Ewal tertekan dikecam peminat



GARA-gara sekeping gambar, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 2014, Ewal dikecam hebat oleh peminatnya sehingga mencalar imejnya sebagai seorang selebriti.

Tindakannya berkawan rapat dengan Tira Hanis, seorang gadis berusia 17 tahun, telah menimbulkan pelbagai reaksi sekali gus memaksa Ewal untuk memadam gambar yang telah dimuat naik agar ia tidak terus berpanjangan.

Bagaimanapun, situasi itu telah memburukkan lagi keadaan sedia ada ekoran ada sesetengah peminat melabelkan artis berusia 23 tahun itu sebagai sombong dan tidak boleh menerima sebarang teguran selain dituduh menjalinkan hubungan cinta dengan gadis di bawah umur.

"Saya mengenali Tira melalui seorang rakan sebelum berhubung sendiri dengannya di laman Instagram. Kebetulan pula, dia merupakan seorang Insta famous.

"Kami hanyalah berkawan rapat dan tidak bercinta. Malah, hubungan kami juga diketahui oleh keluarga masing-masing


"Namun, tak sangka pula ada peminat yang mempertikaikan akan hubungan baik kami seterusnya memberi pelbagai komen negatif dan ada yang tidak masuk akal.

"Terus-terang, saya seorang yang terbuka dalam menerima nasihat asalkan ia membina, tetapi apa yang saya terima adalah sebaliknya," tegasnya kepada Zass ketika ditemui selepas sidang media pelancaran Asean Cultural Expressions 2015, baru-baru ini.

Mengakui tertekan dengan situasi itu, anak kepada Mel Wings itu turut merasakan hak privasinya telah diceroboh.

"Bagi saya, apa sahaja yang dilakukan adalah keputusan saya sendiri termasuk dalam soal kehidupan peribadi.

"Saya pelik dengan sikap mereka yang seolah-olah mahu menentukan kehidupan dan masa depan saya.

"Dengan siapa saya mahu berkawan sekali pun, baik budak bawah umur atau janda, itu adalah hak saya asalkan saya tahu batas yang perlu dijaga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ewal kini sibuk dalam proses pembikinan single terbaharunya, Seluruh Hidup.

Pada masa sama, dia juga bersyukur dengan penerimaan positif daripada peminat terhadap single pertamanya, Kembalikan Semula.

Previous Post Next Post