Simbolik seni Faizal Tahir


ANUGERAH JUARA LAGU 2015 - Faizal menafikan ura-ura dia tidak mahu terlibat langsung dalam pertandingan berprestij itu apabila memberitahu tidak dapat hadir bagi sesi separuh akhir bagi lagu Assalamualaikum pada 6 Disember depan. Jelasnya, dia sebenarnya sudah terikat dengan sesi rakaman dengan stesen televisyen lain pada waktu sama dan sudah menamakan pengganti mewakilinya. Jika lagunya layak ke peringkat akhir, Faizal akan membawakan sendiri lagu itu.

Sewaktu awal kemunculannya, lelaki dengan pengenalan nama pentas Faizal Tahir sempat membikin heboh bukan sahaja menerusi hitnya seperti Mahakarya Cinta, tetapi juga imej serta kekhilafan yang membuat namanya ‘semarak’ di seluruh negara.

Tidak perlu diungkit panjang lebar, sekadar mengingat tindakan membuka baju sewaktu membuat persembahan pentas secara langsung pada tahun 2008 meninggalkan impak yang besar dalam kariernya.

Natijahnya, Faizal telah dilarang untuk muncul dalam mana-mana rancangan televisyen swasta selama tiga bulan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Namun, bukan cerita kekhilafan yang mahu dibicarakan, tetapi bagaimana Faizal membunuh skeptikal khalayak terhadap tindakan itu dengan membuktikan bakat dan kredibilitinya selaku pelaku seni lebih besar daripada kisah tersebut.

Sepanjang hampir sembilan tahun memegang predikat sebagai penyanyi, komposer dan mengetuai sebuah syarikat rakaman sendiri iaitu Faithful Music, Faizal telah menggondol pelbagai anugerah serta menjalani kariernya dengan lebih matang.


Konsert DFP

“Semua orang berpandangan saya menyampah apabila diungkit-ungkit tentang insiden itu kerana ianya dijadikan bahan jenaka.

“Sebenarnya, saya langsung tidak terasa sakit hati atau menyesal bila mengingatkan hal buka baju itu. Saya sudah menjalani hukuman dan teruskan kehidupan,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar Konsert Faizal Tahir-One Night Only oleh Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di Hotel Traders, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Muhd. Tahir itu malah melihat perjalanan seninya dari sudut yang positif dan melalui setiap hari sebagai satu cabaran baharu.

Menurut Faizal, dia sentiasa menjadikan setiap lagu, album malah gaya fesyennya berbeza daripada apa yang pernah dihasilkan agar peminat tidak bosan setiap kali muncul dengan karya baharu.

Kreativiti dan kesungguhan pelantun lagu Sampai Syurga ini mencipta kelainan juga menjadi antara penyebab utama lagunya yang bertajuk Assalamualaikum menjadi sebuah hit sehingga tercalon dalam Anugerah MTV EMA 2015 di Milan, Itali.

“Saya tidak pernah mencipta lagu untuk menang anugerah atau dikhususkan agar menjadi sebuah karya yang perlu dipertandingkan.

“Lagu Assalamualaikum adalah tulisan dari hati, sebuah mesej dari seorang Muslim pada saudaranya yang lain. Apabila ada pihak Barat yang menghargai muziknya, saya cuma boleh melahirkan rasa syukur,” jelasnya yang belum terfikir untuk mengubah lirik lagu itu kepada bahasa Inggeris walaupun mendapat banyak permintaan.

Seiring dengan kejayaan itu, peluang keemasan mengetuk pintu karier Faizal apabila DFP mempelawa dirinya untuk membuat konsert solo di lokasi berprestij berkenaan.

Tidak menyangka rezeki seperti itu diterima sebelum usia seninya mencecah 10 tahun, Faizal cukup terharu atas pelawaan DFP.

“Bukan calang-calang artis yang dapat menambat hati DFP untuk diberikan ruang melakukan konsert solo di dewan mereka. Bukan mahu masuk bakul, angkat sendiri tetapi Alhamdulillah, perjuangan seni saya dihargai.

