Ayda Jebat Tidak Rimas Dikaitkan Dengan Zul Ariffin


Ayda Jebat sentiasa terbuka untuk bergandingan dengan Zul Ariffin.

Pelakon Ayda Jebat tidak sedikit pun berasa rimas apabila sering dikaitkan dengan aktor Zul Ariffin biarpun umum mengetahui pemuda berkenaan sudah mempunyai teman wanita.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, berkata, sebagai artis dia sentiasa bersikap profesional apabila melibatkan urusan kerjayanya dan menganggap cakap-cakap buruk mengenai mereka sebagai lumrah dunia hiburan.

"Rasa rimas itu tidak ada kerana ia perkara biasa dan saya tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya tambahan pula umum mengetahui Zul sudah pun ada kekasih.


Gandingan Zul Ariffin dan Ayda Jebat cetus fenomena.

"Sebagai artis saya profesional apabila ia berkaitan dengan kerjaya tambahan pula gandingan kami berjaya dan digemari peminat," katanya kepada Artis Meletop.


Nama Ayda dan Zul Ariffin mula meniti dibibir peminat selepas mereka pertama kali digandingakan dalam drama bersiri Rindu Awak 200% pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Ayda berkata, dia sentiasa bersikap terbuka untuk kembali bergandingan dengan Zul sekiranya diberi peluang malah banyak menerima tawaran daripada produksi tempatan.

"Sehingga hari ini banyak produksi yang ingin kami bersama dalam sebuah projek dan saya sebenarnya terbuka mengenai perkara itu kerana kemunculan kami berjaya memikat hati penonton.

"Saya profesional dan begitu juga Zul jadi saya tidak nampak sebarang masalah mengapa kami tidak boleh bergandingan dalam mana-mana projek selepas ini hanya kerana ada yang tidak suka.


Ayda baharu sahaja pulang dari Amsterdam.

"Lihat seperti gandingan Ogy Ahmad Daud dan Azmil Mustapha yang menjadi fenomena dahulu tetapi mereka bukanlah pasangan di dunia realiti tetapi orang suka. Begitu juga saya melihat gandingan saya dengan Zul," jelasnya.

Bagaimanapun kata Ayda, buat masa ini dia terpaksa menolak tawaran yang ingin menggandingkan mereka kerana jadualnya padat sehingga penghujung tahun ini.

Kali terakhir mereka bergandingan dalam siri berjudul M.A.I.D. yang disiarkan di saluran Astro pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Ayda baharu sahaja pulang dari Amsterdam kerana menjalani penggambaran drama bersiri Sesal Separuh Nyawa yang menggandingkannya dengan Aiman Hakim.

Previous Post Next Post