutur ibu muda itu ketika sesi fotografi dilakukan di Butik Meylana, Wangsa Melawati baru-baru ini.

Tidak lama kemudian, Norman Hakim, 39, tiba dan kehadirannya mengundang sinar ceria di mata Memey. Siapa sangka, kisah cinta mereka yang permulaannya bagai dicucuk duri kontroversi, kini sedang mendaki tangga bahagia.


Petua

Tahun 2008 hingga 2010 mungkin memalitkan kenangan pahit dalam memori percintaan Norman dan Memey sebelum sah diijabkabulkan.

Banyak dugaan dan ranjau yang ditempuh, bermula dengan kes khalwat, perbalahan dengan janda Norman iatu Abby Abadi, sebelum suasana kembali reda saat mereka bernikah pada 2011.

Pejam celik-pejam celik, menjelang 24 September lalu, sudah empat tahun pasangan romantis itu menyulam kasih sebagai suami isteri dan dikurniakan dua zuriat yang comel.

Malahan, silaturahim dengan Abby juga semakin bertaut mesra lantaran anak-anak menjadi pengikat keharmonian antara mereka.

Cahaya romantis jelas terpancar di antara Memey dan Norman seolah-olah mereka masih dalam fasa bulan madu dan bukannya sudah beranak-pinak.

Panggilan-panggilan manja seperti ‘sayang’ dan ‘love’ tidak lekang dari bibir, malah usik mengusik sentiasa mengiringi langkah mereka berdua.

Kata Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, pasangan yang sudah berkahwin perlu mengubah persepsi, sifat romantik antara pasangan tidak harus lenyap sebaik bernikah.

“Saya rasa kami berdua tidak pernah berhenti bercinta, sebab setiap hari, pasti ada benda baharu yang saya pelajari tentang suami dan begitulah sebaliknya.

“Seboleh-bolehnya saya cuba mengelak daripada menjadi pasangan yang hanya romantis sebelum kahwin tetapi apabila sudah sah hubungan, kemesraan tiba-tiba pudar. Bagaimana hendak berkeluarga jika begitu,” katanya yang tidak pernah menyesal walaupun berkahwin seawal usia 23 tahun.

Menjadi seorang isteri dan ibu pada usia muda juga banyak membantu Memey dalam proses transisi menjadi seorang wanita yang lebih matang dan berpandangan jauh.

Terutama dalam hal yang melibatkan suasana hubungan Norman dan Abby Abadi, Memey memilih untuk lebih tenang dan relaks menghadapi sebarang kontroversi berkaitan.

“Saya memang jenis tidak ambil pusing andai ada sekumpulan peminat cuba melakukan provokasi, terutama hal yang berkaitan dengan Norman dan Abby.

“Saya kenal suami saya dan jika ada apa-apa yang saya rasa tidak puas hati, saya pilih untuk meluahkan kepada Norman. Itu sudah cukup melegakan, tidak perlu memilih laman sosial sebagai medium luahan perasaan,” katanya yang mahu hubungan mereka sekeluarga kekal begitu sampai bila-bila.

Memey satu anugerah

Beralih mendasari hati lelaki yang belum bersisa ketampanannya, Norman pula tidak putus-putus mengucapkan syukur kerana dikurniakan seorang isteri seperti Memey yang cukup menyenangkan hati dan melengkapi hidupnya.

Mereka berdua jarang bertikam lidah atau berselisih faham sepanjang empat tahun hidup bersama. Prinsip sentiasa mengambil berat dan kualiti dalam komunikasi antara sama lain menjadi antara formula keharmonian mereka.

Selain itu, pemilik nama Mohamed Nurhakim Zaidon, 39, sangat berterima kasih kepada kehalusan didikan ibu bapa mentuanya. Ketinggian budi yang ditanam sejak kecil terpancar dalam setiap tingkah Memey hari ini.

“Bukan saya hendak memuji isteri sendiri, tetapi Memey bukan seorang wanita yang sukar untuk dijaga dan disayangi. Dia jarang merajuk dan tahu bagaimana hendak menyejukkan hati apabila saya dalam keadaan marah.

“Apabila ditanya, Memey kata, dia mengambil panduan ibu bapanya yang tidak pernah bergaduh besar, sentiasa berkasih sayang dan tidak membesarkan hal remeh-temeh hingga merosakkan hubungan suami isteri,” cerita Norman sambil membuka satu lagi rahsia, sebenarnya dia lebih banyak berleter berbanding Memey selalunya lebih tenang.

Walaupun berjarak usia sebanyak 12 tahun, Norman tidak pernah melihat perkara itu sebagai satu cabaran. Isterinya jauh lebih muda, namun kematangan yang ditunjukkan Memey sejak berkahwin tidak meyakinkan Norman bahawa usia bukan penentu kebahagiaan.

Mulanya hidup berdua sehingga kini sudah mempunyai dua orang anak, Norman dapat melihat isterinya turut berubah. Daripada gadis menjadi wanita yang kemudiannya mengatur dan mempelajari selok-belok kehidupan tanpa perlu disuruh-suruh.

Sedang rancak bercerita, lelaki berbadan tegap itu terdiam seketika tatkala ditanya, adakah kebahagiaan hari ini pernah dibayanginya sewaktu mula-mula jatuh cinta terhadap Memey.

Selepas menghela nafas panjang, Norman mengakui, permulaan hubungan mereka agak sukar. Ketika awal berumah tangga, dia tidak pernah berhenti memujuk Memey bahawa segala kepahitan pasti bertukar manis suatu hari nanti.

“Setiap perkara yang baik itu pasti ada cabaran dan saya anggap kepayahan kami dahulu sebagai sebuah ujian. Alhamdulillah, berkat doa kami yang tidak pernah jemu, kehidupan kini jauh lebih baik daripada apa yang kami impikan,” katanya yang menganggap segala kejayaan dalam hidup mereka sekarang sebagai rezeki anak-anak.

Pasangan itu bukan sahaja bergelar selebriti, tetapi juga usahawan dalam dua cabang perniagaan berbeza. Memey telah mempunyai butik pakaian jenama sendiri, iaitu Meylana, manakala Norman pula memiliki sebuah gimnasium yang diberi nama Mr. Sado Gym & Fitness. Selain itu, mereka berdua juga merupakan duta produk kesihatan Ephyra sejak dua tahun lalu.

Previous Post Next Post