Cinta, bisnes Liyana Jasmay



Mula berjinak-jinak dalam bidang fesyen apabila menjalinkan kerjasama dengan butik Bella Ammara menerusi rekaan jubah Bella Liyana Collection atau dikenali sebagai #BellaLiyana01 secara online pada tahun lepas, minda Liyana Jasmay semakin terbuka untuk mendalami perniagaan tersebut.

Tidak menoleh ke belakang, Liyana yakin, langkah itu bukan hanya hangat-hangat tahi ayam. Tidak lama kemudian, dengan sokongan keluarga terutama kakaknya, Adrina Jasmay, dia memperkenalkan jenama pakaian sendiri, Mermaid Luxe.

Setelah lebih setahun jenama berkenaan menjelajah bazar jualan di beberapa kawasan sekitar Lembah Kelang dan Damansara, Selangor, Liyana tidak mahu mensia-siakan peluang yang terbentang.

Sebelum tirai penghujung 2015 dilabuhkan, aktres filem Papadom itu nekad melebarkan sayap dalam dunia perniagaan. Dia kini muncul dengan sebuah butik berkonsepkan kedai jualan pelbagai barangan menggunakan label Mermaid Store.

Menjawab mengapa bidang fesyen, terutamanya tudung menjadi pilihan, wanita berusia 27 tahun itu tanpa berselindung memberitahu, dia mengikut peredaran pasaran.

“Penjualan tudung merupakan sebuah perniagaan yang sentiasa mendapat permintaan daripada pelanggan tanpa mengira musim.

“Saya memilih butik berkonsepkan kedai jualan pelbagai barangan kerana tertarik dengan konsep sedemikian yang banyak diaplikasikan di luar negara. Menerusi konsep sebegitu juga saya lebih cepat mengetahui kehendak dan cita rasa pelanggan,” katanya ketika ditemui selepas perasmian pembukaan butik Mermaid Store baru-baru ini.

Teruja melihat sambutan positif daripada pelanggan, Liyana tidak menafikan dia menyimpan hasrat untuk meluaskan lagi empayar perniagaan.

Namun, pelantun lagu Aku Tak Percaya Cinta itu memberitahu, biarlah fokusnya kini ditumpukan kepada Mermaid Store terlebih dulu.


Rancang kerjaya seni

Selain lakonan, Liyana juga pernah mencuba nasib bergelar penyanyi. Selepas single pertama berjudul Aku Tak Percaya Cinta dan kemudiannya Cinta Bersatu, Liyana mahu tampil lebih berbeza berbanding dua single sebelum ini.

Biarpun sibuk dengan perniagaan, cintanya terhadap nyanyian belum pudar. Buktinya, dia bakal melancarkan single terbaharu pada awal Januari depan berjudul Nana.

Menggunakan khidmat kenalan rapatnya, Liyana memilih untuk tidak mendedahkan identiti komposer lagu baharunya itu sehingga single tersebut dilancarkan secara rasmi kelak.

“Single baharu ini lebih berentak R&B pop dan berbeza dengan lagu yang saya nyanyikan sebelum ini. Semoga kemunculan single baharu nanti dapat mengubat rindu peminat,” jelas Liyana.

Hampir dua tahun tidak mendekatkan diri dengan studio rakaman, Liyana juga merangka strategi menerbitkan single baharu setiap tempoh enam bulan.

“Insya-Allah selepas selamat melahirkan anak kedua nanti, saya akan membuat jelajah promosi dan bertemu peminat.


“Pastinya single ini tidak hanya dapat mengubat rindu peminat tetapi saya sendiri telah lama tidak memasuki studio untuk merakam lagu,” kata pelakon utama filem Isyarat Cinta itu.

Menjawab persoalan mengapa tidak menerbitkan album penuh, sambil membetulkan rambutnya, Liyana pantas meluahkan rasa gundah terhadap perkembangan industri muzik tempatan.

Sudah menjadi trend masa kini, kebanyakan penyanyi juga jarang menerbitkan sesebuah album penuh memandangkan faktor kos yang tinggi dan kurangnya mendapat sambutan peminat.

“Melihat kepada industri muzik tempatan, ramai artis lebih tertumpu untuk menghasilkan single berbanding album. Jadi, apabila ramai berbuat demikian, mengapa saya perlu bertindak sebaliknya,” tutur Liyana.

Utamakan keluarga

Beralih kepada bidang lakonan, Liyana mengakui agak sukar untuk menerima tawaran berlakon disebabkan kekangan waktu kerja dan tanggungjawab sebagai isteri serta ibu.

Bakal menimang cahaya mata kedua sekitar awal Februari tahun depan, Liyana berusaha untuk membahagi masa sebaik mungkin agar tidak menimbulkan masalah apabila bekerja bawah rumah produksi sendiri, Mermaid Studios.

“Saya bukan tidak mahu berlakon dengan produksi lain tetapi bimbang sekiranya tidak mampu memberikan komitmen yang baik, risau nanti akan menyusahkan orang lain.

“Justeru, lebih baik untuk bekerja dengan produksi sendiri kerana lebih waktu yang lebih fleksibel,” ulas Liyana mengenai keputusannya.

Memulakan kerjaya lakonan sejak kanak-kanak, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Papadom pada Festival Filem Malaysia ke-22 itu turut mengakui bersikap selektif dalam pemilihan watak.


Melebarkan sayap dalam bidang perniagaan, Liyana membuka sebuah butik berkonsepkan kedai jualan pelbagai barangan dengan label Mermaid Store yang terletak di Starparc Point, Setapak, Kuala Lumpur.

Bukan kerana angkuh, Liyana ingin mencabar diri dengan karakter dan naskhah berbeza berbanding watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

“Saya akan menerima tawaran berlakon sekiranya skrip dan watak yang diberikan benar-benar mencabar kredibiliti sebagai pelakon. Memilih tidak bererti saya sombong,” katanya.

Menitikberatkan nilai eksklusif, Liyana juga enggan membiarkan dirinya terlalu kerap muncul di kaca televisyen kerana bimbang akan menimbulkan rasa jemu dalam kalangan peminat.

Tambahan, wanita kelahiran Pahang itu tidak mampu melakukan pelbagai kerja dalam satu masa. Akuinya, dia tidak mampu menanggung rindu berjauhan dengan puteri sulungnya, Sofia Arissa, 2, hasil perkongsian hidup dengan Fathuddin Mazlan, 30.

“Bagi saya ikatan kekeluargaan amat penting terutama hubungan ibu dan anak. Pastinya saya tidak ingin melepaskan peluang melihat Sofia membesar depan mata, begitu juga dengan bayi kedua nanti.

“Sudah menjadi tanggungjawab sebagai ibu, saya enggan dituduh tidak bertanggungjawab kerana terlalu taksub dengan kerja sehingga lupa peranan dalam keluarga,” ujar Liyana penuh semangat.

Previous Post Next Post