“Untuk malam itu, saya memilih lagu berdasarkan permintaan peminat kerana konsert ini khas buat mereka. Saya mahu ianya menjadi satu malam yang sukar dilupakan oleh sesiapa juga yang hadir,” jelasnya.

Konsert Faizal Tahir-One Night Only yang bakal berlangsung pada 30 November ini akan menyaksikan Faizal mendendangkan 12 buah lagu selama 90 minit persembahan tanpa henti.

Malah, selepas sembilan tahun dan sudah melakukan ratusan persembahan, buat pertama kali dalam sejarah kariernya, konsert itu akan ditonton oleh kedua-dua ibu dan bapanya, Dr. Mohammad Tahir dan Muszalifah Aishah Pa’ Wan Chek.

“Untuk pertama kali, ibu minta tiket untuk hadir ke persembahan saya. Walhal, selama ini, mereka tidak pernah bercakap secara terbuka mengenai karier seni saya.

“Ini adalah satu tindakan (ibu) yang mengejutkan , sekali gus membuat saya berasa gemuruh kerana pertama kali bakal melakukan persembahan di hadapan kedua-dua ibu dan bapa saya,” katanya teruja.

Anak punca kurus

Menjadi seorang bapa kepada enam cahaya mata yang sedang membesar adalah satu pengalaman yang luar biasa.

Bagaimanapun, Faizal mengaku ia merupakan tanggungjawab yang penuh cabaran.

Khalayak sering memberikan pandangan bahawa pada usia 40 tahun, Faizal masih lagi mengekalkan susuk tubuh yang ideal dan kekerapan perubahan gaya rambutnya menambahkan lagi ketampanan empunya diri.

Lelaki itu hanya mampu tergelak besar apabila dilabel begitu kerana baginya, keadaan fizikalnya adalah disebabkan kepenatan mengawal kelasakan anak-anak yang bernama Ahamad Mikael Zidane, 10, Siti Raudha Nur Iman, 8, Ahmad Rifa’ie Zidane, 6, Siti Rawdha Nur Jannah, 4, Siti Nawar Malaeka, 2 dan Khalid Al-Walid yang baru sahaja dilahirkan bulan lalu.

“Seronok mempunyai keluarga yang besar, namun ianya satu perjalanan yang tidak mudah untuk ditempuhi jika tidak benar-benar bersedia.

“Anak-anak banyak mengubah cara hidup dan fikiran saya menjadi lebih matang kerana sebelum memutuskan apa-apa, saya perlu utamakan mereka dan isteri, Siti Raihanim Noran,” jelasnya yang tidak bercadang untuk menambah bilangan cahaya mata dalam masa terdekat.

Saat ditanya bagaimana dia mendidik anak-anak, Faizal memberitahu untuk tidak terlalu tegas kerana ketika zaman kanak-kanaknya, dia sudah merasai tekanan seperti itu.

Akuinya, ibu dan bapanya, tidak bersetuju dengan kehendak untuk aktif dalam dunia seni pada awalnya kerana berasa masa hadapannya lebih terjamin jika bekerja dalam dunia profesional.

Tidak tegas bukan bermaksud dia terus tidak mempedulikan pelajaran dan masa depan mereka, cuma Faizal lebih selesa membiarkan anak-anaknya meneroka sendiri apa yang diminati dalam dunia ini.

“Saya mengambil masa sembilan tahun untuk meyakinkan kedua-dua orang tua bahawa muzik adalah jiwa dan impian saya. Jadi, saya tidak mahu anak-anak berasa tekanan begitu untuk membuktikan minat mereka.

“Pelajaran tetap nombor satu, itu semestinya, cuma jika kelebihan mereka bukan dalam aliran akademik, maka pasti ada bidang lain yang ditakdirkan untuk anak-anak saya,” jelasnya lagi.

Previous Post Next Post